Popular Posts

Khamis, 15 September 2011

MUNAJAT MALAM INI...


di punggung malam saat dingin menusuk,
ada seribu bintang berkelip, ada kelam menutup gelap
ada embun, ada semilir angin, membawa sejuta Malaikat
ada sebilah doa yang menyelit ke kanvas langit bertempur melawan takdir,
berperang melawan nafsu, menebas ego, melumat syahwat,
melindungi hati yang luka, menjaga diri yang dizalimi


Ya Robb…
Engkaulah Pemilik rahsia, Engkaulah Penggenggam hati manusia
Pada Mu segala nafas, Bagi Mu setiap jejak langkah
berlabuh semua duka lara, rasa sedih dan kecewa
tidak ada yang luput dari Mu, tidak ada yang lepas pengawasan Mu
betapa tidak berdayanya aku dalam keMahaKuasaan Mu
betapa lalainya aku merasa bebas dari catatan Mu
sungguh bodohnya aku merasa aman dalam penyimpangan
betapa jahilnya aku merasa benar dalam pengkhianatan


Ya Robb…
apalah ertinya diriku di sisi Mu
apalah yang mampu membelaku selain Mu
tidak ada yang dapat ku banggakan dalam bingkai mahligai Mu
namun nafsuku mengangkat kesombongan bahawa aku hebat, bahawa aku kuat
bahawa aku boleh berbuat apa yang mahu aku lakukan


Ya Robb…
lindungi kecerdasanku dengan ketundukan, bukan dengan kesombongan
jagalah kelebihanku dengan tawaduk, bukan dengan keangkuhan
lindungi kekuatanku dengan kelembutan, bukan dengan kekasaran




Ya Robb…
beri aku kesedaran bahawa aku bodoh


Ya Robb…
beri aku kefahaman yang jelas bahawa aku lemah


Ya Robb…
beri aku kemampuan mengenali yang benar adalah benar
yang salah adalah salah
yang benar ditegakkan, yang salah dihancurkan


Ya Robb…
jangan jadikan kelemahanku menuju jalan kesesatan
jangan jadikan kekuranganku menuju jalan kesombongan
jangan jadikan keterbatasanku berakhir di jalan kehancuran


Ya Robb…
lindungi aku dari bahaya diriku sendiri
mengenal keburukan sebagai kebaikan
melihat kesalahan sebagai kebenaran
menilai kesesatan sebagai kemuliaan


Ya Robb…
inilah aku yang lemah dan sombong
inilah aku yang bodoh dan sombong
inilah aku yang fakir dan sombong
inilah diriku yang sombong
dalam kelemahan
dalam kebodohan
dalam kefakiran


Wahai yang Maha Lembut
berikan kesedaran pada hati yang lupa

Wahai yang Maha Melihat
beri ingatan pada hati yang khilaf

Wahai yang Maha Kuasa
Ku serahkan segala urusan semua

Wahai yang Maha Kuat
hancurkan segala siasah jahat


Ya Robb…
hanya pada Mu aku berharap
hanya pada Mu aku berlindung atas segala amal yang sesat
hati yang khianat dan dunia yang menjerat


Ya Robb…
berikan kenikmatan kami dalam taat
beri keberkatan kami dalam rezeki
mudahkan segala yang susah
jangan biarkan diri kami mengatur urusan kami sendiri
walau sekadar kerlipan mata


teguhkan Ya Robb… teguhkan…hati kami
kukuhkan Ya Robb… kukuhkan ukhwah kami
sedarkan Ya Robb… sedarkan hati-hati kami
untuk selalu kembali pada Mu dalam susah
dalam resah gelisah…

amin.



Jagalah Hati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan