Apa khabar sahabat…? Semoga engkau selalu dalam lindungan Ilahi. Sihat dan selalu mendapat kemudahan dalam semua urusan. Tidak ada harapan terbesarku, melainkan semoga engkau selalu dalam kebaikan…kebaikan dan kebenaran yang sesungguhnya. Dan aku berdoa, semoga Allah selalu menaungi kita dalam keimanan hakiki serta keteguhan hati dan persaudaraan sejati.
Persaudaraan kita indah sekali…
Hidup yang sedang kau uruskan ini adalah peluang dari Allah sebagai sebuah ladang amal. Ia bukan hasil jerih payahmu, tapi bukti sayang Allah padamu. Tapi kau harus ingat bahawa di sebalik anugerah itu ada jerat tersendiri bagimu. Selamat atau gagal ada dalam genggamanmu sekarang. Buktikanlah bahawa dirimu layak digelar sebagai hamba Allah. Aku pun yakin kau mampu melakukan itu.
Kau memerlukan sebuah kumpulan sahabat yang baik untuk menunjang misimu. Maka wahai sahabatku, lihatlah orang-orang yang ada di sekelilingmu. Mereka yang akan dekat denganmu. Menjadi kumpulan sahabat hebatmu. Jangan bangga jika mereka bersikap baik padamu, tapi berbuat buruk pada orang lain. Pilihlah orang yang jujur dan menjaga amanah. Bukan yang mengabaikan tanggungjawab, meremehkan hak orang lain, merosak silaturahim dan tidak amanah dalam menyimpan rahsia. Kerana ku yakin, engkau masih memahami, tidak ada satu pun alasan membolehkan berbuat keburukan demi kebaikan, walaupun terhadap musuh. Itulah hikmah mengapa Rasulullah saw melarang menyiksa tawanan perang dan tetap menyampaikan amanah milik musuh. Jangan pula kau ambil sahabat dari orang-orang yang bercita-cita dan tujuan material semata-mata kerana ia akan menjatuhkanmu kelak dari jalan yang lurus. Jangan kau ambil sahabat dari mereka yang kaki pengampu kerana ia akan mencelakakanmu jika saatnya tepat. Jangan kau kumpulkan orang-orang yang hanya yes man tanpa prinsip kerana kau perlukan orang-orang yang bersedia menegurmu untuk meneguhkanmu. Kau perlukan orang yang berani mengingatkanmu untuk meluruskanmu dari penyimpangan. Kau perlu orang yang mengingatkanmu untuk selalu kembali kepada kebenaran. Maka wahai sahabatku, berhati-hatilah dengan orang-orang yang sentiasa bersetuju dengan mu, tidak berani menegurmu dan berlebihan dalam menghormatimu kerana itu akan melalaikanmu. Kau pun harus bersedia mendapat nasihat dari orang lain. Kau harus berani menerima keterbatasanmu dan kerendahan hati untuk mengakui kesalahanmu. Itu bukan hina dan aib sahabatku, itu adalah kemuliaan…keutamaan, malahan kekuatan sesungguhnya. Akuilah banyaknya kelemahan kita dan akuilah banyaknya kekurangan kita. Hati akan semakin matang dengan penerimaan segala keterbatasan yang kita miliki. Jauhi prasangka dan persepsi negatif terhadap sesiapa pun, apalagi sesama muslim. Itu akan mengurangi beban hati yang perlukan cahaya iman sebagai sumber tenaganya.
Dalam masa yang sama sahabatku, berwaspadalah dengan orang yang selalu bermuka manis terhadapmu, berkata lembut dan selalu tunduk pada kata-katamu kerana ada wajah serigala di sebalik muka manisnya itu. Ada kata beracun di sebalik kelembutan ucapannya. Ada pengkhianatan di sebalik ketundukannya. Itulah sebuah pelajaran dari kehidupan ini. Kehidupan ini sudah mengajarkan kita…mendewasakan kita dalam berfikir, bersikap dan bertindak bijak. Jangan terpesona dengan penampilan zahir, jangan tertipu dengan kata-kata berbunga dan jangan terpedaya dengan kebaikannya sahaja… kerana sahabat sesungguhnya adalah mereka yang menerimamu apa adanya, menegurmu jika keliru, mengingatkanmu jika lupa dan meluruskanmu jika menyimpang. Betapa asyiknya kehidupan dinamik seperti itu… sebuah pembelajaran sepanjang hayat dalam mencapai tujuan hidup sebenarnya. Ingatlah pada pesan Syaidina Umar bin Khattab ra, “Jangan memperdaya orang dan jangan pula kau diperdayakan.”
Sahabat…jangan juga selalu mengharapkan saudaramu akan menegur jika kau dengan sengaja melakukan kesalahan dan keburukan. Boleh jadi ia akan menjauhi dan meninggalkanmu. Yang terbaik adalah, jauhi kesalahan dan keburukan sekecil apapun ia. Jangan kau menganggap apa yang kau lakukan selalu benar kerana sungguh, banyak wilayah hati yang sudah cedera tanpa kita sedari. Adalah lebih baik jika kita selalu menilai diri dan menghindari perbuatan yang menimbulkan persepsi negatif orang lain. Jangan anggap remeh nasihat sekecil apapun kerana hati ini selalu perlukan peringatan dan nasihat. Akan lebih baik jika membuka diri atas segala nasihat dari mana pun asalnya. Jangan memulakan dengan penyimpangan dalam melakukan kebenaran, kerana kebenaran ada dalam ruang lingkup undang-undang dan peraturan jika dilanggar. Lebih baik mengukuhkan pemahaman kita terhadap kebenaran itu sendiri. Jangan memanipulasi diri atas amanah yang diberi kerana diri kita adalah fitrah yang suci dan amanah adalah tanggungjawab yang akan dipersoal. Adalah lebih baik jika berlapang diri dengan segala keterbatasan yang dimiliki, jangan mengambil tindakan dan berubah sikap jika berita buruk sampai kepadamu kerana kerugian dan kebinasaan tidak boleh dihentikan dengan penyesalan sedalam manapun. Lebih baik jika selalu bersangka baik dan berlapang dada pada setiap sesuatu yang sampai kepadamu. Jangan kau jadikan material sebagai tujuan kerjamu kerana kita telah difahamkan apa tujuan hidup kita sebenarnya. Akan lebih baik jika ibadah, pengabdian dan semangat memberi selalu menjadi asasnya. Dan Allah pun akan membalasmu dengan kebaikan yang melimpah di dunia material ini. Jangan melihat orang lain hanya pada keburukannya semata-mata kerana Allah telah menutup aibmu selama ini. Maka, lebih baik jika menilai orang lain dengan wajar dan memahami segala keterbatasan mereka termasuk keterbatasan diri kita sendiri.
Wahai sahabatku, belajarlah dari orang-orang di sekelilingmu kerana mereka memiliki banyak kelebihan masing-masing. Begitu juga, belajarlah dari masa lalumu kerana banyak lembaran-lembaran emas untuk diambil sebagai pelajaran. Jujurlah terhadap diri sendiri dalam menilainya dan mengakui keterbatasannya kerana kita memang harus selalu belajar untuk menambah kemampuan diri. Mintalah nasihat orang lain untuk menilaimu, minta juga penilaian orang lain terhadap sahabat-sahabat karibmu kerana kau perlukan input yang objektif terhadap dirimu dan orang-orang yang dekat dengan dirimu. Jika Allah lapangkan rezeki mu, bersyukurlah atas anugerah itu. Tapi jika Allah batasi, maka bersabarlah kerana itu hanya sarana untuk mendapat kejayaan yang sesungguhnya.
Sahabat, sesungguhnya kejayaan hakiki adalah terhindarnya kita dari neraka dan dimasukkan kita ke syurga. Itulah harapan terbesar kita. Itulah tujuan sebenarnya dari kehidupan kita dan yang harus kita berikan keutamaan sehingga kita akan memperjuangkannya, membela dan menganggap kecil segala aral melintang yang menghalanginya. Maka alangkah ruginya, jika semua kerja menyimpangkan kita dari tujuan utama itu. Maka alangkah sia-sianya jika kita memulakan kebaikan dengan penyimpangan akhlak dan adab. Maka alangkah bodohnya jika kita mengumpulkan orang-orang yang bermasalah sebagai kumpulan sahabat kita. Aku benar-benar yakin bahawa kau masih ingat tentang watak kebenaran, kan? Bahawa ia tidak boleh didekati oleh hati yang kotor. Tidak dapat diusung oleh tangan yang kotor. Tidak boleh dicapai dengan cara yang kotor. Tidak boleh difahami oleh jiwa yang kotor kerana kebenaran berasal dari langit sana…tinggi dan mulia. Itulah watak kebenaraan sahabatku. Jika kita membela kebenaran serta mengusung kebenaran dengan sesuatu yang tidak bersih, maka kebenaran akan menunjukkan wataknya yang asli. Ia akan menjauhi para pembelanya kerana kotoran yang melekat di tangan kita, hati kita, cara kita serta tujuan kita. Dan akhirnya kita hanya mengaku sebagai pembela kebenaran dan pengusung kebenaran, tetapi kebenaran sudah lebih dahulu meninggalkan kita jauh di atas sana. Na’udzubillah.
Terakhir sahabatku, renungkanlah sedalam hati dan sejernih fikiranmu, apa yang telah kau lakukan sampai ke tahap ini. Apa yang telah kau dapatkan hingga hari ini. Ajaklah akal jernihmu menilai secara logik kebenaran. Di mana peranan akal yang sihat akan dominan dalam menilai kebenaran. Ajak pula hati bersihmu mengukur secara nurani kebenaran. Di mana peranan ruhiyah keimanan akan dominan dalam menilai kebenaran. Maksudnya, ukurlah langkahmu sejauh ini, apakah masih tetap berada dalam jalan kebenaran dalam motivasi, dalam cara dan dalam mencapai tujuan…? Jika ada orang-orang yang mengambil kesempatan darimu maka tinggalkanlah. Jika ada masalah yang kau anggap penyimpangan, segeralah perbaiki. Kerana sahabatku…kerana kau sedang mendapat anugerah besar dari Allah swt. Sebuah nikmat luar biasa. Namun kau harus ingat sahabatku, kerana di sebalik anugerah dan nikmat itu ada perangkap yang menantimu. Allah jua yang memberi perangkap di sebalik nikmat itu.Bahawa di sebalik nikmat ilmu, ada perangkap kesombongan intelektual. Di sebalik nikmat harta, ada perangkap kikir dan bakhil. Di sebalik nikmat jawatan, ada belitan sombong dan riak. Dan di sebalik nikmat material ada belitan semua boleh diatur dengan material (rasuah). Waspadalah sahabatku..!
Dan yang terpenting, ku tahu bahawa misimu adalah mengembangkan dakwah, membina generasi dan mengharap redha Ilahi. Ku berdoa, semoga apa yang kau harapkan dalam kebaikan dunia dan akhirat, Allah perkenankan bagimu. Sungguh, ku sampaikan surat ini, sebentuk cintaku yang dalam padamu.
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Salam Kasih dari sahabatmu….
Wassalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan