Popular Posts

Sabtu, 10 September 2011

KEINDAHAN DI SEBALIK KEGAGALAN…


Maha Suci Allah swt yang telah mencipta segala sesuatu pasti ada maknanya. Tidak sia-sia keberadaan semuanya, termasuklah menghadirkan kegagalan demi kegagalan dalam kehidupan seseorang. Bagi orang-orang yang berjaya, setiap kesalahan, kegagalan, malahan hingga muflis dan kegagalan demi kegagalan merupakan guru terbaik yang akan mematangkan mental dan membimbing mereka menciptakan kejayaan.

Jika kita sudah menyedari bahawa segalanya dihadirkan pasti ada tujuan, termasuk kegagalan, maka apabila kita melakukan sebuah usaha, sama ada dalam perniagaan ataupun perkahwinan lalu gagal, maka bersyukurlah kerana kita diberi kesempatan untuk bermuhasabah. Lihatlah dari sudut pandang yang positif, maka kita akan melihat keindahan yang selama ini mungkin terpinggir dari pemikiran kita.

Memanglah jika belum terbiasa dalam mengurus hati , ia akan dirasa sangat berat. Mana mungkin setelah gagal disuruh mencari nilai positifnya.Tapi, saat emosi mulai reda dan stabil pasca kegagalan tersebut, seringkali timbul kesedaran bahawa “yang dulu dianggap kegagalan ternyata menyimpan sejuta pelajaran”. Yang dulu dianggap masalah ternyata di kemudian hari malah jadi berkat”. “Oh, kelmarin aku kalah tender, ternyata ada masalah di sebalik tender itu. Nasib baik bukan aku yang menang.”, “Hem, untung dulu aku dipecat oleh syarikat  tersebut, jika kekal di situ, mungkin aku tidak jadi orang berjaya seperti sekarang ini.”

Seperti kita ketahui, kegagalan itu adalah sebuah kata yang tidak enak untuk didengar. Setiap orang tidak suka dan tidak menginginkannya. Tetapi, seperti disebutkan di atas, kegagalan diturunkan pasti ada hikmah yang tersembunyi. Mungkin kegagalan itu datang untuk memuliakan hati kita, membersihkan fikiran dari keangkuhan, memperluas wawasan kita, mendekatkan diri kita kepada Allah swt, mengajarkan kita menjadi gagah tatkala lemah dan menjadi berani ketika takut. John F. Kennedy pernah  menyatakan bahawa, “Hanya orang yang berani gagal seluruhnya yang akan meraih kejayaan berlipat kali ganda”. Jadi, jangan takut gagal, kerana ia sama seperti takut kejayaan.  

Takut kejayaan? Adakah orang yang takut untuk berjaya…?

Menurut definisi Profesor Schein, “Takut untuk berjaya adalah perasaan yang mengajak kita untuk menghindari usaha setelah kita gagal”. Inilah penyakit yang disebut takut kejayaan.

Kita menjadikan kegagalan kita sebagai alasan untuk menghindari usaha yang merupakan syarat mutlak meraih kejayaan. Kononnya, penyakit inilah yang paling banyak diderita oleh manusia. Kegagalan adalah rempah ratus dalam perjuangan meraih impian. Dengan menyedari adanya kegagalan, kita akan selalu optimis menatap masa depan. Bahkan, sebenarnya kegagalan itu sangat penting bagi sesiapapun.

Untuk menjadikan kegagalan sebagai sumber motivasi dalam meraih kejayaan yang kita inginkan, maka kita perlu membuka fikiran dengan pelbagai pilihan. Ada banyak cara dan pintu untuk mencapai tujuan. Bukankah banyak jalan untuk menuju ke Mekah? Oleh itu, jangan digelapkan oleh satu cara yang sudah ternyata gagal. Jika satu cara gagal, bukan bererti cara lain sudah tertutup dan itu adalah akhir segalanya. Masih banyak pilihan kaedah yang boleh kita lakukan.

Allah swt berfirman, “Dan Yaakub berkata, “Hai anak-anakku, janganlah kalian bersama-sama memasuki dari satu pintu gerbang, masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan, namun demikian aku tiada dapat melepaskan kalian barang sedikitpun dari takdir Allah swt. Keputusan menetapkan sesuatu hanyalah hak Allah swt. Kepada-Nya-lah aku bertawakal dan hendaklah kepada-Nya sahaja orang-orang yang bertawakal berserah diri.”” (QS. Yusuf : 67)

Melalui kegagalan, Allah swt memberikan pembelajaran secara bertahap, mematangkan mental, emosi dan semangat kita. Kegagalan adalah tangga-tangga menuju puncak kejayaan. Itulah indahnya kegagalan yang dapat membiaskan pengalaman-pengalaman yang mempesonakan, sebagai modal kehidupan dalam pengabdian kepada Allah yang Maha Rahman…

Wallahu`alam.

 Jagalah Hati…

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan