Popular Posts

Ahad, 25 September 2011

ANAK ANAK CINTA...


Anak-anak adalah wujud hati dan wajah jiwa kita. Duta nurani dan manifestasi cinta sejati seumpama kertas putih. Bersih. Terlahir bersih. Fitrah dan seharusnya terjaga tetap dalam keadaan fitrah. Tetap putih. Dan hanya dengan ramuan cinta. Formula yang terbentuk dari kerja jiwa. Selanjutnya cinta dapat membentuk istana bunga dengan aneka aroma. Cinta juga boleh membentuk seperti pelangi dengan aneka warna. Itulah kerja yang menghasilkan kasih. Beragam impian dan harapan serta mimpi dan imaginasi membentuk apa sahaja. Bekerja demi cinta menghasilkan kesetiaan. Bekerja untuk cinta berbuah kepuasan dan pengabdian.  Namun berkorban demi cinta, akan dapatkan keajaiban. Keajaiban cinta.


Pernikahan selalu menjadi sarana. Meretasi cinta, memupuk cinta, menumbuhkembangkan cinta, menyambung dan mengubati cinta, memadu dan meneguhkan cinta hingga cinta tumbuh segar, berakar, berbatang, beranting, bercabang, berdaun, berbunga dan berbuah.  Kukuh teguh hingga yang ada adalah keteduhan, kenyamanan, kedewasaan, kematangan serta kebijaksanaan.  Itulah cahaya yang menerangi setiap sudut rumah, setiap sisi kamar, setiap inci tanah dan setiap jengkal halaman.  Hanya cinta…cahaya dan jiwa. Kristalnya adalah anak. Anak adalah cinta, cahaya dan jiwa.


Di sanalah anak-anak dikandung lahir, berkembang dan dewasa. Dalam senandung doa-doa, dalam nyanyian munajat hati, dan lantunan hangat ayat-ayat cinta menjadi naungan hati yang penuh cinta…rumah cinta.  Sudah dapat di imaginasikan kesudahan akhirnya seperti apa hati anak itu bakal  berkembang. Pekerti yang mengakar dan jati diri tertumbuh.  Sebuah proses pendidikan berjalan alamiah dan penuh sentuhan cinta sejati. Biarkan takdir memainkan peranannya dan sejarah menulis prestasinya sendiri. 




Cubalah bayangkan…!


Di kala para isteri menanggung malu dengan kelahiran anak perempuan, Syaidatina Siti Khadijah ra mendapat bonus empat anak perempuan semua. Tidak pernah menangis terhiba-hiba, merayu agar suami tidak mencampakkan mereka. Tidak perlu berteriak-teriak hingga  hilang akal warasnya. Tidak pernah mengutuk diri sendiri, meratapi nasib sial yang menimpa atau membatu hati dengan menguburkan bayinya hidup-hidup. Atau diasingkan ke tempat jauh nan tersembunyi.  Hilang tidak bernisan.  Tetapi penuh dengan rasa bahagia, tenang, tenteram dan damai dari merasa wajah tercoreng kerana kelahiran anak-anak puteri. Sesungguhnya masyarakat mereka pada zaman itu menganggap anak-anak puteri membawa aib pada keluarga, meruntuhkan kehormatan diri dan mengukir malu pada keluarga. Tidak sama sekali. Syaidatina Siti Khadijah ra  tidak perlu melakukan perbuatan memalukan itu dengan perilaku sehina itu kerana Syaidatina Siti Khadijah ra cukup faham bahawa dirinya dengan siapa…suami yang berhati salju, selembut bayu…


Sekarang silalah kita lihat sendiri apa yang dilakukan oleh Baginda saw walaupun anak-anak puteri yang diberi Ilahi… Kasih sayang tidak berkurang sedikit pun sama sekali, walaupun hinaan dan cacian diterima oleh Baginda saw berdua. Cinta semakin meluap-luap tidak berhenti. Membumbung tinggi, memberi keteduhan, kenyamanan, keamanan dan ketenangan.  Di dakap Baginda saw jiwa-jiwa putih itu dengan kasih. Dipeluk Baginda saw hati-hati bersih itu dengan manja. Dan digendong Baginda saw dengan bangga ke mana-mana.  Malahan sering juga dibawa mengelilingi Kaabah di kala beribadah. Baginda saw dengan penuh kecintaaan dan dalam rasa kebahagiaan…Mengapa harus malu…? Tidak pernah merasa ada aib pada diri Baginda saw kerana anak-anak adalah cinta yang lahir. Cinta jiwa yang putih bersih.  Cinta yang menyatu dalam jiwa dan dalam sukma. Bagaimana mungkin anak jadi berdosa, atau pembawa aib kepada keluarga?!  Maka dianggap aneh bagi kalangan mereka kerana penghormatan luar biasa Rasulullah saw pada puteri-puteri Baginda saw.


Mari masuk dan sapalah mereka. Puteri-puteri yang lahir dan membesar di taman cinta.  Hati-hati yang penuh  bermandikan cahaya. Dari Ayah yang mencintai…yang memberi dengan sepenuh rasa. Dari Bonda yang mencintai yang menampung dengan sedalam jiwa. Saat cinta bertemu cinta maka akan memberi lebih banyak cinta. Mendekatlah, dan inilah anak-anak cinta itu… Yang pertama si sulung bernama Zainab. Hati nan teguh, jiwa nan mulia dan jalan hidup penuh warna dengan ujian, pengabdian, pengorbanan serta cinta. Selanjutnya Ruqaiyah. Si cantik puteri kedua. Gadis cerdik nan mempersona. Langkah panjang yang penuh keriangan. Suka dan duka diharunginya dengan cinta luar biasa. Manakala di sisinya adalah Ummi Kalsum. Memiliki hati yang teguh, namun manja. Puteri inilah yang menemani segala suka, mengawani setiap duka serta kesetiaan. Itulah hakikat cinta baginya. Sedang gadis terakhir adalah Fatimah…mawar wangi nan jelita. Pemilik hikmah yang dalam serta cekal dan beliau adalah puteri kesayangan Baginda saw. Semua jejak langkah mereka memenuhi semesta alam dengan cahaya dan cinta kerana laut jiwa mereka tidak terukur dengan ukuran angka matematik. Sungguh berkat Allah swt atas mereka. Anak-anak yang membesar dalam naungan cinta dan jiwa mereka yang penuh dengan cinta… Cinta pada Allah dan Rasul-Nya yang juga bapa mereka, pada suami mereka, pada anak-anak mereka dan pada sesama muslim…malahan pada umat Baginda saw.


Anak-anak cinta…Betapa maraknya langit sejarah dengan pesona jiwa mereka. Di kala hati bertaburan cinta, gemerlapan cinta, bercambah cinta yang mengisi rongga nafas mereka, aliran darah mereka, akal fikiran mereka, nadi dan saraf mereka, langkah mereka, sikap mereka, tutur kata mereka, amal mereka dan hidup mereka…Hidup dengan cinta dalam aliran cinta dengan jiwa yang mencintai…


Kini, mari kita semak apa yang boleh diambil pelajaran untuk diri kita, pasangan kita, anak-anak kita, jiran tetangga kita, dan semua sahabat kita…



Apa yang mampu kita dapatkan dari kehidupan keluarga tauladan Baginda saw

Tidak membezakan antara lelaki dan perempuan, masing-masing memiliki kelebihan

Begitulah kita seharusnya, berbuat baik kepada keluarga

Isteri dicintai, anak dimanjakan dengan tidak menghilangkan wibawa diri

Kerana rumah adalah syurga jika mampu kita pelihara

Namun boleh berubah menjadi neraka jika kita tidak menjaganya…

Wallahu`alam


Jagalah Hati…

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan