Rasulullah saw bersabda, "Tiadalah suatu hari di mana hamba-hamba Allah berada di paginya melainkan turunlah dua orang malaikat. Seorang daripadanya berdoa “ Ya Allah berikanlah kepada orang yang membelanjakan hartanya akan gantian”, seorang lagi pula berdoa “ Ya Allah berikanlah kepada orang yang menahan hartanya akan kehabisan.”
20 tahun yang lalu, bekas guruku selalu berpesan, " anakku, jika ada duit RM3.00 di dalam saku, tukarlah kepada duit syiling, kemudian kayuh basikal, bila bertemu budak-budak beri duit itu sehinggalah tinggal daripada duit tu harga secawan teh o”(ketika itu harga secawan the 30 sen).
Suatu hari, kebetulan di dalam saku bajuku ada duit RM3.00, aku lalu teringat pesanan allahyarham guruku, lantas aku menukarkan duit sebanyak RM3.00 itu kepada duit syiling lalu aku mengayuh basikal untuk ke masjid. Bila sahaja aku bertemu budak-budak, aku berikan mereka duit syiling. Mana-mana sahaja budak yang ditemui sepanjang aku mengayuh basikal diberinya duit itu sehingga tinggal harga secawan teh.
Kemudian aku pun pergi ke masjid seperti yang biasa dilakukan setiap hari. Di dalam perjalanann, aku disapa oleh seseorang sambil memasukkan sesuatu ke dalam saku bajuku dengan berkata, ”ambil ini!” Kemudian orang itu pun beredar. Ketika aku berada di masjid pun ada yang datang kepada ku, bersalaman denganku sambil memasukkan sesuatu ke dalam poketku. Begitulah setiap kali bertemu seseorang poketku akan di masukkan sesuatu. Seorang datang memasukkan sesuatu ke dalam poket baju melayu atas, seorang pula memasukkan ke dalam saku bawah kanan atau kiri. Begitulah seterusnya keadaan diriku pada hari itu.
Sebelum masuk waktu Maghrib, aku pun pulang ke rumah. Sesampainya di rumah, aku sangkut baju melayu yang penuh saku itu di tempat penyangkut tanpa di sentuh isi saku itu.
Aku berkata kepada isteriku, "Cuba ambil baju tu!” Isteriku lalu mengambil baju itu. Aku bertanya kepada isteriku, “Cuba lihat apa yang ada di dalam saku baju itu?”. Isteriku memeriksa saku-saku itu lalu berkata, “Duit”. Aku bertanya lagi, “Berapa?”. Isteriku lalu mengeluarkan duit-duit tersebut daripada saku-saku itu dan mengiranya kemudian berkata, “RM300!”
Ketika itu barulah aku faham apa sebenarnya pesanan allahyarham guruku dulu...
Apabila membaca hadis yang dipaparkan di atas, aku terkenang kisah silam. Rupanya aku telah mendapat bahagian daripada doa malaikat di hari itu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh guru-guruku...
Sesungguhnya budak-budak apabila mendapat 10 sen atau 20 sen mereka akan membeli gula-gula atau aiskrim, maka apakah fikiran kita terhadap ganjaran dan gantian Allah swt kepada mereka yang membelanjakan hartanya kepada individu atau pertubuhan yang menggunakan walau 10 sen atau 20 sen untuk menolong agama Allah dan menghidupkan ilmu Al Quran dan sunnah di mana ia menjadi asbab kemuliaan di dunia dan akhirat, insya Allah...
Wallahu`alam
Jagalah Hati...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan