Popular Posts

Ahad, 27 Oktober 2013

DOA AWAL TAHUN PERSEKOLAHAN...





Segala puji hanya untuk Mu Ya Allah. Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sekalian...


Kami berhimpun di dewan yang mulia ini pada hari pertama persekolahan bagi tahun ini, menadah tangan dengan penuh pengharapan dan rendah diri agar kami dikurniakan limpah kurnia, inayah dan riayah, taufik dan hidayah agar kami dikurniakan kesihatan dan kekuatan, tekad dan azam yang tinggi untuk berjaya serta dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab...


Sesungguhnya, menjelang tahun baru bererti usia kami semakin meningkat. Jadikan kelanjutan usia ini satu rahmat kepada kami, untuk terus beribadah kepada Mu, jauh sekali daripada menderhakai segala perintah Mu. Hari-hari yang berlalu, jadikanlah ia sebagai renungan. Yang baik dan manis menjadi ingatan. Yang pahit menjadi pengajaran. Itulah sebaik-baik muhasabah, sebagai panduan untuk menjejaki hari-hari mendatang. Mudah-mudahan, kehidupan pada hari ini dan pada masa-masa akan datang, akan lebih cemerlang daripada kehidupan masa silam...


Ya Allah...perbaikilah hubungan antara kami, jinakkanlah hati antara kami, tunjukkanlah kami jalan yang selamat, selamatkan kami daripada kegelapan petunjuk kepada yang terang benderang cahaya, jauhkanlah kami daripada perbuatan keji, baik yang nampak, mahu pun yang tersembunyi...


Ya Allah... limpahkanlah keberkatan kepada kami, isteri dan anak-anak kami, sahabat handai dan rakan taulan kami dan seluruh muslim dan muslimat...


Bantulah kami bagi melaksanakan amanah mengajar dan menuntut ilmu ini, pimpinlah kami ke arah kebaikan, hindarkan kami daripada melakukan amal perbuatan pimpinan syaitan. Berikanlah kekuatan kepada kami agar memperoleh keredhaan ilmu dan dapat memanfaatkan ilmu untuk mengharapkan keredhaan Mu Ya Allah...


Ya Allah...Engkau tingkatkanlah keilmuan, keazaman dan komitmen kami, untuk terus menjalankan segala tanggungjawab. Justeru itu Ya Allah, tingkatkanlah semangat dan hasil kerja kami untuk terus menghambat kejayaan demi kejayaan, dengan penuh dedikasi, cekal dan proaktif, selaras dengan sabda rasul Mu yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang daripada kamu, yang apabila melakukan sesuatu pekerjaan, akan dilakukannya dengan penuh kesungguhan".


Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami dan dosa mukminin dan dan mukminat seluruhnya sama ada yang hidup mahu pun yang telah meninggalkan kami...


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia dan akhirat dan selamatkan kami daripada azab api neraka... 


Aamiin...



Wallahu`alam


Jagalah Hati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan