Popular Posts

Selasa, 13 September 2011

TIDAK BERUNTUNGKAH KITA…?


Percayakah  saudara semuslimku, jika saya katakan bahawa kita adalah dari kalangan manusia yang beruntung? Ya! Kita beruntung. Tersangat beruntung. Tidak kira siapa pun kita; terlalu tinggi, rendah, gemuk, hidung kemek, kulit gelap atau cerah, rupa tidak menawan, suara tidak memikat, ilmu tidak tinggi, sijil tidak boleh digantung di dinding, belajar tidak jauh hingga ke luar negara, kerja tidak hebat mana, rumah tidak sebesar istana, duit tidak seberapa…dan seumpamanya ( jika itu yang buat kita selalu rasa yang kita tidak beruntung).


Kita sebenarnya masih tersangat beruntung andai… saat ini kita masih lagi umat Islam, hamba Allah. Yang punya Allah yang Maha Esa lagi Maha Kuasa, Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Dia tidak pandang apa yang kita rasakan penting di dunia ni. Sesungguhnya di sisi Allah, semua manusia makhluk ciptaan-Nya itu sama sahaja kecuali yang berTAKWA.


Kenapa kita beruntung? Kita beruntung kerana kita lahir sebagai umat Islam. Hidup dalam keluarga muslim. Kita beruntung kerana ini bermakna kita adalah hamba yang telah dipilih oleh-Nya untuk memikul tanggunggjawab dan amanah-Nya di muka bumi ini. Hamba yang dipercayai-Nya untuk memakmurkan bumi, menjaga bumi…. Sebagai khalifah-Nya.


Tidak beruntungkah kita, bila lahir-lahir sahaja, kita telah muslim kerana lahir dari benih hamba-hamba-Nya yang muslim, yang telah dijamin syurga untuk kita, andai kita tunduk patuh pada perintah-Nya, meninggalkan yang dilarang, melakukan yang disuruh?


Tidak beruntungkah kita andai kita boleh mendapat perhatian yang istimewa dari Allah hanya dengan berbuat segala yang fardu dan bertambah dekat disisi-Nya bila berbuat yang sunat?


Tidak beruntungkah kita andai kita boleh mendapat keampunan dari Allah setelah kita berbuat kesilapan dan dosa dengan hanya perlu bertaubat dengan taubat nasuha?


Tidak beruntungkah kita apabila diberi habuan di dunia dan pahala di Akhirat akibat perbuatan taat atau kebaikan yang kita lakukan di dunia ini, sekalipun hanya dengan niat yang terlintas di hati, tapi dimaafkan andai terdetik untuk berbuat maksiat atau kejahatan selagi kita tidak melakukannya?


Tidak beruntungkah kita bila kita punya Robb yang setiap masa memerhatikan kita, memelihara kita, memberi kita warna-warna hidup dengan tawa dan tangis dan mencukupkan semua keperluan kita di dunia ini?


Tidak beruntungkah kita ada Robb yang selalu ingat pada kita walau kita selalu lupa pada-Nya?


Tidak beruntungkah kita bersama-Nya yang menanti-nanti kita memohon pada-Nya untuk dipenuhi permintaan itu?


Tidak beruntungkah kita? Tidak beruntungkah lagi…? Untuk semua keistimewaan dan ganjaran yang Ilahi janjikan yang Dia tidak sekali-kali akan mungkiri, tidak beruntungkah kita…? Sedangkan kita bukan siapa-siapa, bukan dari kalangan yang cerdik pandai, cantik menawan, hartawan jutawan…tapi kita yang dipilih menjadi hamba-Nya untuk menjadi sebahagian dari umat Islam. Tidak beruntungkah kita? Di antara jutaan manusia yang silih berganti setiap zaman… kita yang ditakdirkan menjadi umat Islam!


Kita beruntung kerana tidak perlu mencari-cari cahaya dan jalan hidup yang lurus. Tidak seperti mereka yang lahir dari keluarga yang bukan Islam. Mereka perlu cari sendiri cahaya itu. Mereka perlu tempuh dugaan hidup yang lebih sukar sebenarnya. Tapi hidayah Allah itu diberi kepada sesiapa yang di ingini-Nya. Dan bila mereka sudah berjaya menemui cahaya itu, merekalah yang selalunya lebih tunduk setia menuruti cahaya itu. Kerana mereka sudah merasai payahnya untuk menemui dan mendapatkannya. Lantas itulah mereka lebih menghargainya.


Lalu kita sebagai sekalian yang telah beruntung sekian lama…hargailah keberuntungan itu. Janganlah mensia-siakannya. Kembalilah pada-ya yang telah lama menanti kita. Sebelum Dia menarik semula keberuntungan itu dan jadilah kita dari kalangan manusia yang rugi dan menyesal di Akhirat kelak.

Wallahu`alam.



Jagalah Hati…

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan