Popular Posts

Selasa, 8 November 2011

SAHABAT-SAHABAT...




Keadaan diri kita banyak ditentukan oleh :


     i. Bagaimana pergaulan kita?

     ii. Dengan siapa kita bersahabat?

     iii. Di mana kita mendapatkan teman-teman?



Fikiran kita banyak dilukis oleh cara berfikir dan cara pandang teman-teman kita dalam melihat dan membuat persepsi terhadap dunia ini.



Kita akan banyak diwarnai oleh :


     i. Getaran hati sahabat-sahabat kita.

     ii. Akhlak dan perilaku mereka.



Kita akan sentiasa berputar di orbit :


     i. Orang-orang yang kita cintai.

     ii. Orang-orang yang kita senangi.

     iii. Orang yang kita anggap memiliki bekas cinta yang dia hulurkan kepada kita semua.



Bekas cinta inilah yang membuatkan kita mabuk dan tenggelam dalam kecintaan yang luar biasa.



Tidak salah jika Rasulullah saw seringkali memberi peringatan kepada kita semua bahawa :


i. Jika kita ingin melihat agama seseorang, maka hendaklah kita melihat siapa teman orang itu.

ii. Jika kita ingin melihat perwatakan dan pandangan hidup seseorang, maka hendaklah kita melihat teman pergaulan orang itu.



Tidak ramai orang yang mampu menjadi pahlawan di tengah-tengah para penjahat. Begitu juga adalah sangat sedikit orang yang akan menjadi penjahat sementara dia hidup di tengah-tengah para ulama.



Aura hidup seseorang akan banyak mengalirkan tenaga kepada orang lain :


     i. Tenaga jahat akan dengan mudah menular kepada orang lain.

     ii. Tenaga baik juga boleh mengalir walaupun memakan masa yang lambat.



Ramai orang yang baik, tiba-tiba menjadi jahat dan penjahat kerana teman-temannya yang jahat, manakala ramai juga orang alim yang tiba-tiba memuja dunia kerana dia hidup di tengah-tengah pemuja dunia.



Keadaan ini sering berlaku di mana kita dapat lihat ramai di kalangan golongan 'Asatizah' (ustaz/ustazah) yang tiba-tiba tersentak apabila berhadapan dengan limpahan nikmat dunia manakala ramai juga ulama yang kehilangan akal rasional tatkala terkurung oleh kepentingan dunia.



Selain itu ramai pula orang yang mempunyai akhlak buruk namun tiba-tiba menjadi soleh kerana:


i. Ia banyak meneliti kata-kata ulama.

ii.Sentiasa merenungi ayat-ayat Allah.

iii. Selalu ingat tujuan akhir kehidupannya.



Manusia akan sentiasa terseret di belakang ideologi temannya serta menari bersama ritma paradigma sahabat-sahabat dan orang-orang yang dekat dengannya, kecuali yang Allah berikan rahmat kepadanya.



Maka dengan itu, jangan kita lupa akan :


     i. Pertahanan kesolehan diri kita.

     ii. Tenaga ketakwaan kita.

     iii. Bara tawakkal kita.



Semangat kerja kita akan tiba-tiba menjadi layu tatkala kita salah dalam memilih teman-teman kita.



Api kerohanian kita yang biasanya berkobar-kobar akan dengan tiba-tiba redup tatkala teman-teman kita membawa obor kegelapan dan bersedia untuk memadamkan api kerohanian kehidupan kita.



Dan ingatlah bahawa kita akan sentiasa bersama dengan orang yang kita sukai dan cintai sebagaimana sabda Rasulullah saw, "Setiap orang akan bersama dengan orang yang dicintainya." (Bukhari dan Muslim)



     i. Jangan sampai kesolehan kita tercalar oleh keburukan akhlak teman-teman kita.

     ii. Janganlah kerendahan hati kita (tawaduk) tercabut oleh keangkuhan teman-teman kita.

     iii. Janganlah kezuhudan kita terhakis oleh ketamakan teman-teman kita.

     iv. Janganlah kedermawanan kita terhapus oleh kekikiran teman-teman kita.

     v. Janganlah keberanian kita tertimbus oleh sifat pengecut teman-teman kita.



Jika kita tidak mengawasi diri kita, maka bersiap sedialah untuk menjadi korban pencerobohan terhadap diri kita sendiri.



Jika kita tidak bersikap teliti, maka bersiap sedialah untuk menghadapi penyesalan tiada henti.



Kita, sekali lagi, akan bersama dengan orang-orang yang kita cintai. Kita kagumi dan kita ikuti langkah-langkahnya.



Jika kita cinta kepada Rasulullah saw, maka kita akan bersamanya di Syurga Allah swt nanti, namun tatkala kita mulai merasa sangat selesa dengan dunia, maka dunia akan menyibukkan diri kita terhadapnya sehingga kita lupa akan Hari Akhirat.



Setelah kita lelap dalam dakapannya, akhirnya ia akan menjadikan kita lupa terhadap diri kita sendiri.



Ya Allah, kurniakanlah teman dan sahabat yang baik untuk kami sehingga bau wangi dan keharuman akhlak mereka akan sentiasa terpercik ke pakaian harian kami. Hubungkanlah jambatan cinta kami kepada mereka sehingga arus cinta itu akan berkekalan mengalir ke Akhirat. Kuatkanlah iman dan mantapkan rohani kami sehingga ia akan menjadi pendinding kepada pengaruh-pengaruh teman-teman di sekeliling kami.



Wallahu`alam




Jagalah Hati…


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan