Mencintai dan dicintai
Mana yang lebih bahagia ya?
Mencintai…atau dicintai?
Mencintai sesuatu yang sesuatu itu juga mencintai kita… tentulah seronok, kan?
Tapi, bagaimana pula kalau kita mencintai sesuatu yang sesuatu itu tidak mencintai kita?
Dan bagaimana pula kalau kita dicintai sesuatu yang tidak kita cintai?
Pasti ramai yang pernah merasa indah serta bahagianya mencintai dan sekaligus dicintai oleh yang kita cintai. Saat itu, serasa dunia ini kita yang punya. Saat itu, pahit rasa manis, yang masam dan busuk jadi wangi. Masa pula, jadi pantas, malah terlalu cemburu bila kita bersama yang dicintai dan mencintai kita. Malam jadi panjang sangat, seolah tidak sabar menanti mentari terbit untuk meneruskan hari-hari bahagia bersama yang dicintai dan mencintai kita. Saat tu juga, sedar atau tidak, perasan atau tidak… kita pasti akan melebihkan yang dicintai itu dari segala-galanya. Bahkan kadang-kadang, tika ini…yang dosa boleh jadi gula-gula, yang haram bukan apa-apa, yang syubhat lagi tidak ternampak di mata. Ilahi pun… mungkin macam tidak ada. Paling kurang, kita berdoa juga…tapi berdoa agar umur kita panjang untuk terus bahagia bersama yang kita cintai dan mencintai kita itu.
Dalam masa yang sama, pasti ramai yang pernah merasai bagaimana pedihnya… bila kita mencintai sesuatu yangg sesuatu itu tidak mencintai kita. Bila jadi begini, kadangkala terkeluar rasa tidak puas hati kita pada Allah. “Kenapa kita tidak boleh rasa bahagia seperti orang lain? Kenapa kita tak dapat memiliki apa yang kita cintai seperti orang lain?” dan banyak lagi. Tapi tidak kurang juga yang terus membiarkan perasaan cinta itu subur dalam hati. Biar pedih, biar terluka…kita rela. Kita tetap sanggup berkorban apa jua untuk kebaikan dan kebahagiaan yang kita cintai itu. Kerana yang penting orang yang kita cintai itu bahagia dengan hidupnya. Dan kerana kita juga sedar, yang dinamakan cinta sejati itu tidak semestinya bersatu.
Tidak kurang juga yang pernah merasai betapa keliru serta bingungnya apabila diri kita dicintai oleh sesuatu yang tidak kita cintai. Mungkin juga sedikit rasa tertekan, serba salah, bersalah, atau mungkin juga rasa benci. Tertekan, mungkin kerana yang mencintai kita itu mendesak kita untuk mencintainya, atau mungkin juga tertekan kerana kita tidak dapat mencintai yang mencintai kita itu kerana kita sudah mencintai yang lain.
Kita dilanda rasa serba salah dan bersalah kerana kita tidak mampu membalas segala pengorbanan serta kebaikan yang telah diberikan oleh yang mencintai kita itu kepada kita.
Atau mungkin juga rasa benci kerana kita tidak suka padanya. Atau benci kerana ia menimbulkan masalah pada kita. Apabila yang mencintai kita dan kita pun mencintainya tahu yang kita dicintai oleh yang lain.
Tiba-tiba rasa macam pening pula. Rasa berbelit-belit…
…..sebenarnya, apa yang saya ingin sampaikan ialah… dalam situasi mana pun seperti di atas kita berada, kita sebenarnya selalu melupakan sesuatu yang setia mencintai kita, sejak sebelum kita ada di dunia ini lagi. Yang setia mencintai kita dengan memenuhi segala kehendak serta keperluan kita walaupun ada masanya kita tidak pernah mahu memandang pada-Nya. Yang selalu siap memenuhi permintaan kita. Yang selalu ada disaat-saat kita susah, sedih, bingung…walaupun bila kita gembira,suka,senang…kita yang meminggirkan-Nya. Yang selalu sudi memaafkan segala kesalahan kita pada-Nya. Yang selalu rela melupakan segala kekurangan kita.
Saya pasti, saudara semuslim tahu siapa yang dimaksudkan itu. Dialah ALLAH. Robb kita. KHALIQ yang menciptakan kita. Yang selalu mencintai kita sebagai hamba-Nya. Dia selalu menanti-nanti bila kita akan menoleh pada-Nya, menghargai kewujudan dan kemurahan-Nya pada kita dan mengalihkan cinta kita kepada-Nya yang teratas dan terutama.
Semoga kita selalu sedar hakikat cinta dan mencintai. Moga-moga kelak, kita tidak menjadi sebahagian dari mereka yang rugi, lantas memohon agar dihantarkan semula ke dunia sekali lagi setelah mati. Kerana, sesungguhnya itu tidak akan sekali-kali terjadi...
Wallahu`alam
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan