Popular Posts

Khamis, 10 November 2011

MARILAH KITA MENJADI PROMOTER YANG BAIK...




Jika kita bekerja sebagai promoter (tukang promosi) sesuatu produk, pastilah kita akan mempamerkan sebaik mungkin segala kebaikan produk itu. Maklumlah, ingin dapatkan komisen lebih. Mungkin produk itu ada kelemahannya, tetapi kita akan cuba sembunyikan, atau paling tidak pun membuatkannya kelihatan sebagai kelemahan kecil sahaja jika dibandingkan dengan kelebihan produk tersebut.



Sekiranya kita mempromosikan dengan baik, maka orang akan beranggapan produk itu sememangnya baik dan mereka akan tertarik terhadapnya. Sebaliknya jika kita mempamerkan keburukan produk itu, sudah pastilah orang akan membenci produk tersebut. Cukup ringkas, bukan?



Sekarang mari kita lihat kepada satu produk ini. Produk yang tidak ada langsung kelemahan. Tidak perlu susah payah disembunyikan atau di hujahkan untuk melindungi kekurangannya, kerana ia memang tidak ada kekurangan. Semua cukup sempurna.



Itulah ISLAM… satu produk yang dianugerah oleh Allah swt. Ia terlalu sempurna hingga ia menjadi nikmat buat sekalian manusia yang menemui manisnya.



“...Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian, dan Aku sempurnakan nikmat Ku atas kalian dan Aku redha Islam sebagai agama kalian...” (QS Al-Maa’idah: 3)




Jadi apa kaitannya Islam dengan promoter…?



Baiklah…cuba fikirkan Islam dan kita. Islam itu produk,  jadi diri kita bersama produk akan menjadi promoter.



Jelas…?



Ya benar…kitalah promoter kepada Islam. Kitalah yang memikul tugas mempromosikan keindahan Islam.



Islam itu sendiri adalah kebaikan, tiada langsung kekurangan apatah lagi keburukan. Kita tidak perlu mempromosikan kebaikan Islam, kerana Islam itu sendiri memang sudah tersedia sebagai suatu wadah kebaikan. Jika kita berusaha mempromosikan kebaikan Islam, maknanya ada kekurangan Islam yang kita selindungkan. tapi di sini, tidak ada.



Maka, selaku promoter, setiap dari kita yang beragama Islam sebenarnya telah mempromosikan agama Islam kepada manusia lain setiap kali kita tampil di hadapan orang ramai. Jika produk misalnya, mestilah para pengguna mahu melihat hasilnya, sebelum  dan juga selepas, bukankah begitu?



Maka, setiap inci percakapan dan perbuatan kita sebenarnya memberi impak kepada perspektif masyarakat terhadap agama Islam.



Tambahan, sekiranya kita menyampaikan maklumat yang salah dan tidak elok tentang produk Islam ini, maka pengguna akan salahfaham produk ini dan tidak berminat untuk membelinya…



Begitulah setiap dari kita sebagai umat Islam… apabila percakapan, perbuatan dan akhlak yang kita pamerkan itu tidak elok, bimbang orang yang melihat akan menyalah fahami produk Islam yang kita promosikan. Nauzubillah. Semoga itu tidak  berlaku,  namun jika ia berlaku, siapa yang bertanggungjawab di atas “kehilangan” keindahan produk itu?



“Apakah manusia mengira dia akan dibiarkan begitu sahaja tanpa dipertanggungjawabkan?” ( QS Al Qiyaamah:36)



Kita sering melihat dan mendengar masyarakat mencemuh Islam gara-gara wujudnya segelintir umat Islam yang berakhlak buruk, sedangkan itu tidak terdapat pun di dalam Islam. Dia sedang menipu dan tertipu. Itu bukan ajaran dalam Islam, jangan tengok dia!



Habis, siapa yang harus kita pandang…?



Jawapannya, KITA. Kita semua adalah duta Islam. Seolah-olah duta produk kecantikan itu…



Jadi, semoga kita tidak menjadi faktor masyarakat tidak berminat dengan “produk” yang kita promosikan ini.



Marilah kita tingkatkan diri, ber-Islam-lah dengan sepenuh Islam, lantas kebaikan itu akan terpamer pada diri kita. Jika dari situ masyarakat mula tertarik dengan keindahan Islam, insya Allah kita telah menjalankan kerja promosi  kita dengan baik. Insya Allah komisennya sungguh besar…



Wallahu`alam




Jagalah Hati…




Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan