Popular Posts

Khamis, 10 November 2011

KUASAI JANGAN DI CINTAI...


Kuasai, jangan cintai. Demikianlah semestinya umat Islam memperlakukan dunia dan seisinya. Sebab, Islam bukan ajaran yang bersifat eksklusif, kononnya untuk meraih redha Ilahi, kita harus bersikap anti dunia dan hanya mengisi waktu dengan ibadah ritual semata-mata.



Tetapi Islam mewajibkan seluruh umatnya untuk tampil ke gelanggang, mengatur dan menguasai dunia dengan berpedoman dan berprinsip pada aturan syariat Allah. Seperti itulah yang dilakukan oleh Rasulullah saw beserta para sahabat Baginda saw.



Seperti kita ketahui dalam sejarah peradaban Islam, hampir semua sektor kehidupan dikuasai oleh umat Islam. Sebut sahaja apa jua sektor, termasuk ekonomi, yang kini menjadi menjadi tumpuan utama dalam kehidupan kita.



Beberapa ketika setibanya di Kota Madinah, Abdurrahman bin Auf ra terus menuju pasar dan berniaga di dalamnya.



Dalam beberapa tempoh yang tidak begitu lama, Abdurrahman bin Auf ra telah menguasai pasar Madinah yang sebelumnya dikuasai oleh Yahudi dengan semangat iman, Abdurrahman bin Auf ra mampu menguasai sektor ekonomi yang dengan cara seperti itu, ia dapat menyumbang harta dalam perjuangan jihad fisabilillah.



Akhirnya, Abdurrahman bin Auf ra menjadi saudagar yang sangat kaya pada zamannya. Sehingga beliau  pernah berinfak kepada umat Islam lebih kurang tujuh ratus ekor unta beserta seluruh muatannya.





Secara ironinya, Abdurrahman bin Auf ra tidak sama dengan Tsa’labah bin Hatib Al-Anshari , yang jadi hamba pada dunia. Awalnya, Tsa’labah hidup miskin, kemudian dengan doa Rasulullah saw, beliau berjaya dengan usaha menternak kambingnya, lalu menjadi angkuh dan sombong kerana kekayaannya. Bahkan, ia berani menolak arahan Baginda saw untuk membayar zakat.



Beberapa abad sebelum Abdurrahman bin Auf ra, di zaman Nabi Musa as, hidup seorang saudagar yang sangat kaya raya, Qarun namanya. Kunci gudang harta kekayaannya saja memerlukan beberapa ekor unta untuk membawanya.



Tetapi, Qarun bukan saudagar yang beriman, ia angkuh lagi sombong. Maka, ketika ia berbuat seperti itu dan menolak mengakui keberadaan Allah swt yang Maha Kaya, lalu mengaku bahawa apa yang dimilikinya itu sebagai hasil usaha dan kepandaiannya semata-mata. Allah pun menenggelamkan Qarun ke dalam perut bumi beserta seluruh harta kekayaannya.



Dunia adalah sarana menuju Akhirat. “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi …” (QS 28: 77).



Jadi, Muslim yang baik adalah yang mampu menguasai dunia untuk agama dan akhiratnya. Bukan untuk diri dan keluarganya semata-mata. Lihatlah bagaimana Rasulullah saw, selain sebagai pendakwah, Baginda saw juga ahli dalam dunia perniagaan. Juga perhatikanlah bagaimana kehebatan Saiyidina Ali kwh dalam perang, namun dalam masa yang sama, juga paling tekun dalam ibadah.



Perhatikan pula bagaimana para nabi yang lain yang juga ahli dalam bidang keduniaan. Nabi Daud as ahli di bidang besi, Nabi Nuh as ahli perkapalan, Nabi Musa as ahli peternakan, dan Nabi Isa as ahli dalam rawatan serta Nabi Yusuf as ahli ekonomi.



Semua ini menunjukkan bahawa umat Islam harus unggul di segala bidang dengan tetap menjadikan Akhirat sebagai orientasi utama bukan dunia yang diutamakan, apalagi dikuasai untuk dicintai…



Wallahu`alam.




Jagalah Hati…




Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan