Popular Posts

Ahad, 11 September 2011

KATA AYAHANDAKU...


 Kata ayahandaku…
“ Wahai anak ku, kau akan belajar di sana
Belajar menjadi murid alam raya
Belajar bahasa…bahasa hati
Belajar menulis… menulis buku kehidupan
Belajar membaca… membaca puisi hati
Belajar menghafal… menghafal Quran
Belajar menghitung... menghitung dosa
Belajar menggambar...menggambar alam semesta“


Kata ayahandaku...
„“Wahai anak ku, kau akan banyak berteman di sana
Bersama alam yang ramah...
Bersama angin yang pemurah...
Bersama mentari yang hangat...
Bersama hujan yang bersahabat...
Bersama malam yang hitam...
Bersama sepi yang mencengkam...
Bersama hati yang gundah...
Bersama panorama yang indah...“


Kata ayahandaku...
„Wahai anak ku, kau akan jalani hidup baru di sana
Bersama ladang ilalang...
Bersama semak dan belalang...
Bersama haiwan peliharaan...
Merata tanah
Membajak sawah
Menanam pohon
Menyabit rerumputan
Memelihara ternakan
Merawat lembu beranak pinak“


Kata ayahandaku...
„Wahai anak ku, itu adalah sebuah perjalanan
Ke pengasingan hati yang melelahkan
Ke ladang sunyi di hujung buana
Beruzlah di batas benua
Tinggalkan segala kesenangan dunia
Untuk hidupkan hati
Untuk cerahkan nurani
Untuk persiapan setelah mati“


Kata ayahandaku...
„“Wahai anak ku, itu adalah pengorbanan
Dan pengorbanan selalu perlu pada
Hati yang bersih
Jiwa yang putih“


Kata ku pada selimut malam
Bersaksikan bulan purnama dan bintang bergemerlapan
Bawakan pesan ini buat arwah ayahandaku...
„“Wahai ayahandaku... aku faham, kau lakukan semua itu
Cuma kerana inginkan anak mu ini menjadi hamba Allah yang banyak bersyukur
Aku tahu kau pasti malu pada Rasulullah saw
Dan kau akan lebih tersiksa bila mengadap Allah swt
jika melihat anak mu ini hanya menjadi usahawan berjaya tanpa bekal iman
dada kosong dari ilmu
hati gersang dari amal
dan lidah kering dari zikrullah...“


Pesan dan wasiat ayahandaku
Menusuk sedemikian dalam ke lubuk hatiku
Mengubah paradigma
Menghancurkan godaan dunia
Memutar arah perjalanan hidup ke arah tasawuf
Mengingati kembali pesan ayahandaku…
Aku jadi memahami
Betapa kuat tekad beliau
Agar aku terus belajar menjadi manusia sejati
“Sungguh, aku ingin sepertimu, wahai ayahandaku...”


Sebuah nostalgia sempena ulangtahun pulangnya ke rahmatullah ayahandaku,
Syed Jaafar Rahmatullah Al-Haddad yang ke-30

Tiada ulasan:

Catat Ulasan