Popular Posts

Rabu, 24 Ogos 2011

MUHASABAH DI HUJUNG RAMADHAN...




Kualiti amal kita kepada Allah swt tidak diukur melalui jumlah, kuantiti, berat atau ringannya sesuatu ibadah. Akan tetapi, diukur oleh hati yang ikhlas.


Keikhlasan itu hanya muncul dari hati yang zuhud, hati yang tidak dipenuhi oleh hasrat, kecuali hanya kepada Allah. Kerana itu, walaupun berapa kecil, sedikit, dan barangkali lekeh sekalipun, jika amalan itu muncul dari hati yang zuhud, nilainya besar dan banyak di sisi Allah.


Sebaliknya, jika amalan itu dihitung dengan kuantiti, walaupun dilakukan oleh ribuan orang, tapi keikhlasan dan kezuhudan tidak tertanam dalam hatinya, sebanyak apa pun amalan tersebut, ia tetap dinilai kecil.


"Dua rakaat dari seorang alim yang zahid itu lebih dicintai oleh Allah daripada ibadah orang yang beribadah, tapi penuh cita-cita duniawi," terang Nabi Muhammad saw sebagaimana diriwayatkan melalui Ibnu Mas'ud ra.


Dengan demikian, ukuran kualiti amal kita terletak dari keikhlasan dan kezuhudan meraih redha Allah dan syurga-Nya. Ramadhan sebenarnya datang untuk meletakkan pemahaman kita di atas pelantar ini. Kita berpuasa lalu berbuka. Kita tegakkan yang wajib, bahkan ditambah dengan yang sunat, tangan kita terbuka dan membentangkan sedekah, yang semua itu harus dipandu dengan penuh keikhlasan dan kezuhudan sehingga akan mudah sampai pada terminal redha dan syurga-Nya.


Kini, secara perlahan, Ramadhan yang agung akan meninggalkan kita. Tinggal menghitung hari, kita akan menyelesaikan ibadah puasa dan setelah itu Aidilfitri.


Lantas muncul pertanyaan, apa yang telah kita dapat selama bulan penuh rahmat dan ampunan ini...?


Adakah ada sesuatu yang baru dapat kita petik dari hikmah puasa yang bakal kita terapkan dalam kehidupan kita setelah Ramadhan…?


Adakah puasa kita kali ini tidak jauh berbeza dengan puasa-puasa sebelumnya…?


Berbagai pertanyaan itu patut kita sampaikan dalam rangka merenungkan kembali apa yang telah kita lakukan selama menjalankan ibadah Ramadhan. Ramai yang mengatakan, kecenderungan kita lebih banyak melaksanakan ibadah puasa sebagai ritual rutin kerana bulan Ramadhan akan selalu ditemui setiap tahun. Ramai juga orang berpuasa kerana memang waktunya berpuasa. Kita berpuasa kerana kebanyakan orang berpuasa. Ertinya, puasa kita tidak lebih hanya kerana mengikuti tradisi…


Tentu kita semua tidak mahu dituduh berpuasa kerana mengikuti tradisi. Bagaimanapun, ada juga yang mengemukakan alasan bahawa kita berpuasa kerana benar-benar mahu mengikut ajaran agama. Ada yang ingin kejar kesucian diri dan kemenangan. Ada yang ingin kita menjadi manusia ikhlas, zuhud, dan istiqamah dalam merangkai ketakwaan.


Dalam takwa, ada keseriusan dan ketaatan. Bererti Ramadhan menempa kita untuk menjadi manusia yang serius dalam ketaatan kepada-Nya. Dengan demikian, kesucian diri itu akan kita perolehi dan kemenangan pun insya Allah kita raihkan, iaitu kembali kepada kesucian dan meraih kemenangan di hari yang fitri…


Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan