Popular Posts

Jumaat, 18 November 2011

MINTALAH PADA YANG BERHAK...



"Saya tak nampak Allah."

"Saya tak dengar suara Allah."

"Bagaimana saya boleh berbicara dengan-Nya, sedangkan saya tidak nampak Dia, tidak mendengar suara-Nya?"

"Bagaimana saya boleh berhubung dengan Allah?"

"Apakah benar Dia sentiasa ada untuk saya?"



Mungkin kata-kata itu, atau persoalan sedemikian pernah terlintas dalam sanubari kita tatkala resah gelisah bertandang di jiwa. Mungkin keyakinan yang ditanam tidak cukup utuh, mudah goyah bilamana angin dugaan datang menguji.


Mungkin juga, diri kita yang tidak tahu menghargai dan mensyukuri segala anugerah dan pemberian-Nya, lalu kita sengaja membina benteng, membutakan mata, memekakkan telinga, menafikan segala kebesaran dan keagungan Tuhan yang Esa. Biarpun segalanya terbentang luas di depan mata. Ibarat hamba yang tidak mengenang budi. Menafikan Sang Pencipta. Benar-benar lupa diri.


Bukankah terlalu banyak nikmat Allah buat kita? Bukankah Dia yang mengirimkan kita Nabi dan Rasul, agar membawa berita baik, membawa cahaya menyuluh kegelapan, menjadi teladan dan contoh terbaik buat kita semua? Dan Dia juga yang menganugerahkan kita Al-Quran, sebagai pedoman dan petunjuk kepada seluruh manusia hingga ke akhir zaman.


Dan bukankah itu sudah memadai buat kita? Lebih daripada cukup untuk membuktikan kebesaran dan kasih sayang-Nya? Lebih daripada cukup untuk kita mengakui keesaan dan keagungan-Nya?


Wahai diri. Insaflah. Bukankah Allah sentiasa dekat dengan kita. Menyayangi kita lebih dari segala-galanya. Dia tidak pernah meninggalkan kita sendirian dan Dia sentiasa ada untuk kita.. Hanya tinggal kita, harus merendah diri, menadah tangan, memohon dan berdoalah kepada Allah.


"Dan Robb kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina"" (Surah Ghafir : 60)


Dan firman Allah lagi dalam Surah Al-Baqarah;

"Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul" (Surah Baqarah: 186)


Layakkah kita untuk sombong dan bersifat angkuh? Enggan menadah tangan dan berdoa? Malu untuk memohon dari-Nya. Segan untuk mengadu dan merintih kepada-Nya? Tergamakkah kita?


Renung-renungkan... Mari muhasabah diri.. Jangan mudah berputus asa, sentiasa bersangka baik kepada Allah, berdoalah.. Sentiasalah mengingati Allah, tidak kira waktu dan tempat. Perbanyakkan zikir dan doa..

Wallahu`alam


Jagalah Hati...

Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan