Salah satu inti ajaran Islam adalah membimbing manusia menemukan tujuan hidup yang sebenarnya. Islam mengajak manusia untuk merenungi satu pertanyaan yang paling asas bagi setiap orang, iaitu untuk apa manusia hidup di dunia ini.
Pertanyaan ini tentu memerlukan sebuah jawapan yang tepat kerana jika manusia tidak tepat dalam menjawabnya, maka manusia akan gagal dalam hidupnya. Jika manusia gagal dalam hidupnya di dunia, maka manusia juga akan gagal di Akhirat kelak.
Bagaimanakah cara manusia menjawab pertanyaan itu…? Ada sebahagian orang yang mencari jawapannya dengan semata-mata bersandarkan pada akal. Ternyata hasilnya nanti, setiap orang memiliki pendapat yang berbeza-beza. Ada yang berpendapat hidup ini untuk mencari kekayaan dan kesejahteraan hidup, ada yang berpendapat hidup ini untuk mencari kekuasaan dan keunggulan atas manusia yang lain, ada yang berpendapat hidup ini untuk membina peradaban yang maju, ada juga yang berpendapat hidup ini untuk mencari pelbagai kesenangan dan kenikmatan.
Dan masih rencam lagi pendapat lain, sesuai menurut hasil pemikiran masing-masing. Jika kita perhatikan, pertanyaan di atas sebenarnya cukup mudah, namun ternyata sukar untuk menjawabnya. Bukan sahaja akal manusia tidak mampu menjawabnya, malahan jika ditanyakan kepada orangramai, maka muncul perbezaan pendapat. Rupanya akal manusia memiliki kelemahan, iaitu tidak semua hal dapat difikirkannya. Hal-hal yang ghaib, Akhirat, Syurga, Neraka dan sebagainya, akal tidak dapat menjangkauinya, sekalipun manusia itu pintar dan hebat akalnya.
Bagaimana dengan kita? Kita sebagai orang Islam memiliki panduan hidup yang diberikan Allah kepada kita, iaitu petunjuk Allah di dalam Al Quran dan sunnah Rasulullah saw. Jadi, kita sebenarnya tidak perlu meraba-raba dan mencari-cari lagi, tidak perlu sampai letih akal kita mencari jawapannya. Lebih baik kita bersandar pada yang telah Allah berikan kepada kita. Itulah jawapan yang tepat menurut Al Quran dan itulah yang patut menjadi pegangan kita, yang menjadi keyakinan kita, serta amalan perjuangan kita, agar kita mendapat keselamatan. Di dalam Al Quran disebutkan bahawa sesungguhnya yang benar itu datang dari Allah. Oleh itu kita terima sajalah jawapan dari Allah. Semoga dengan begitu kita selamat di dunia dan Akhirat.
Lalu, apa jawapan Allah atas pertanyaan kita itu. Ternyata Allah telah memberikan jawapan kepada kita, iaitu, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka menyembah (beribadah) kepada Aku.” (QS Adz Dzaariat 56)
Ayat tersebut mengatakan kepada kita bahawa Allah menciptakan kita untuk beribadah atau mengabdikan diri kepada-Nya. Dengan kata lain, kita diciptakan untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Maka dengan ayat tersebut kita memiliki dalil dan hujah yang kuat. Malahan jika ditinjau secara logik akal mahupun secara psikologi, akal kita menerima bahawa sudah selayaknya manusia menyembah Allah yang telah menciptakannya dan hati kecil kita pun setuju untuk menyembah Allah.
Selain dengan dalil ayat suci Al Quran, kita juga dapat membuktikan dengan mudah bahawa akal dan hati kita setuju untuk menyembah Allah. Sebagai contoh, bagaimanakah perasaan kita jika ada orang yang memanggil kita dengan sebutan hamba Allah? Tentu kita tidak akan menolaknya, bahkan kita merasa senang hati. Akal kita menerimanya dan hati kita menyetujuinya. Walaupun kita bukan seorang hamba Allah yang patuh dan taat kepada Allah, kita tetap merasa senang dan terhibur dengan sebutan itu.
Mengapa begitu? Kerana memang Allah telah menjadikan kita untuk menjadi hamba-Nya. Apa yang dipersetujui oleh Allah, dipersetujui juga oleh akal serta hati kita.
Sebaliknya, bagaimanakah perasaan kita jika ada orang yang memanggil kita dengan sebutan hamba dunia, hamba harta atau hamba nafsu? Akal dan hati kita tidak setuju diri kita dilabelkan begitu. Bukan hanya tidak setuju, bahkan hati kita terasa sakit. Jika seseorang yang sedang sakit kronik dituduh-tuduh menjadi hamba selain Allah mungkin dia akan meninggal dunia pada sat itu juga…
Begitulah, apa yang tidak dipersetujui oleh Allah juga tidak disokong oleh akal dan nafsu. Dan sebaliknya, apa yang tidak dipersetujui akal dan hati, Allah juga tidak menyetujuinya. Oleh itu, mahu tidak mahu, kita harus menyembah Allah. Allah setuju, akal setuju dan hati setuju. Jadi jika manusia tidak mahu menyembah Allah, tidak mahu mengabdikan diri kepada Allah, tidak mahu tunduk dan patuh kepada Allah, dia bukan saja menentang Allah, bahkan menentang akal dan hatinya. Pada hakikatnya manusia menentang dirinya sendiri.
Seseorang yang menentang dirinya sendiri, maka dia tidak akan mendapatkan kebahagiaan dalam hidupnya. Walaupun seseorang itu memiliki pangkat dan kuasa yang tinggi, rumah yang mewah dan harta kekayaan yang melimpah.
Buktinya begitu banyak. Kita lihat sahaja bangsa-bangsa yang dikagumi kerana kemajuan mereka di bidang ekonomi dan perniagaan, juga terdapat ramai orang terkenal, tapi begitu ramai juga yang mati bunuh diri kerana mereka sudah kehilangan kebahagiaan. Kebanyakan mereka adalah orang yang terkenal tapi hidupnya penuh kekecewaan…
Mengapa demikian…? Kerana mereka sama sekali tidak mengenal Allah, tidak mahu menyembah Allah. Mereka menentang dirinya sendiri sehingga akibatnya mereka tidak dapat meraih kebahagiaan. Oleh itu, kita harus mengenal dan menyembah Allah agar kita dapat selamat di dunia dan Akhirat, insya Allah.
Mungkin hati kecil kita akan bertanya, “Jika benar manusia itu sudah selayaknya menyembah Allah, mengapa perasaan hati kita sendiri selama ini tidak mengajak atau mengingatkan kita agar menyembah Allah…? Kita juga merasa susah untuk taat kepada Allah…?”
Hal itu disebabkan kerana di dalam diri manusia ada dua musuh batin yang sentiasa mempengaruhi hati dan akal manusia. Kedua musuh batin itu adalah syaitan dan hawa nafsu yang selalu menggoda manusia dan membawa manusia pada jalan kesesatan. Di dalam Al Quran disebutkan, “Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang sangat nyata” (QS Al Baqarah:208). Dan tentang nafsu, Allah juga berfirman, “Sesungguhnya nafsu itu selalu mengajak manusia pada kejahatan” (QS Yusuf: 52)
Oleh kerana dalam diri manusia itu ada dua musuh batin, maka hati manusia menjadi lalai dan derhaka kepada Allah. Jika syaitan dan hawa nafsu tidak ada, tentu semua manusia akan mengenal Allah, cintakan Allah, malahan tenggelam dalam kecintaan kepada Allah kerana fitrah manusia telah mengenal Allah sejak sebelum ditiupkan-Nya roh dan mengetahui bahawa Allah sahaja yang patut disembah dan diagungkan.
Lalu dengan cara bagaimanakah kita menyembah Allah…? Cara menyembah Allah atau beribadah kepada Allah ada tiga bahagian, iaitu,
1.Ibadah yang asas: Mempelajari, memahami, meyakini Rukun Iman, serta mempelajari, memahami dan melaksanakan Rukun Islam, iaitu Syahadat, Solat, Puasa, Zakat, dan Haji bagi yang mampu.
2.Ibadah Fadhailul ‘Amal: Amalan-amalan yang utama seperti puasa Isnin Khamis, solat Tahajud, solat sunat Rawatib, membaca tasbih, tahmid, tahlil, membaca Selawat Nabi saw dan lain-lain.
3.Ibadah yang umum: Ibadah yang lebih luas, seluas dunia, iaitu hal-hal mubah (boleh) yang dapat dijadikan amal ibadah jika memenuhi lima syarat, iaitu
a. Niat yang benar iaitu kerana Allah.
b. Perkara yang kita lakukan dibenarkan oleh syariat
c. Pelaksanaannya juga sesuai dengan syariat
d. Hasil yang diperolehi dipergunakan sesuai syariat
e. Jangan sampai meninggalkan ibadah yang asas.
Moga kita sama-sama dapat mengambil manfaat. Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan