Setiap kali Ramadhan berkunjung, usia kita juga makin bertambah. Selari dengan usia yang bertambah, maka beransur pulalah kita meresapkan kembali tentang Lailatul Qadar itu di dalam gelombang hidup kita. Kita baru mengerti bahawa Lailatul Qadar ialah malam Lailatin Mubarakatin, iaitu Malam yang diberkati, dan malam yang diperingati. Kerana pada malam inilah mulanya turun Al-Quran ke dunia ini di dalam gua Hira, disampaikan oleh Jibril kepada Nabi kita, Muhammad saw.
Tidak kurang dari 45 ulama meriwayatkan tentang Lailatul Qadar. Segala pengetahuan tentang Malam Seribu Bulan seharusnya telah diketahui secara meluas dari pelbagai sumber… Maka, letakkanlah kitab Hadis buat seketika, lalu tinjau perjalanan hidup kita ini:
Dapatkah kita menikmati Lailatul Qadar…?
Renungkanlah hidup yang dilalui, alangkah banyaknya nikmat yang telah di limpahkan Allah kepada hamba-Nya. Kerapkali kita mendambakan sesuatu, keinginan itu dikabulkan oleh Allah. Dan sekali-sekala diuji-Nya iman kita, ditimpakan-Nya kepada kita kesusahan. Tetapi apabila kita hitung-hitung dan dan banding, hakikatnya ialah, nikmat-Nya lebih banyak daripada kesulitan dan penderitaan yang ditimpakan pada kita.
Bandingkan lagi, apabila nikmat datang dan sepintas lalu kita merasa puas, bila dikenang-kenangkan lagi, masih ada kekosongan terasa dalam hati. Sesuatu di ingini sebelum ada, tetapi setelah ada, kita menginginkan pula yang belum di miliki. Lalu, di mana batasnya?
Bertambah pengalaman hidup ini, bertambah pula terasa memang ada satu hal yang masih dikehendaki oleh jiwa ini. Jiwa terasa kosong bila hal itu tidak dapat. Ada pula rupanya kehausan dalam rohani, pelepas haus itu bukanlah material, kuasa atau makhluk. Bukan sahaja diri kita, malah ramai orang di sekeliling kita merasa belum juga lepas dahaga rohaninya, padahal dalam hal material banyak keinginannya telah tercapai.
Pada suatu ketika, kita termenung memikirkan diri dan memikirkan Maha Pencipta diri! Kita munajat memanggil Dia, “ Ya Allah, tarik tanganku, naikkan aku..!” Pada waktu itu, kita lepaskan pengaruh yang lain; dari harta benda, dari yang dicintai, lalu dibulatkan ingatan kepada yang Maha Tunggal.
Apa yang dirasai…? Kita tidak nampak Dia, tetapi ajaibnya…dahaga rohani itu jadi hilang. Kita merasa keberadaan. Waktu itu baru kita sedari bahawa hakikat hidup ini lain. Hidup hakiki bukanlah semata-mata benda. Kepuasan yang mendalam adalah kepuasan roh! Itulah yang ada dinamakan Tumakninah, dan di waktu yang lain dinamakan Sakinah!
Setiap waktu kita dianjurkan mencarinya, mencubanya. Syukur kalau sering kita mendapatinya. Solat lima waktu, ditambah dengan solat Nawafil (sunat) pun adalah pintu untuk memasuki saat itu.
Puasa Ramadhan lebih-lebih lagi, adalah pintu untuk memasuki suasana itu. Moga-moga entah di malam yang mana, memang terbukalah pintu langit bagi rohani kita.
Berusia 1000 bulan pun telah terlalu lama. Jarang manusia yang mencapai usia melebihi 90 tahun. Kalaupun ada, kekuatan sudah tidak ada lagi. Tetapi Allah membuka kepada kita saat-saat pendek yang menentukan arah seluruh hidup kita ini.
Marilah kita belajar dari sejarah…
Pada suatu hari seorang jahiliyah musyrik mencari Nabi saw dengan niat hendak membunuh Baginda saw. Sebab dia memandang Muhammad saw sebagai seorang pengacau. Di tengah jalan ada orang bertanya, “Engkau hendak ke mana?” Musyrik itu menjawab, “Aku hendak mencari Muhammad, hendak membunuhnya kerana telah ramai pemuda-pemuda yang telah sesat dari ajaran nenek-moyang mereka, disebabkan mengikuti ajaran Muhammad”. Lalu orang yang bertanya itu menasihatinya, iaitu sebelum mencari Muhammad, pergilah lihat dahulu adik perempuannya yang telah “berubah” pula. Dengan segera dan marah dia pergi ke rumah adik perempuannya itu. Setelah sampai, dilihatnya adiknya sedang membaca sebuah catatan dengan amat khusyuknya, dan suaminya mendengarkan dengan khusyuk juga. Mereka tahu dia masuk, tetapi mereka tidak peduli.
Dengan garangnya, diminta catatan itu dari adiknya, dia hendak tahu apa isinya. “Tidak boleh”, kata adiknya, “Abang tidak boleh, jangankan membaca, menyentuhnya pun tidak boleh.” Dengan amat murka ditampar adiknya itu, hingga berdarah pipinya dan terjatuh catatan yang dibacanya itu. Catatan itu dikutip oleh orang itu, lalu dibacanya; Pangkal ayat surah Taha, “Tidaklah kami turunkan kepada engkau Al-Quran supaya engkau sengsara. Melainkan peringatan bagi orang yang takut. Diturunkan oleh yang menjadikan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas Arasy.” ( Taha, 1-5).
Dibacanya ayat-ayat itu dua tiga kali, diulang-ulangnya, maka datanglah suasana yang menentukan arah hidup manusia 1000 bulan itu. Ayat-ayat itu masuk ke seluruh tubuhnya, ke seluruh jiwa raganya. Maka berubahlah mukanya, dia berkata kepada adiknya: “Di mana Muhammad sekarang? Bawa aku kepadanya! Aku akan masuk Islam!”
Itulah Syaidina Umar bin Khattab !
Seorang pemuda merayau pada lewat malam, mencari perempuan yang akan dapat diajaknya berzina. Tiba-tiba dilihatnya di satu rumah lampunya terang dan kedengaran suara perempuan sedang bernyanyi dengan suara yang merdu. Sudah dia tahu bahawa di rumah itu memang ada perempuan cantik tidak bersuami. Pemuda itu menyelinap masuk rumah itu. Di muka bilik perempuan itu, dia terpegun melihat rupa perempuan itu yang cantik dan mendengarkan suaranya yang merdu bernyanyi. Rupanya perempuan itu bukan bernyanyi, melainkan membaca Al-Quran dengan sangat khusyuknya. Tepat didengar oleh pemuda itu, ayat, “Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman buat tunduk hati mereka mengingat Allah dan kebenaran yang telah Dia turunkan.” ( QS Al-Hadid: 16)
Seakan-akan kepadanyalah dipukulkan ayat itu. Padahal wanita itu tidak tahu bahawa ada orang yang mengintipnya. Telah datang saat itu, suatu saat yang mempunyai nilai lebih dari 1000 bulan. Pemuda itu merasakan dalam tubuh jiwanya dan dalam hati sanubarinya akan adanya iman itu, hanya selama ini diselubungi oleh hawa nafsu. Runtuhlah pada saat itu segala angkara syahwat, timbullah kesedaran malu dan lain-lain perasaan lagi dari kemanusiaannya, dengan langkah lambat, dia pun meluncur turun, dia terus ke masjid dan solat. Sejak malam itu berubahlah hidupnya 100%.
Itulah orang soleh yang dikenali dengan nama Fudhail bin Ayyad.
Maka untuk mendapat anugerah suasana pendek Lailatul Qadar, yang nilainya lebih dari 1000 bulan itu tidak lain, hanyalah dengan hati yang ikhlas di hadapkan semata-mata kepada Allah. Mulailah dahulu dengan kesedaran adanya diri sendiri, kemudian lihatlah dan renunglah alam sekeliling.
Di sini ada harapan suasana itu akan datang, suasana yang disebut oleh para sufi :
“Tidaklah aku melihat kepada sesuatu, melainkan aku lihat Allah jua besertanya.”
Bukan Wihdatul Wujud! Melainkan Wihdatul Syuhud.
Kita sering teringat kepada sahabat yang membawakan buah tangan sebagai hadiah sepulangnya mereka dari Mekah; Apakah kita harus lalai lagi dengan buah tangan hadiah dari Allah..!
Orang Buddha menemukan saat bersemadi untuk mencapai Nirwana. Orang Yogi mempunyai latihan Yoga.
Maka kita orang Islam mempunyai Iktikaf di masjid. Mempunyai pula ibadat selama bulan Ramadhan. Moga-moga dikurniakan “Lailatul Qadar”. Iaitu menurut yang digariskan oleh syarak, menurut Al-Quran dan Sunnah, dengan muhasabah dan muqarabah. Kita mengharap datang saat itu. Bukan kita rasai keadaan yang sebenarnya, iaitu; Dia Ada beserta kita! Bukan beserta Zat dengan Zat, tetapi roh kita merasai dekat dengan Dia. Tidak ada yang mendinding. Sebab mata hati menembus segala dinding.
Tadi dikatakan, kerapkali setelah menerima kenikmatan kebendaan dan keduniaan, kita masih sahaja merasakan masih ada sesuatu yang kosong. Sebaliknya ada pula saat-saat yang kita ditimpa murung dan muram. Terlindung jalan, tertutup segala pintu. Tidak nampak jalan keluar. Gelap!
Pernahkah kita terasa hanyut, hingga jika ada rumput pun kita sanggup berpegang. Atau pernahkah kita merasa seperti jatuh ke lubang yang dalam dan gelap. Akar terjuntai kalau ada, mahupun rumput mahu rasanya kita bergantung.
Pintu terbuka tidak ada… Rumput tidak ada… Akar berjuntai pun tidak ada. Tapi akan teruskah begitu? Pada waktu gelap-gulita malam, tidakkah ada sebuah bintang pun bercahaya menemani?
Ada…! Saat gelap, sepi, gelisah dan muram itu tidak akan lama. Waktu solat telah tiba. Kita berwuduk dan kita berdiri, takbir, rukuk dan sujud. Sehabis solat, kita dapat merenung sejenak. Kita dapat bermonolog…bersahut-sahutan dengan diri sendiri.
Apa yang kita renungkan, Wahai diri…? Lupakah diri bahawa kita ber-Tuhan? Dan Dia selalu ada dekat dengan kita? Dari dalam rahim sampai kita lahir, siapa yang memelihara kita? Siapa yang menimbulkan air susu pada bonda kita? Siapa yang menangis mulai sahaja keluar dari rahim, bersama tangis itu pula tumbuh kasih-sayang bonda pada diri kita, siapa yang menumbuhkan kasih-sayang itu?
Cuba fikirkan kembali, berapa kali kesusahan yang kita dialami telah dilepaskan-Nya? Baru sedikit kesulitan menimpa diri, kita telah berkeluh kesah. Bagaimana sebenarnya hubungan kita dengan Ilahi? Apakah hubungan cinta kita kepada Allah hanya sekadar untuk kesenangan? Demi tiba sedikit cubaan Nya, kita telah mengeluh? Mana tahu ujiannya yang sekali ini adalah ujian sebenar atas curahan kasih kita kepada-Nya?
Mengapa begitu wahai diri…?
Air mata pun menitis! Kata Baginda saw, air mata seorang hamba bila telah terbit kerana mengenang Robbnya, itulah tali penghubung antara bumi dan langit…
Setelah selesai bertanya pada diri, memang ada rasanya yang terbuka. Dada jadi lapang, Nur memenuhi kalbu, pintu langit terbuka rasanya. Bukit dan kayu-kayan di hutan turut rasanya bersujud. Dibawa tubuh ke tempat pembaringan, tidur pun jadi nyenyak. Tenteram telah memenuhi jiwa. Saat itu sungguh pendek, tapi nilainya lebih dari 1000 bulan.
Terasa pada waktu itu, Allah dekat sekali; Allah ada bersama kita. Kita tidak berdiri sendiri, kita tidak hanyut, kita tidak jatuh ke dalam lubang yang dalam. Dia melihat kita, Dia tersenyum penuh kasih memandang kita. Sehingga terasa bahawa kasih antara kita dengan Dia, bukan lagi bagai parang yang tajam sebelah.
Pandangan kita kepada orang lain, yang ada sangkut-pautnya dengan kehidupan kita pun berubah. Jika mendapat keuntungan dari pertolongan seseorang, maka kepada Allah-lah kita mengucapkan syukur yang sebenarnya, kerana Allah telah melantik orang itu sebagai perantara sebagai saluran nikmat-Nya kepada kita. Dan kita pelihara hubungan silaturrahim dengan orang itu dalam usaha mensyukuri nikmat Allah. Tetapi bukanlah kepada orang itu kita menghambakan diri dan mengorbankan maruah diri.
Sebaliknya, jika ada orang yang dengki kepada kita, berbuat jahat kepada kita, berlaku curang, membuat fitnah, mengarang dusta untuk mencelakakan kita, dendam kita hilang berganti dengan keinsafan bahawa dia hanya alat sahaja untuk Allah melangsungkan ujian kepada kita. Rasa bencinya tidak kita sambut dengan benci pula. Malahan doalah yang timbul moga-moga dia di beri petunjuk dan dihindarkan dari bahaya kerana telah biasa berlaku bahawa orang yang menggali lubang untuk membuat orang lain terjatuh, akhirnya dia sendiri yang terjatuh ke dalam lubang itu terlebih dahulu.
Inilah kekayaan hati yang timbul bilamana kita telah merasai suasana “Lailatul Qadar” itu. Hanya sejenak tetapi nilainya lebih dari 1000 bulan. Sehingga di dalam menghadapi nikmat dan musibah, hanya satu yang kita ingat, iaitu Redha.
Penderitaan menjadi pemupuk kekayaan hati. Gelombang dan angin badai yang demikian dahsyatnya tadi berganti dengan lautan yang tenang dan langit yang cerah. Pintu gerbang untuk memasuki ketenteraman hati dan Halawatul Iman, kelazatan rasa percaya kepada Allah itu ialah Doa.
Setelah berdoa! Mohon kepada-Nya apa yang kita inginkan. Doa itu sendiri adalah ibadat. Apabila seseorang tekun dan istiqamah berdoa, jelaslah kelihatan betapa seorang hamba yang menyedari kemuflisannya tengah mengadukan perasaan kepada Robb-nya yang Maha Kaya. Dan yang sebaik-baiknya doa ialah menyerahkan kepada-Nya apa yang patut Dia berikan. Dan jika hendak memilih juga, sebaiknya pilihlah kekayaan yang kekal dunia membawa ke Akhirat. Jangan malu-malu! Mintalah, “Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.”
Contohilah doa Permaisuri Asiah, isteri Firaun, yang telah berani menegakkan iman di tengah-tengah syirik. Tinggal di dalam istana indah, tetapi hatinya tidak lekat di sana. Dia berdoa, “Wahai Robb ku! Bangunkan untuk ku sebuah rumah di sisi Engkau dalam syurga.” ( QS At-Tahrim: 11)
Siti Asiah, permaisuri Firaun, tidak meminta emas-perak, tidak meminta istana yang indah, tidak meminta benda. Pengalaman-pengalamannya sebagai isteri maharaja, sudah cukup pahit. Kemegahan dunia ini hanya laksana memakan buah limau, hanya manis di permulaan, namun pahit yang ditinggalkan.
.
Dia memohon dibuatkan rumah di syurga, di tempat aman damai; tidak ada umpat-puji, tidak ada fitnah dan kata-kata bohong. Keinginannya hanya sebuah rumah di alam lain, tidak di dunia ini, dan dekat dengan Ilahi.
Demikianlah jika telah dilatih dekat dengan Allah, maka yang dimohon kepada Ilahi di dalam doa pun jadi setaraf dengan hati yang telah mencapai mustawa itu. Sebab itu, maka hati yang tidak terlatih akan kerapkali melahirkan doa yang sumbang kepada Allah swt.
Doa… jika tidak kita pandai berdoa dalam bahasa Arab, berdoalah dalam bahasa kita. Kerana syarat utama dari doa ialah hati yang ikhlas.
Tegakkanlah selalu Allah di dalam hati. Bertemanlah dengan orang-orang soleh, insya Allah suasana “Lailatul Qadar” yang dibicarakan dengan nilai 1000 bulan akan dirasai nilainya melebihi dari itu. Kita akan mendapat hati yang tenteram, kepuasan rohani, kebahagiaan Akhirat, dan redha Allah, “Wahai jiwa yang telah mencapai ketenteramannya, pulanglah kembali kepada Robb mu, dalam keadaan redha dan diredhai. Maka masuklah dalam golongan hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (QS Al-Fajr: 27-30)
Kita akan mendapat saat yang pendek yang akan menentukan jalan hidup kita seterusnya. Sesingkat saat penyembah berhala Umar bin Khattab membaca surah Taha dari catatan adiknya itu, yang mengubah hidupnya menjadi sebagai apa yang dikatakan Rasulullah saw, “Sesudahku tidak ada lagi Nabi. Jika ada Nabi sesudahku, Umarlah yang patut menjadi Nabi.”
Atau sependek saat pemuda nakal Fudhail bin Ayyad mendengar perempuan cantik membaca Al-Quran, hingga mengubah hidupnya menjadi seorang zahid yang besar.
Wahai saudara semuslimku, jika kepada kita terbuka hijab itu dan dianugerahkan saat itu, alangkah kayanya kita. Syeikh At-Taifah, Junaid al Baghdadi, pernah berkata tentang kekayaan ini, “Jika sekiranya raja-raja tahu apa yang kita simpan ini, mungkin dipotongnya leher kita dengan pedang.”
Saya tahu akan lahir pertanyaan, “Jika begitu, Lailatul Qadar tidak khusus di dalam bulan puasa sahaja?”
Memang tidak, saudara semuslimku! Bahkan pada zaman lain dan tempat lain, di dalam Ramadhan dan di luar Ramadhan, insya Allah kita pun dapat merasakan suasana Lailatul Qadar. Entah di belakang jenazah yang sedang dibawa ke kubur, entah di jalan sepi di tepi sawah yang damai, entah tentera sedang berkawat di hutan belantara, entah di tengah kesibukan lalu-lintas di kotaraya, entah di dalam munajat sehabis tahajud tengah malam. Entah di mana lagi.
Cuba perhatikan tentang Lailatul Qadar, di dalam surah Al-Qadar: ayat 4, “Turun Malaikat dan roh padanya, dengan izin Robb mereka membawa dari tiap-tiap perintah.”
Ertinya membawa bingkisan dan nikmat rohani untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan membahagi-bahagikannya.
Kemudian cuba perhatikan pula Surah Fuhshilat; ayat 30, “Sesungguhnya orang-orang yang berkata “Robb kami adalah Allah”. Kemudian tegak lurus dengan pendiriannya itu, akan turun kepada mereka Malaikat (menyampaikan kata); bahawa janganlah kamu takut dan jangan berdukacita dan terimalah berita gembira, iaitu syurga yang telah dijanjikan untukmu.”
Ayat ini menjadi petunjuk, bahawa suasana “Lailatul Qadar” pun ada di luar Ramadhan. Suasana itu adalah anugerah Ilahi kepada hamba-Nya. Yang utama bagi kita sebagai hamba ialah berusaha, memasang jerat untuk menangkap suasana itu. Siapa yang ingin belut, pasanglah lukah di sawah. Siapa yang ingin air, pergilah ke perigi, jangan ke gurun sahara. Siapa yang ingin lauk-pauk, berbelanjalah ke pasar, jangan ke atas bukit. Siapa yang ingin suasana Lailatul Qadar, atau suasana Tajalli, latihlah diri, pelajari kehidupan orang-orang soleh yang dapat dijadikan contoh, teladan, dan amalkan petunjuk-petunjuk yang diajarkan Nabi saw. Imarahkan masjid dan iktikaf di sana, zikir di sana, munajat di sana. Sekali-sekala pergi ke kubur melihat orang-orang yang telah “pulang”. Kesepian kubur meninggalkan “suasana” pengajaran buat kita. Atau bangun tengah malam, tahajud. Dan duduk pada waktu sahur menjelang subuh, beristighfar.
Pada saat-saat sepi manusia tidur itu, di cakerawala selalunya ramai, ramai dengan Malaikat-Malaikat yang naik menyampaikan doa orang yang memohon, dan turun menghantarkan Ijabah. Dia menyampaikan semacam perintah Ilahi, sebagai tersebut di dalam Hadis Qudsi, “Wahai hamba Ku, mana yang memohon, akan Ku beri. Wahai hamba Ku, mana yang meminta ampun, akan Ku Ampunkan”.
Demikianlah! Suasana “Lailatul Qadar” ada juga di luar Lailatul Qadar. Tetapi dengan ayat-ayat yang istimewa Allah menganjurkan kita mengintai “Lailatul Qadar” di dalam bulan Ramadhan. Sebab syarat-syarat untuk mendapatkannya lebih lengkap pada waktu itu daripada hari-hari dan bulan-bulan yang lain. Sebab pada siangnya, sebulan penuh kita telah beribadat dengan puasa. Dan malamnya, sebulan penuh kita telah melakukan Qiamullail dan membaca Al-Quran.
Dengan tegas seketika Allah menurunkan wahyu tentang puasa, Allah berfirman, “Dan apabila ditanya kepada engkau oleh hamba-Ku perihal Aku, maka Aku adalah dekat. Aku perkenankan permohonan yang memohon, bila dia memohon kepada Ku. Sebab itu sambutlah panggilan Ku dan percayalah semua kepada Ku. Supaya mereka mendapat jalan yang benar.” (QS Al-Baqarah: 186)
Dengan tegas pula Nabi Muhammad saw menjelaskan, “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan iman dan menghisab kelalaian diri, akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.” Menurut satu riwayat lain: “Dan dosa yang akan datang.” (Bukhari dan Muslim).
Dengan kedua-dua keterangan ini, Al-Quran dan Hadis, maka teranglah bahawa kesempatan berbahagia ini, dibuka luas pada bulan puasa, bulan Ramadhan , malam Lailatul Qadar.
Ada pula rakan bertanya, “Adakah benar seluruh kayu di hutan, gunung-ganang, bahkan rumah-rumah bersujud pada waktu itu? Jika ia kejadian yang benar, adakah orang-orang soleh itu yang pernah menceritakan bahawa dia pernah melihat atau mengalami? Adakah suasana ini hanya mitos sahaja?"
Astaghfirullah! Mohonlah ampun kepada Ilahi. Sekarang dan Insya Allah, bahawa ini bukan dongeng para salafusoleh, tetapi benar-benar firman Allah. Cubalah baca Surah Al-Hajj, ayat 18, “Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan ramai pula di antara manusia yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya”
Keterangan sebegini terdapat juga di Surah Ar-Ra’ad (ayat 16). Tersebut pula dalam surah An-Nahl (ayat 49). Tersebut juga dalam surah Ar-Rahman (ayat 6).
Jika di dalam ayat ini Allah bertanya: “Apakah tidak engkau lihat?” Ertinya ialah menyuruh melihat. Mungkin secara mudah orang akan berkata, “Saya sudah berkali-kali cuba melihat, namun Dia tidak juga kelihatan. Apa sebabnya? Ia kerana kita memakai alat melihat benda yang sangat terbatas ini, iaitu mata. Untuk melihat alam rohaniah yang begitu luas, selamanya kita akan gagal dengan menggunakan mata fizikal ini ! Sedangkan saintis atom, tidak melihat atom dengan mata, tetapi dengan microscope. Jadi bagaimana mungkin alam rohaniah boleh dilihat dengan mata? Jika begitu kasihanlah pada Ibnu Ummi Maktum, Muazzin Rasulullah di samping Bilal, yang tiap pagi sebelum orang bangun, telah tiba di masjid. Surah Abasa (surah ke 30) adalah kehormatan buat dirinya. Beliau buta! Kasihan orang-orang seperti beliau tidak akan melihat seluruh alam bersujud kepada Allah.
Memang, ayat ini banyak menerangkan manusia yang bersujud bersama matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, kayu-kayan dan binatang-binatang melata. Orang-orang inilah melihat segala sesuatu itu sujud kepada Allah. Orang-orang inilah yang menikmati suasana “Lailatul Qadar”. Sebab pada saat itu orang-orang itu telah bersatu dengan alam, dan dia telah melihat dengan rohaninya. Tetapi ramai pula manusia tidak melihat semuanya itu, sebab hanya mata kasar sahaja yang dibuka seluas-luasnya, manakala mata batinnya, mata untuk melihat alam rohaninya buta!
Jangankan melihat matahari dan bulan sujud, melihat orang sujud pun ada antara kita yang jarang atau tidak pernah sama-sekali. Dan dia sendiri pun jarang sujud atau tidak pernah.
Tentang pertanyaan, “Adakah orang-orang soleh yang melihat suasana Lailatul Qadar itu dan menceritakan apa yang dilihatnya?” Rasanya ia telah pun dijawab. Kita sebagai Muslim, amat percaya telah ramai orang melihatnya. Tetapi tidaklah akan mudah hal itu diceritakan. Menceritakan pengalaman rohaniah itu, terutama kepada insan yang dipesona oleh kehidupan kebendaan. Sampai orang-orang Sufi ada yang berkata, “Jika diceritakan apa yang aku alami, aku akan dituduh gila”
Cuma ada beberapa orang yang menerangkan serba sedikit. Tentu tidak mencukupi. Asy-Syakrani, menamakan suasana itu, “Kehidupan Hati”. Dia berkata, “Apabila engkau ingin hatimu hidup, iaitu hidup yang tidak ada mati sesudahnya lagi, maka keluarlah engkau dari menyandarkan harapan kepada makhluk. Matikan hawamu dan iradatmu. Pada waktu itulah engkau mulai akan diberi oleh Allah hidup yang sejati, hidup yang tidak ada maut sesudahnya lagi. Kaya yang tidak ada miskin sesudahnya lagi. Pemberian yang tidak ada terhenti-henti lagi. Lalu diangkatnya nilai engkau dalam hati hamba-hamba-Nya. Sehingga engkau tidak akan hina lagi untuk selama-lamanya.”
Jalaluddin Rumi; Menamakannya sebagai “Diri yang telah terjual”. Dia berkata, “Allah telah membeli jiwa kita, untuk Dia. Bayarannya ialah syurga. Sebab itu tidak seorang pun yang dapat membelinya dan menawarnya sampai akhir zaman. Suatu barang tidak boleh dijual dua kali.”
Tetapi bagi saya secara peribadi, sejujurnya tidak dapat menceritakan suasana itu. Rasanya memadai jika saya katakan, “Cubalah sendiri. Siapa yang belum mencuba, belum mengenalinya. Lafaz adalah ungkapan dan makna, namun banyak makna yang tidak dapat diungkap dengan lafaz.”
Akhirnya percayalah dengan segala kerendahan hati. Sekarang datang waktunya. Ramadhan datang! Kita puasa, kita terawih, kita baca Al-Quran. Dan kita mengintai suasana “Lailatul Qadar” yang lebih tinggi nilainya dari 1000 bulan…
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan