“Tiada suatu hari pada hamba-hamba Allah kecuali dua malaikat turun, seraya berdoa, “Wahai Allah berilah ganti bagi orang yang bersedekah”, dan malaikat yang kedua berkata. “Wahai Allah, berilah orang yang menahan hartanya (bakhil) kehancuran” (Sahih Bukhari)
Limpahan puji ke hadrat Allah swt yang Maha Mulia, yang Maha Agung dari segenap keagungan yang berawal dan bersumber dari-Nya serta berakhir kepada-Nya.
Alam semesta ini hanyalah bayangan keagungan Ilahi, bayangan keindahan Allah, hakikatnya bukan alam semesta tapi hakikatnya adalah Al Wujud Jalla wa ‘Alaa subhanahu wata’ala yang Maha Ada.
Mungkin dalam setiap saat kehidupan kita sejak puluhan tahun yang lalu penuh kegelapan dan dosa, lalu kita ingin saat ini hati kita merasa di lihat oleh yang Maha Melihat, di lihat dosa-dosa kita untuk dihapuskan, di lihat musibah kita untuk diganti dengan anugerah, di lihat kesedihan kita untuk diganti dengan kenikmatan, dilihat segala duka nestapa kita untuk diganti dengan kebahagiaan dunia dan Akhirat. Itulah harapan kami wahai yang Maha Melihat hati kami. Kami sedar ataupun tidak, Engkau tetap melihat kami, kami sedar ataupun tidak, Engkau tetap mengatur hidup kami, maka aturlah kami dengan sebaik-baik pengaturan…Amin…
Allah memberi satu lorong kehidupan besar bagi mereka yang mahu mencapai kesempurnaan hidup, dan Allah bukakan satu pintu besar bagi mereka yang memilih kesulitan hidup, seraya berfirman, “Maka barangsiapa (memberikan hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan)” . (QS. Al Lail: 5-7 )
Maka barangsiapa yang banyak mengeluarkan hartanya dalam bersedekah, bukan hanya bersedekah sahaja, tetapi juga bertakwa dan memperbanyak ibadah serta membenarkan hal-hal yang baik, maka apa yang akan dilakukan oleh Allah terhadap orang-orang yang seperti itu? Firman-Nya, ” Maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan) (QS Al Lail:7)
Jika Allah telah berjanji, ”Akan Aku mudahkan jalan menuju kemudahan”, maka apa sahaja yang ada di hadapan kita, baik soal rumahtangga, pekerjaan, pelajaran, perniagaan dan apa pun yang ada di hadapan kita itu, maka Allah akan menjadikannya mudah, ditumpahruahkan anugerah tanpa kita sedari, sebagaimana firman Allah swt, ”Siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia (Allah) akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka ” (QS At Thalaq: 2-3)
Limpahan anugerah Ilahi tercurah seluas-luasnya pada kita yang memperbanyak sedekah, memperbanyak ibadah dan membenarkan hal- hal yang baik.
Perhatikan pula amaran Allah bagi yang berbuat sebaliknya, iaitu firman-Nya ” Dan adapun orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan (pahala) yang terbaik, maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kesukaran (kesengsaraan)” (QS Al Lail: 8-10)
”Maka akan Kami (Allah) mudahkan baginya jalan menuju kesukaran (kesengsaraan) ” (QS Al Lail:10). Rumahtangga dilanda krisis, pekerjaan sukar, kehidupan dunianya rumit, Akhiratnya juga payah dan ia akan menemui kesulitan yang terus menerus.
Takdir Allah diserahkan kepada kita, untuk memilih jalan yang mana untuk dipilih. Kita tidak akan dapat ke mana-mana, kita harus memilih salah satu di antara dua jalan, iaitu jalan yang baik. Jika kita memilih jalan ini, maka kita akan menemui sedikit hambatan dan kemudian kemudahan dan kemudahan hingga kemudahan yang abadi. Atau memilih jalan yang kedua, yang tidak kelihatan kesulitannya, nampaknya mudah, tetapi hujungnya adalah jurang. Masih beruntung jika hujungnya hanya sekadar jurang, tapi jika itu adalah jurang neraka…?
Kita memohon kepada Allah semoga semua wajah yang membaca entry ini diberi kemudahan dunia dan Akhirat, semua yang ada ini dibimbing oleh Allah menuju jalan kemudahan, Ya Rahman Ya Rahim Ya Zal Jalaali wal Ikram.
” Dan mereka dapati (semua) apa yang telah mereka kerjakan, dan Robb mu tidak menzalimi seorang pun” (QS Al Kahfi:49)
Rasulullah saw bersabda, sebagaimana diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari, ”Hendaklah di antara kalian bersedekah”, maka seorang sahabat berkata, ” Ya Rasulullah, jika ia tidak punyai apa-apa?”, maka Baginda saw berkata, ”jika ia tidak miliki apa-apa, maka bekerjalah lalu bersedekah”. Lalu sahabat bertanya lagi, ”Jika sudah mencari pekerjaan tetapi tidak mendapatkan?”. Maka Rasulullah saw berkata, ”maka bantulah orang yang susah”, (contohnya si buta yang ingin melintas, kita pimpin ia untuk melintas, meskipun bukan harta yang dikeluarkan) Maka ada sahabat yang bertanya lagi, ”Ya Rasulullah jika yang seperti itu juga tidak ada?“. Maka Rasulullah saw berkata, ”perbanyaklah amal baik dan menjauhi larangan Allah” .
Jadi jika tidak ada apa-apa yang dapat disedekahkan, sama ada harta, tenaga, mahupun ilmu, maka hendaklah ia memperbanyakkan amal baik dan menjauhi larangan Allah kerana hal itu juga merupakan sedekah baginya.
Saudara semuslimku, ada satu hal yang perlu juga saya nukilkan dalam masalah sedekah ini. Ketika para sahabat sedang berdialog dengan Rasulullah saw sepertimana riwayat Bukhari di atas, maka Allah swt telah mewahyukan kepada Baginda saw, ”Dan mereka bertanya kepada mu (Muhammad) tentang apa yang (harus) mereka sedekahkan, katakanlah kelebihan dari apa yang diperlukan” (QS Al Baqarah:219)
Para sahabat sudah banyak bersedekah, kaum Ansar sudah memberi dari setengah harta mereka, kaum Muhajirin pula telah meninggalkan seluruh harta di Mekah, tapi mereka masih ingin bersedekah, maka Allah swt berfirman, ”Katakanlah (Muhammad), bersedekahlah dengan maaf “
Jika mahu bersedekah, maka berilah kemaafan dan itu adalah sedekah yang termahal…
Jika seseorang memiliki sepuluh buah kereta mewah, dan bersedekah 5 buah darinya, maka hal itu masih lebih kecil di bandingkan ia harus memberi maaf kepada orang yang paling dibenci. Atau dirasakan lebih baik jika kita mempunyai dua rumah, lalu kita wakafkan sebuah darinya untuk warga fakir, kerana bagi kita lebih mudah daripada memaafkan orang yang kita benci. Jadi sedekah yang paling berat adalah memaafkan orang-orang yang bersalah kepada kita.
Jadi maafkanlah orang yang pernah berbuat salah terhadap kita. Jika ada pertanyaan, “kenapa kita harus memaafkan orang yang salah kepada kita?” Maka jawabnya, kerana kita juga banyak berbuat jahat kepada Allah swt. Tidak malukah kita yang banyak berbuat jahat kepada Allah jika tidak mahu memaafkan orang yang berbuat jahat kepada kita…?!
Kita berharap Allah memaafkan kejahatan kita kepada-Nya, lalu bagaimana pula kita tidak mahu memaafkan orang yang berbuat jahat kepada kita…?
Bagaimana jika kelak kita ditanya di hadapan Allah swt ” Engkau yang meminta maaf dari Ku sedangkan kau tidak mahu memaafkan hamba Ku yang lainnya, bukankah ia juga ciptaan Ku..?”
Orang yang melakukan kejahatan terhadap kita juga adalah ciptaan Allah yang hadir sebagai ujian bagi kita.
Mengapa Allah yang menciptakan keindahan juga menciptakan dia yang bersifat buruk, bengis, licik dan penuh kejahatan? Ia tidak lain, supaya menjadi alat bagi kita untuk mendekatkan diri kepada Allah, yang dengan itu kita akan mencapai darjat antara orang yang paling dicintai Allah swt, insya Allah…
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan