Popular Posts

Selasa, 20 September 2011

APA YANG SEDANG BERGESER...



Apa yang sedang bergeser…?


Ketika ramai orang sibuk mengejar kejayaan dan kecemerlangan, sama ada gelaran, jawatan atau usaha yang menghasilkan setompok kekayaan. Apakah yang sedang bergeser?


Manusia dewasa ini semakin cerdas dan cermat dalam meraih dan menjangkau impian-impian duniawi. Jika diri tidak bergelar, dirasakan diri semakin tertinggal. Semua orang yang berjuang sehabis kudrat demi mendapatkan dunia ini seringkali harus menutup mata hati. Tidak mungkin membendung aliran yang begitu kuat mempersona. Semua insane terkesima dengan dawai hidup yang menghanyutkan ini.
 

Apa yang sedang bergeser? Zaman inikah? Ataukah diri kita yang sarat mengandung hasrat. 


Segalanya sedang bergeser…!


kedamaian, dapat didandan oleh kemewahan...


cinta serta kasih, mudah dibeli...


kerukunan hidup, mudah dibolak-balik...


penghargaan, dapat diukur oleh kedudukan...




Dan yang paling pokok adalah mata hati kita yang kini telah bergeser dari penglihatannya yang tajam oleh kerana pelbagai dorongan nafsu dan keserakahan. 


Nilai materialistik menjadikan orang hidup berdampingan, ikatan kekerabatan mulai terputus bahkan kian terhapus oleh kerana pergeseran ini. Orang mungkin menjauhkan diri dari saudaranya sendiri hanya kerana hidup miskin dan bukan dari golongan atasan dalam masyarakat. Inilah wajah sebenar sosial yang merasuk di seantero dunia. Malah kehidupan sebegini turut menembus ke dalam lingkungan kelompok keagamaan. Siapa kuat ia semakin disukai dan disanjung-sanjung.


Gaya hidup seseorang akan semakin bagus jika ia mampu memiliki jawatan-jawatan penting dan memiliki pengaruh kerana posisi tersebut. Inilah yang sedang terjadi di sekitar kita.


Harmoni telah bergeser oleh HURU-HARA percaturan politik yang terimbas pada ketidakstabilan sosial rakyat marhain. Para cerdik pandai, cendikiawan dan golongan akademik hanya pandai beretorika dan menciptakan seminar-seminar dan diskusi kosong, tanpa pernah menggigit penguasa-penguasa yang pandai bersandiwara.


Keadaan serba berantakan ini amat sukar dipulihkan. Akan tetapi tiap diri harus memiliki reformasi diri dengan dimulai dari hati dan jiwa yang bersih. Rela melepaskan cara hidup semberono, yang menentang hati nurani dan menggesernya seolah-olah semua akan baik-baik sahaja. Mari kita hentikan laju dunia yang penuh dengan kepura-puraan, kerakusan dan ketidakpedulian terhadap penderitaan orang lain yang juga adalah saudara dan sesama kita itu.


Sebab jauh disana, Sang Pemilik kehidupan sedang menanti kedatangan kita untuk memberi pertanggungjawaban secara seorang demi seorang. Oleh itu, jangan menganggap ringan hidup ini. Jika kita suka menggeser-geser sesuatu yang berharga dan mulia, ingatlah bahawa kita sedang SELANGKAH menuju kebinasaan yang sedang mengangakan mulutnya dihadapan hidup ini…


Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan