Seorang lelaki dan buah hatinya telah bernikah dan majlis resepsinya sungguh meriah. Semua kawan-kawan dan keluarga mereka hadir menyaksikan dan menikmati hari yang berbahagia tersebut. Sebuah acara yang luar biasa memberi kesan pada tiap mata yang menyaksikan.
Pengantin wanita begitu anggun dalam gaun putihnya dan pengantin lelaki dalam tuxedo hitam yang gagah. Setiap pasang mata yang memandang setuju mengatakan bahawa mereka secocok dan sungguh-sungguh saling mencintai.
Beberapa bulan kemudian, si isteri berkata kepada suaminya, “Abang, saya baru membaca sebuah artikel di majalah tentang bagaimana memperkuatkan tali pernikahan”, katanya sambil menghulurkan majalah tersebut.
“Apa kata kita saling mencatat hal-hal yang kurang kita sukai dari pasangan kita. Kemudian, kita akan berbincang bagaimana untuk mengubah hal-hal tersebut dan membuat pernikahan kita bersama lebih bahagia”.
Suaminya setuju dan mereka mulai memikirkan hal-hal dari pasangannya yang tidak mereka sukai dan berjanji tidak akan tersinggung ketika pasangannya mencatat hal-hal yang kurang baik, sebab hal tersebut untuk kebaikkan mereka bersama. Malam itu mereka sepakat untuk tidur berasingan dan mencatat apa yang terlintas dalam benak masing-masing.
Esok pagi ketika sarapan, pasangan pengantin baru itu siap dengan senarai yang mereka catatkan sepanjang malam. “Biar saya mulakan dulu, ya!”, kata si isteri. Lalu beliau mengeluarkan nota kecilnya. Banyak sekali yang ditulis oleh si isteri, kira-kira 3 halaman. Ketika si isteri mula membacakan satu persatu hal yang tidak dia sukai dari suaminya, beliau memperhatikan bahawa air mata suaminya mulai mengalir…
“Maaf, adakah saya harus berhenti?”, tanyanya.
“Oh tidak, teruskan…”, jawab suaminya.
Lalu si isteri meneruskan membaca semua yang ditulisnya, lalu kembali melipat kertasnya dengan manis di atas meja dan berkata dengan bahagia, “Sekarang giliran abang pula membaca senarainya, ya!”
Dengan suara perlahan suaminya berkata, “Abang tidak mencatat sesuatu apa pun di kertas ini. Abang merasakan bahawa Sayang sudah cukup sempurna, dan Abang tidak ingin mengubah diri Sayang. Sayang adalah diri sendiri. Sayang cantik dan baik bagi Abang. Tidak ada satu pun dari diri Sayang yang Abang dapati sebagai sebuah kekurangan”.
Si isteri tersentak dan tersentuh oleh pernyataan dan ungkapan cinta serta isi hati suaminya… bahawa suaminya menerima dirinya apa adanya. Ia menunduk dan menangis…
Dalam hidup ini, banyak sekali kita merasa dikecewakan, sedih dan sakit hati. Sesungguhnya tidak perlu menghabiskan waktu memikirkan hal-hal tersebut. Hidup ini penuh dengan keindahan, kegembiraan dan pengharapan.
Pernahkah kita mengambil sedikit waktu untuk mengulang tayang di memori kita untuk kenangan indah bersama pasangan di saat masa berkasih sayang dahulu…?
Hanya kekesalan, kesedihan dan kekecewaankah di dalam hati kecil kita selama hidup dengan pasangan kita…?
Dapatkah kita menerima apa adanya dari kekurangan pasangan kita…?
Masih adakah sekelumit kerinduan hati dari diri kita untuk pasangan kita…?
Mengapa harus menghabiskan waktu memikirkan sisi yang buruk, mengecewakan dan menyakitkan jika kita mampu menemui banyak hal-hal yang indah di sekeliling pasangan kita…?
Kita akan menjadi orang yang berbahagia jika kita mampu melihat dan bersyukur untuk segala yang baik.
Maka mulai sekarang, bersyukurlah bahawa kita masih diberikan pasangan yang memiliki KELEBIHAN dan KEKURANGAN…!
Wallahu`alam
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan