Popular Posts

Selasa, 27 September 2011

BERSAHABAT DENGAN MASALAH...


Seorang kawan mengeluh, ”Tuan, saya sering dilanda masalah? Padahal saya ini sudah rajin berdoa, selalu berfikiran positif, tidak pernah menyusahkan orang lain, suka menolong orang dan jujur dalam bekerja. Kenapa ya tuan? Apa masalah saya? Saya sudah bosan sentiasa dilanda masalah.”

Masalah… Setiap orang pasti ada masalah. Setiap hari kita pasti berhadapan dengan masalah. Kita berurusan dengan masalah. Kita mendapat masalah. Kita membuat masalah. Malahan kita mungkin jadi sumber masalah. Masalah terbesar adalah jika kita tidak tahu bahawa masalah kita adalah kita merasa tidak ada masalah.
Saudara semuslimku, waktu kita mengalami masalah, bagaimanakah reaksi kita…?
Adakah kita marah? Sakit hati? Kecewa? Takut? Menyalahkan diri sendiri? Atau kita cenderung untuk menyalahkan orang lain…?
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa saya menggunakan judul ”Bersahabat Dengan Masalah”. Salah tajukkah? Patutkah kita diminta bersahabat dengan masalah?
Benar. ”Masalah” sebenarnya adalah hal yang sangat positif. Mari kita bahas terlebih dahulu makna di sebalik kata ”masalah”. Masalah, dalam bahasa Inggeris adalah ”problem”, ternyata mempunyai akar kata yang maknanya sangat berbeza dengan yang kita fahami selama ini.
Akar kata ”problem” berasal dari bahasa Yunani, proballein, yang bila ditelusuri lebih jauh mengandungi makna yang sangat positif. Pro bererti forward atau maju. Sedangkan ballein bererti to drive atau to throw. Jadi, problem bermaksud bergerak maju. Problem bererti kesempatan untuk maju dan berkembang.
Sewaktu pertama kali mengetahui bahawa akar kata problem, proballein, ertinya bergerak maju, saya sempat terhenyak dengan perasaan takjub. Sungguh luar biasa dan sungguh benar. Cuba kita renungkan bersama. Masalah sebenarnya adalah suatu simptom yang menunjukkan adanya suatu penyebab atau akar masalah. Oleh itu, dengan seringnya seseorang mendapat “masalah”, bila orang ini cukup bijak dan jujur pada dirinya sendiri, ia akan berkembang dan dapat lebih maju.
Benarkah begitu…?
Pernahkah kita atau mungkin orang yang kita kenali mendapat atau mengalami masalah?
Jawapannya, “Sudah tentu pernah.”
Pertanyaan saya seterusnya, “Adakah masalah yang dialami oleh kita itu mirip dengan masalah sebelumnya?”
Jika kita mahu bersikap jujur dan ikhlas dalam mengamati diri, maka seringkali masalah yang kita alami sifatnya “mengulang-ulang” masalah sebelumnya. Ada kemiripan atau kesamaan. Bentuk masalahnya mungkin berbeza, namun polanya sama.
Satu contoh. Ada seorang isteri diceraikan oleh suaminya. Si isteri pasti marah, kecewa, sakit hati, dendam, dan bersumpah akan mencari pasangan yang jauh lebih baik. Namun kenyataannya? Ia tetap mendapat suami baru yang mempunyai karektor serupa dengan mantan suaminya.
Ada rakan saya, seorang usahawan dikenali ramai, berulang kali kena tipu. Sekali kena tipu jumlahnya bukan setakat ribuan ringgit, tapi  mencecah jutaan ringgit. Dan ini terjadi berulang kali.
Seorang kawan yang lain seringkali bertengkar dengan isterinya hanya kerana hal-hal remeh. Misalnya hanya kerana si isteri memicit ubat gigi tidak dari bawah, tetapi dari tengah, si suami marah besar. Sebaliknya, si isteri walaupun telah diberitahu suaminya tetap mengulangi pola perilaku yang sama.
Masalah yang kita hadapi sebenarnya menunjukkan ”level” kita. Siapa diri kita sesuai dengan masalah yang kita hadapi. Bukankah ada tertulis dalam Quran bahawa Allah tidak akan membiarkan kita diuji melampaui kekuatan kita untuk mengatasinya? Dan setiap masalah pasti ada jalan keluarnya?
Masalah atau problem sebenarnya guru sebenar yang seringkali kita abaikan. Kebanyakan orang mengalami masalah yang serupa atau berulang kerana mereka tidak belajar dari masalah yang pernah mereka alami.
Ibarat pelajar universiti yang tidak dapat ke semester selanjutnya kerana kandas dalam peperiksaan, maka kita akan mengulangi semula kuliah yang sama. Tidak mungkin pensyarah akan menaikkan kita ke kelas berikutnya. Mengapa? Kerana soalan ujian di tahap ini pun kita tidak lulus apalagi kalau diberi soalan ujian tahap seterusnya…
Kita harus mengulang semula semester, dengan harapan kita akan belajar, meningkatkan diri, dan akhirnya mampu menjawab  soalan ujian hingga lulus.
Malangnya, di saat tidak lulus, kita bukannya belajar dari ”masalah” itu, tetapi ramai yang membuat masalah baru dengan menjadi marah, kecewa dan menyalahkan pensyarah atau universiti. Pernah kita bertemu dengan orang seperti ini?
”Ah, itu kan pelajar universiti. Sememangnya begitulah sikap mereka,” ujar sahabat saya.
Bukankah kita semua ini juga pelajar universiti? Kita belajar di Universiti Kehidupan. Kehidupan adalah tempat kita belajar, dan untuk maju kita harus menjadi pelajar seumur hidup atau life long learner.

Ada yang mengatakan bahawa pengalaman adalah guru yang paling baik. Saya kurang setuju dengan pernyataan ini. Menurut saya pengalaman adalah guru terbaik bila itu pengalaman orang lain.
Jadi, kita belajar dan mendapat pengetahuan dan kebijaksanaan dengan menelaah dan mempelajari pengalaman orang lain dan kita terapkan untuk kemajuan hidup kita.
Mana lebih baik, kita kena tipu RM 1 juta atau kita belajar dari pengalaman orang lain yang tertipu RM 1 juta? Jadi, kita gunakan pengetahuan ini untuk melindungi diri kita agar tidak mengalami masalah yang sama…
Pengalaman adalah guru yang terbaik bila kita dapat memetik pelajaran berharga dari apa yang kita alami. Kebanyakan orang mengalami ”pengalaman” hanya sekadar mengalami. Mereka tidak memetik pelajaran atau manfaat apa pun dari pengalaman atau masalah mereka.
Sekarang sudah jelas bahawa kita dapat belajar dari masalah. Tapi bagaimana caranya…?
Ada empat langkah untuk mengatasi setiap masalah dalam hidup:

1. Mengakui adanya masalah

2. Setiap masalah pasti ada sumber atau akar masalahnya

3. Bila akar masalah ditemui, maka masalah dapat dipecahkan

4. Jalan keluar untuk menyelesaikan masalah

Sebagai contoh kes….
Mari kita analisis kes yang di alami sahabat saya, iaitu yang sentiasa  kena tipu jutaan ringgit.
Langkah pertama adalah mengakui atau menerima bahawa ia punyai masalah. Ia harus berani mengakui dan memutuskan untuk mengubah hal ini. Masalahnya adalah ia berkali-kali kena tipu. Ramai orang yang bila mendapat masalah, hanya berdoa, pasrah, bersedih dan berkata bahawa masalah mereka adalah salah satu bentuk cubaan dari Allah.
Mereka meyakini bahawa masalah yang mereka alami merupakan ujian dari Ilahi, maka seharusnya Allah jua yang harus mengubah keadaan ini. Saya tidak setuju dengan pandangan sebegini. Bukankah ada tertulis dalam Quran bahawa Allah tidak akan membantu mengubah nasib hamba-Nya selagi hamba-Nya tidak bersedia mengubah nasib mereka sendiri.
Langkah kedua adalah memahami bahawa masalah yang di alami pasti ada sumber atau akar masalah. Dan akar masalahnya bukan terletak di luar diri, misalnya ia tertipu kerana kelicikan si penipu dalam meyakinkan dirinya sehingga mahu memberi pinjaman wang, tapi akar masalahnya terletak di dalam dirinya.
Langkah ketiga, bila akar masalah yang ada di dalam dirinya berjaya diselongkar, maka ia dapat mengatasi masalahnya.
Langkah keempat adalah memilih jalan penyelesaian terbaik yang akan digunakan dalam mengatasi masalah. Setelah berjaya melakukan empat langkah di atas, insya Allah kita akan dapat memetik hikmah dari apa yang kita alami.
Sekarang saya huraikan langkah demi langkah yang dilakukan sahabat saya…
Langkah 1. Masalah: Saya tertipu jutaan ringgit berkali kali.
Langkah 2. Saya menyedari bahawa akar masalah terletak di dalam diri saya.
Langkah 3. Akar masalah saya adalah kepercayaan bahawa saya adalah pemilik semua harta ini. 
Langkah 4. Saya mengubah kepercayaan saya, dari pemilik harta menjadi Pemegang Amanah Allah. Saya akan mengelola harta yang diamanahkan kepada saya ini dengan berhati-hati kerana saya akan dipertanggungjawabkan tentang harta ini di setiap hujung tahun untuk urusan zakat, dan saya akan ditanya di Padang Mashyar nanti dari mana dan ke mana saya belanjakan harta tersebut.
Hikmah yang di perolehi dari masalah ini adalah apa yang kita alami dipengaruhi oleh kepercayaan dalam diri kita. Setiap pegangan kepercayaan akan mengakibatkan risiko tertentu. Cara paling tepat untuk membuat muhasabah adakah suatu pegangan bermanfaat atau merugikan diri kita dapat di lihat dari akibat yang ditimbulkan oleh kepercayaan-kepercayaan itu terhadap hidup kita.
Selama seseorang masih tetap memegang nilai kepercayaan yang sama, maka ia akan mendapat hasil yang sama. Tidak mungkin terjadi seseorang mendapat hasil yang berbeza dengan kepercayaan yang sama. Einstein menjelaskan dengan sangat tepat ketika ia berkata, ”Insanity is doing the same thing over and over but expecting different result.”
Wallahu`alam




Jagalah Hati…



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan