“Cintailah kekasihmu sekadarnya sahaja, siapa tahu nanti akan jadi musuhmu…”
Kita telah sering mendengar sepatah kata yang mampu menyihir hati menjadi bergetar kerananya, iaitu CINTA. Sebuah kata yang berjaya menjadi tonggak kehidupan di dunia, CINTA. Ia melahirkan sebuah perasaan damai yang bersemayam di hati setiap insan, CINTA. Satu kata yang telah mewarnai hidup setiap manusia, CINTA…
Kata yang telah membangunkan insan-insan yang tidur, yang menyedarkan orang-orang yang terlelap, dan yang membangkitkan orang-orang yang patah semangat. Itulah yang sering disebut CINTA.
Cinta yang indah, yang membuat dunia ini sempit bagai milik berdua, yang menjadikan bumi tempat berpijak bagai karpet merah dan permadani mewah, yang menjadikan langit bagai pantulan wajah orang yang dicintai, yang membuat lautan bagai lukisan tentang keindahan yang dicintai, yang membuat kicauan burung bagai panggilan dari sang pecinta…
Namun, bila rasa cinta yang tumbuh di hati itu ternyata tidak sesuai dengan realiti, tidak sesuai dengan harapan yang semestinya, maka ramai orang menjadi gila akibat cinta mereka. Perasaan mereka yang awalnya diselimuti cinta yang lembut kini telah berubah menjadi perasaan yang kalut. Yang awalnya bunga asmara berkembang dengan indahnya, tiba-tiba menjadi kebun kering kontang seperti terkena rebut taufan. Yang awalnya perasaan cinta itu menjadi tiang penyangga yang kukuh, kini telah berubah menjadi sebuah tiang yang rapuh. Cinta yang awalnya menjadikan hati bagaikan bangunan yang megah kini telah menjadi debu penuh derita.
Ya, cinta yang awalnya menjadi sebuah ubat kini telah menjadi racun. Bila orang itu merasakan hancurnya cinta, maka ia juga akan merasakan hancur hidupnya. Hancurnya perasaan seseorang akan terpancar pada hancurnya diri orang itu sendiri. Ya, hanya kerana patah hati.
Seseorang yang patah hati seakan terumbang-ambing dan tidak lagi stabil. Dirinya gelap mata hanya kerana mata cintanya telah terpejam. Haruskah orang yang patah hati merasakan semua kepedihan itu…? Haruskah bila setiap orang yang patah hati meneguk habis setiap titisan penderitaan itu…? Patutkah orang yang telah hancur cintanya menghancurkan hidupnya sendiri? Jawapannya adalah TIDAK!
BERMAIN HATI…?
Sebenarnya, cinta bukanlah satu kata yang dapat dengan mudah kita wujudkan. Perlu pelbagai macam rintangan, ujian, dan cubaan demi mematangkan cinta kita. Demi membuat cinta kita adalah cinta yang kuat, yang tidak mudah goyah, yang akan menjadi cinta yang kukuh, yang menjadi cinta yang berakar dalam hati, cinta yang benar-benar tidak lagi lemah.
Urusan cinta bukanlah hal yang mudah. Cinta yang lemah maka akan mudah pula dihempas zaman. Cinta yang rapuh maka akan mudah pula diruntuhkan waktu.
Cinta seharusnya perasaan yang kuat, perasaan yang benar-benar muncul dari lubuk hati terdalam. Ia mampu memunculkan setitis pelita cinta yang hangat. Yang mampu menjadi penggerak semangat tidak berputus asa. Yang muncul sebagai api cinta yang akan menerangi kehidupan kita.
Namun sebagai akibatnya, kita harus sentiasa bersedia ketika cinta itu diuji. Ini kerana dunia adalah medan pertarungan cinta. Cinta tidak akan pernah menjadi sempurna bila cinta kita itu sendiri tidaklah teruji dengan berbagai masalah.
Dan sudah semestinya setiap orang harus faham akan konsep ini. Kebanyakan orang tidak mengerti akan hal ini dan ketika cinta mereka diuji maka cinta mereka tidak kuat menahannya. Dan hasilnya…? Cinta itu akan mudah pudar. Cinta itu akan dengan mudahnya menghilang. Oleh kerana mereka tidak mengerti bahawa cinta itu adalah sebuah jalan yang menentukan dan bukan hanya sekadar permainan.
Cinta menjadi salah satu penanda aras kejayaan kita di dunia dan keselamatan kita di Akhirat. Perhatikanlah bagaimana jalan cinta orang-orang yang derhaka. Orang-orang yang hanya mencipta cinta sesuai dengan hawa nafsunya. Maka sungguh mereka adalah golongan yang rugi.
Tetapi bila kita mampu menjalankan cinta ini sesuai dengan kudrat dan kadarnya, maka inilah salah satu jalan keselamatan. Cinta yang tidak hanya suatu yang dipermainkan hawa nafsu, cinta yang tidak hanya menjadi senda gurau belaka.
Masihkah kita ingat bagaimana cintanya isteri Aziz kepada Nabi Yusuf as? Ketika ia dengan cinta yang telah dipermainkan hawa nafsunya mengajak Yusuf untuk berzina. Namun ingatlah ketika Nabi Yusuf as, yang saat itu sudah hendak ingin terjerat dalam rayuan wanita itu. Ia mampu menahan perasaannya kerana jiwa yang ia miliki tidak diperturutkan kepada hawa nafsunya.
CINTA…SEBUAH KATA KERJA
Dan yang harus diperhatikan oleh setiap orang ialah bahawa cinta itu sebenarnya sebuah kata kerja dan bukan kata sifat. Sebuah kata yang sudah seharusnya kita yang mengendalikan dan bukan kita yang dikendalikan.
Jika cinta dijadikan kata sifat dalam kamus kehidupan kita, maka kita akan hancur sendiri kerana cinta. Ini kerana bila cinta dan nafsu yang mengendalikan kita, maka hancurlah kehidupan.
Perhatikanlah bagaimana orang-orang yang tidak mampu mengendalikan cinta mereka. Mereka gelap mata kerana perasaan mereka sendiri, mereka hancurkan diri mereka dengan hati mereka sendiri. Akal mereka dikendalikan oleh selubung mabuk asmara. Fikiran mereka telah dikaburkan dengan “arak” yang bernama cinta…nikmat, namun mematikan…
Tetapi lihatlah bagaimana orang-orang yang menjadikan cinta itu sebagai kata kerja. Sebagai sebuah perasaan yang mampu dikendalikan. Akal dan hatinya tidak dibawah kawalan hawa nafsu atas nama cinta. Mereka mampu mengatur kadar cinta mereka. Mereka tidak menjadikan diri mereka sebagai hamba gelora asmara mereka sendiri.
Bila cinta mereka sesuai dengan harapan, maka mereka akan bersyukur. Namun bila cinta mereka tidak sesuai dengan keinginan, mereka tidaklah kufur. Mereka tidak menghancurkan diri sendiri hanya kerana cinta. Mereka mampu mengatur hati dan perasaan mereka.
CONTOH TERBAIK
Dan bila kita ingin mengaplikasikannya dalam kehidupan kita, maka sudah seharusnya kita kembali melihat ke belakang. Melihat contoh terbaik yang berasal dari generasi terbaik, iaitu generasi sahabat, lalu tabi’in, dan para salafusoleh.
Suatu hari, Salman al-Farisi ra ingin meminang salah seorang wanita Madinah. Namun kerana Salman ra yang berasal dari Parsi tidak tahu bagaimana cara untuk meminang wanita Madinah, maka ia meminta bantuan sahabatnya, Abu Darda ra untuk meminang salah seorang wanita.
Ketika sampai di rumah si wanita dan setelah mengutarakan maksud dan tujuan untuk meminang, akhirnya keluarga wanita itu memberikan jawapan balas. Keluarga wanita itu menolak pinangan Salman, tetapi menerima Abu Darda ra jika Abu Darda ra berkeinginan untuk menikahi wanita itu.
Apa reaksi Salman ra? Adakah Salman ra marah kepada Abu Darda ra ? Adakah Salman ra melaknat Abu Darda ra? Adakah Salman ra memutuskan hubungannya dengan Abu Dardara ? Maka jawapannya adalah TIDAK…!
Yang terjadi adalah sebaliknya. Salman ra rela dengan keputusan keluarga wanita itu. Lalu dalam salah satu riwayat, Salman ra berkata, “Aku menghendaki wanita itu, namun ia menghendaki kamu, wahai Abu Darda”.
Dan dalam riwayat lain Salman ra berkata, “Semua mahar dan nafkah yang ku persiapkan ini akan aku serahkan kepada mu, wahai Abu Darda dan aku akan menjadi saksi pernikahan kalian”
Sebuah kisah yang benar-benar mengharukan hati kita. Membuktikan bahawa cinta bukanlah suatu yang liar, melainkan mampu dikendalikan. Dan Salman ra telah membuktikannya. Ia tidak diperbudak dengan cinta dan nafsunya. Namun ia melihat melalui kacamata keikhlasan. Ia tidak pernah memaksa kehendak cintanya dipenuhi. Kerana ia tahu bagaimana sebenarnya cinta yang matang. Ia tahu bahawa cinta yang sempurna datang dari hati yang kuat dan bukan hati yang lalai lagi lemah.
Sementara itu, ada lagi salah satu kisah unik dari Ibnu Qayyim al-Jauziyah.
Dahulu Ibnu Qayyim jatuh cinta pada salah satu puteri Imam Al-Mizzi (salah seorang ulama ahlussunnah). Ia sangat mencintainya. Namun Imam al-Mizzi tidaklah menikahkan puterinya dengan Ibnu Qayyim, tetapi Imam Al-Mizzi menikahkah puterinya dengan Ibnu Katsir, murid Ibnu Qayyim sendiri.
Apakah dengan itu lantas Ibnu Qayyim marah pada Ibnu Katsir? TIDAK!. Lihatlah bagaimana orang-orang cemerlang menjadikan cinta itu sebuah kata kerja, sebuah kata yang ia sendiri yang mengendalikannya.
Kesimpulannya, patah hati bukanlah sebuah alasan. Bukan pula menjadi penghalang. Kerana cinta itu perlukan ujian untuk semakin mematangkannya. Cinta yang sempurna muncul dari hati yang kuat. Fahamilah bahawa cinta itu luas dan bukan sekadar permainan belaka. Hidupkan cinta kita dengan cinta, dan jangan hentikan curahan cinta kita itu hanya kerana patah hati. Bangkitlah dari kedukaan kita itu…!
Wallahua’lam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan