Alkisah di negeri Arab ada seorang janda miskin yang mempunyai anak. Oleh kerana anaknya menangis kelaparan, janda itu terpaksa keluar rumah untuk mencari wang.
Di depan sebuah masjid, dia bertemu seorang muslim dan meminta bantuannya, “Anakku yatim dan kelaparan, aku minta pertolonganmu” kata janda itu dengan suara hiba.
“Mana buktinya?” tanya lelaki muslim itu.
Janda itu tidak dapat memberikan bukti kerana dia sendiri orang asing di tempat itu. Akhirnya lelaki itu tidak menolongnya.
Setelah itu, janda miskin itu bertemu dengan orang Majusi. Dia pun meminta bantuannya. Orang Majusi itu mengajak ke rumahnya, memuliakannya dan memberinya wang, pakaian dan makanan.
Pada waktu malam, lelaki muslim yang menolak menolong wanita tadi bermimpi berjumpa dengan Rasulullah saw. Semua orang mendatangi Nabi saw dan Baginda saw menyambut mereka dengan baik. Ketika tiba giliran lelaki itu menghadap Rasulullah saw, Baginda saw mengusir dan menyuruhnya pergi. Lelaki itu berteriak, “Ya Rasulullah, aku ini umatmu yang mencintaimu juga” Rasulullah bertanya, “Mana buktinya?”
Lelaki itu tersedar bahawa Rasulullah saw menyindirnya kerana dia telah meminta bukti saat diminta pertolongan. Dia menangis, Rasulullah saw lalu menunjukkan sebuah taman yang indah di syurga.
“Lihat ini,” kata Rasulullah saw. “Seharusnya semua ini ku berikan kepada mu. Tetapi kerana kau tidak menolong janda dan anak yatim itu, ku berikan semua ini pada seorang Majusi”
Pagi harinya, lelaki itu terbangun dari tidurnya. DIa mencari janda miskin itu. Ternyata dia menemui mereka sedang berada di rumah seorang Majusi. “Marilah ikut bersamaku,” pinta lelaki itu pada si janda. Tetapi orang Majusi tidak mahu menyerahkannya. Aku sanggup berikan kepada kamu ribuan dinar, asalkan kau mahu menyerahkannya,” pinta si lelaki muslim. Orang Majusi itu tetap tidak mahu. Dengan suara yang agak tinggi, lelaki itu akhirnya berkata. “Janda ini orang Islam, seharusnya yang menolongnya sesama muslim juga!”
Orang Majusi itu lalu bercerita, “Malam tadi aku bermimpi bertemu Rasulullah saw. Baginda saw mengatakan padaku bahawa Baginda saw akan memberikan kepada ku syurga yang sebelumnya diberikan kepada mu. Ketahuilah oleh mu, pagi ini ketika aku bangun dari tidur, aku terus masuk Islam dan menjadi pengikut Rasulullah saw kerana aku telah menunjukkan bukti bahawa aku adalah salah seorang pencinta Baginda saw…”
Begitulah CINTA,,, laksana air mengalir yang memindahkan seluruh sifat dan watak sang kekasih kepada yang dicintainya. Bukti nyata kita mencintai Rasulullah saw adalah meneladani akhlaknya dan setia mengikuti Sunnah Baginda saw.
Rasulullah saw bersabda, “Orang yang paling aku cintai dan paling dekat denganku di antara kalian di Akhirat kelak adalah orang yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling ku benci dan paling jauh dariku di Akhirat adalah orang yang paling buruk akhlaknya, iaitu orang yang banyak berkata-kata, suka berbohong dan suka menghina orang lain” (HR Ahmad)
Dalam riwayat Anas bin Malik ra, Nabi saw bersabda, “Anakku! Jika kamu mampu pada pagi dan petang hari, peliharalah hatimu agar tidak ada kedengkian pada seseorang”
Lalu Nabi saw bersabda lagi, “Anakku! yang demikian itu adalah di antara Sunnahku. Siapa sahaja yang menghidupkan Sunnahku, maka dia sungguh telah mencintaiku. Siapa sahaja yang mencintaiku, maka dia akan bersamaku di syurga kelak” (Tirmizi)
“Katakan, (wahai Muhammad), ‘JIka kalian (benar benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai dan mengampuni dosa dosa kalian. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (QS 3:31)
Al Quran menuturkan, “Telah datang kepadamu seorang Rasul dari kalanganmu sendiri. Berat baginya apa yang kamu tanggung, sangat ingin agar kamu mendapatkan kebahagiaan. DIa sangat pengasih dan penyayang kepada orang orang yang beriman” (QS 9:128).
Bagaimana kita dapat ikut merasakan penderitaan orang-orang di sekitar kita? Bagaimana kita menjadi orang yang berusaha agar orang lain hidup bahagia dan memperolehi petunjuk Allah? Bagaimana kita menumbuhkan sikap pengasih lagi penyayang di dalam diri kita seperti Rasulullah saw mencontohkan kepada kita….?
Demi Allah yang memegang seluruh takdir dan tadbir makhluk-Nya, aku katakan disini pada seluruh saudara muslimku yang membaca entry ini bahawa berbohonglah orang yang mengaku mencintai Allah tetapi dia tidak mencintai Rasul-Nya. Berbohonglah orang yang mengaku mencintai Rasul-Nya, tetapi dia tidak mencintai kaum fakir dan miskin. Dan bohonglah orang yang mengaku mencintai syurga, tetapi dia tidak mahu mentaati Allah swt.
Hati kita akan bersama dengan orang yang kita cintai. Rasulullah saw menganjurkan kita untuk mencintai Baginda saw dan ahli keluarga Baginda saw. Kerana bila kita mencintai Baginda saw dengan tulus, maka perilaku kita akan sesuai dengan perilaku Rasulullah saw dan keluarga Baginda saw. Kita akan bertingkah laku seperti apa yang dikehendaki Rasulullah saw. Seluruh kejadian yang menimpa Rasulullah saw dan keluarga Baginda saw akan mempengaruhi emosi dan perasaan kita.
Kita tidak dapat bersandarkan dengan amal kita yang terbatas. Kita sangat bergantung dan mendambakan rahmat Allah swt. Siapa lagi yang menjadi rahmat bagi semua alam selain Rasulullah saw…?
Ingatlah pesan Rasulullah saw, “Tidak beriman seseorang sehingga aku lebih ia cintai dari dirinya sendiri...” (Bukhari dan Muslim)
Wallahu`alam
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan