Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita dipanjangkan usia untuk berada dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.
Kehadiran Ramadhan menyibukkan sesetengah orang melakukan sedikit perubahan, seperti orang perempuan yang biasanya membiarkan rambut terdedah, menutup kepala mereka dengan tudung sekalipun jambulnya masih tersembul, manakala orang lelaki bertatih-tatih ke masjid untuk solat secara berjemaah.
Ini perkembangan yang baik tetapi alangkah besar manfaatnya jika amalan ini berterusan sepanjang waktu. Jika perubahan ini dilakukan semata-mata bagi menghormati Ramadhan atau mendapatkan kelebihan beribadat pada bulan penuh barakah ini, dikhuatiri seseorang itu menjadi hamba Ramadhan dan bukan hamba Allah swt yang menunjukkan ketaatannya sepanjang usianya.
Berhubung perkara ini, kita tertanya-tanya mengapa sesetengah pihak hanya begitu ghairah mendesak penutupan pusat hiburan dan maksiat pada bulan Ramadhan, sedangkan diam seribu bahasa pada bulan-bulan lain. Apakah ini bermaksud pada Ramadhan sahaja kita berbuat baik, sebaliknya pada bulan-bulan lain bebas berbuat sesuka hati kita…? Apakah ini bermaksud Allah hanya ada pada bulan Ramadhan, sedangkan pada bulan-bulan lain, Allah seolah-olah tidak wujud…?
Pemikiran dan tindakan mengasing-asingkan corak kehidupan berdasarkan masa dan tempat ini sebenarnya amalan sekular. Berdasarkan ini, tidak hairanlah orang berusaha mematuhi suruhan agama seperti memakai tudung pada bulan Ramadhan tetapi pada bulan-bulan lain tidak menghiraukannya sedangkan perintah Allah swt berhubung penutupan aurat adalah pada sepanjang masa.
Demikian juga ketika menunaikan haji di Tanah Suci, seorang Muslimah sentiasa mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya, tidak kelihatan seorang pun wanita yang memperlihatkan rambutnya. Adakah ini bermaksud Allah swt itu hanya ada di Mekah, manakala di luar musim haji dan di luar Tanah Haram, Allah swt tidak wujud kerana perintah-Nya dilanggar sewenang-wenangnya.
Pemikiran sekular ini sudah lama meresap dalam masyarakat kita. Ada sebahagian daripada kita melakukan perintah Allah swt berdasarkan apa yang disenangi, sebaliknya menolak apa yang difikirkan mendatangkan kerugian. Misalnya, pada ayat 178 Surah al-Baqarah, Allah swt memerintahkan manusia berhukum dengan hukum Qisas, kebanyakan manusia tidak mempedulikannya tetapi apabila diperintahkan berpuasa pada ayat 183 surah yang sama, mereka menerimanya.
Kecenderungan melakukan perintah secara terpilih ini, menyebabkan umat Islam berkelakukan baik pada suasana yang memerlukan mereka bertindak sedemikian, sebaliknya pada luar lingkaran itu, bertindak di luar batasan agama. Jika mereka di masjid, mereka menunjukkan ketaatan tetapi di luar pintu masjid, seolah-olah perintah Allah tidak laku. Itulah sebabnya mengapa sebahagian umat Islam melakukan aneka maksiat seperti rasuah, rompakan dan penyelewengan kerana agama bagi mereka adalah dalam lingkungan masjid dan pada bulan dan musim tertentu saja.
Pada bulan Ramadhan ini, ramai bertukar baik, tetapi sebaik saja masuk bulan Syawal kelakuan mereka kembali buruk. Aneka maksiat kembali dilakukan, penyelewengan dan penganiyaan menjadi-jadi, termasuklah dalam bidang politik.
Penindasan diteruskan, segala tazkirah dan pengajaran Ramadhan tidak tersangkut di hati. Manusia kembali liar, malah mungkin lebih buruk lagi sebelum Ramadhan.
Jika ini berlaku, seseorang itu dikhuatiri menjadi hamba Ramadhan, gagal menjadi hamba Allah yang patuh dan tunduk kepada perintah dan hukum-Nya sepanjang masa.
Mungkin dalam hidup seseorang dia sudah menyambut 50 kali Ramadhan sesudah balighnya, tetapi amalannya tetap sama saban tahun.
Pada bulan Ramadhan dia bertukar baik, tetapi pada bulan-bulan lain merapu dalam tindak-tanduknya kerana hidup tidak berpandukan Syariat. Semoga kita tidak tertipu buat sekian kalinya Ramadhan ini, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh menjadi hamba-Nya yang mendapat keredhaan-Nya dunia dan akhirat.
Beribadat dan berbaktilah sepanjang hayat kita, usah pada bulan Ramadhan sahaja…
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.