“sebenarnya khusyuk adalah hasil dari amal soleh, doa dan bersegera dalam melakukan kebaikan”
Para ilmuan mengatakan bahawa kaedah “meditasi” seperti yoga sangat bermanfaat untuk mengubati penyakit, menajamkan ingatan serta meningkatkan kreativiti dan kesabaran.
Akan tetapi, Al-Quran tidak terbatas pada apa yang dinamakan meditasi atau ketenangan. Al-Quran memiliki istilah tersendiri, iaitu khusyuk.
Khusyuk merupakan faktor penting dalam beribadah sekaligus paling sukar untuk menerapkannya kerana memerlukan konsentrasi yang dalam. Itu sebabnya, istilah khusyuk, menunjukkan tingkat merenung ke dalam hati yang tinggi, diiringi pemikiran mendalam tentang sesuatu. Kekhusyukan ini bukan hanya ibadah sahaja, tetapi memiliki pelbagai manfaat dalam mengubati penyakit hati dan diri.
Seringkali para salafusoleh mengaitkan antara khusyuk dan solat. Malahan Al-Quran menegaskan peranan penting khusyuk dalam memelihara solat. Tidak dapat dinafikan, ramai di kalangan umat Islam yang tidak khusyuk dalam solatnya, walaupun mereka berusaha sekerap mungkin untuk cuba khusyuk, tetapi mereka gagal untuk menjaga kekhusyukan dalam solat. Maka, Allah swt berfirman, “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (QS 2: 45)
Begitulah peranan kekhusyukan dalam solat yang sangat besar dan Al-Quran mengaitkan antara solat dengan kekhusyukan. Dan yang mengagumkan ialah ketika Al-Quran mengaitkan sabar dan kekhusyukan. Para ilmuan sekarang benar-benar meyakini berdasarkan eksperimen yang mereka lakukan, bahawa khusyuk (meditasi dalam istilah mereka) benar-benar boleh menambah kekuatan manusia untuk memikul dan bersabar dalam menghadapi situasi sukar.
Ada beberapa ilmuwan bukan muslim dari Amerika yang melakukan ujikaji terhadap orang-orang yang beribadah (tentu dengan versi keyakinan mereka). Ternyata mereka menemui hasil bahawa ritual ibadah itu memiliki kesan nyata terhadap rawatan gangguan jantung dan menstabilkan kerja otak. Dan sebenarnya, kita telah pun diberitahu mengenainya dari firman Allah swt dalam Al-Quran, “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” (QS Al-Mukminun: 1-2)
Inilah antara kehebatan Al-Quran. Ia merupakan media yang paling baik untuk menerapkan kekhusyukan kepada Allah swt. Di sini, perlu kita perbaiki persepsi yang banyak berkembang, iaitu bahawa khusyuk dilakukan ketika solat sahaja, atau ketika membaca Al-Quran sahaja. Yang benar adalah, bahawa khusyuk merupakan kaedah yang diterapkan oleh orang beriman, setiap waktu, sebagaimana dilakukan para Nabi Allah swt.
Perhatikanlah kehidupan para Nabi alaihimussalam yang penuh dengan kekhusyukan. Bahkan mereka selalu dalam keadaan khusyuk. Inilah yang membantu mereka mampu memikul beban berat dan kesabaran atas rasa sakit, cacian dan lainnya. Khusyuk inilah salah satu sebab doa mereka dikabulkan oleh Allah swt. “Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.” (QS Al-Anbiya: 90)
Perhatikanlah firman Allah swt di atas, “Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada kami.”
Ini ertinya mereka, para Anbiya adalah orang-orang yang selalu dalam keadaan khusyuk kepada Allah swt. Kita patut meniru mereka dalam menjalani hidup ini. Lalu, bagaimana caranya?
Seorang mukmin sebenar adalah yang selalu menjaga kekhusyukan dalam solatnya. Dan ketika bersedekah, ia juga merenung tentang sedekahnya. Ketika mengunjungi orang sakit, ia berfikir tentang pentingnya menziarahi orang sakit, lalu memohon kepada Allah swt untuk dijauhkan dari penyakit. Ketika berinteraksi dengan manusia, saat berinteraksi jualbeli misalnya, ia merasakan bahawa Allah swt memantau dan melihatnya sehingga ia tidak menipu dan berbohong. Ia menjadi manusia yang jujur agar terhimpun di Hari Kiamat bersama orang-orang yang jujur.
Ketika seorang mukmin terkena fitnah dan berada di tepi jurang yang diharamkan Allah melakukannya, ia akan mengingati bahawa Allah sedang melihatnya dan tidak redha dengan sikapnya. Lalu ia menjauhi dari kemaksiatan ini kerana Allah swt. Ketika itulah ia merasakan nikmat dan manisnya keimanan.
Begitu juga ketika seorang mukmin mendapati sikap yang tidak disukai dari isterinya. Ia menyedari bahwa Allah swt memerintahkannya untuk terus melayani isterinya dengan baik. Ia tidak boleh menyakitinya. Dan bahawa Allah swt serta Rasulullah saw selalu menasihatinya dengan cara yang baik. Ketika itulah, ia akan lebih sabar dan tidak mudah melakukan sesuatu yang menyakitkan. Itulah khusyuk.
Ketika seorang mukmin menderita satu penyakit atau mengalami situasi sukar. Perkara pertama yang dilakukannya adalah berdoa dan berlindung kepada Allah swt. Ia mengetahui bahawa Allah swt jua yang memberi manfaat dan bahaya. Dia jua yang Maha Kuasa dan Memiliki kebaikan untuk menyembuhkan. Dia jua yang Memberi rezeki kerana semua dalam Genggaman Kuasa-Nya bagi seluruh kebaikan. Inilah kekhusyukan yang sebenar.
Itulah yang sebenarnya, khusyuk adalah hasil dari amal soleh, doa dan bersegera dalam melakukan kebaikan. Jika kita ingin Allah swt memberikan kenikmatan khusyuk kepada kita dan doa kita dikabulkan sebagaimana doa para salafusoleh terdahulu, maka kita harus segera melakukan kebaikan. Jangan menunggu sampai kita diberikan harta yang banyak untuk bersedekah. Pergilah dan segeralah berinfak. Lalu ingatlah pada Allah swt dengan mengulang-ngulangnya setiap hari, “Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.” (QS Al-Anbiya: 90)
Wallahu`alam
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan