Ilahi, seringkali aku mengucapkan yang aku cinta pada Mu. Aku terlalu dahagakan cinta Mu. Aku terlalu mendambakan, malah terlalu ingin merasakan manis, asyik dan mabuk dalam cinta dan rindu kepada Mu.
Seringkali juga, ku lafazkan pada saudara-saudara semuslim yang rapat dan yang turut sama menginginkan cinta Mu tentang perkara itu. Tetapi…cukupkah begitu? Cukupkah sekadar melafazkan yang aku terlalu inginkan perasaan cinta pada Mu dan terlalu perlukan cinta Mu padaku, lalu aku sudah mendapatkannya? Semudah itukah…? Dengan diri yang terlalu lemah, mampukah…? Dengan diri yang terlalu hina, layakkah…? Apakah yang perlu ku perbuat Ya Allah…?
“ Katakanlah, ‘Hai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa-dosa. Sesungguhnya Dia jua yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Robb mu dan berserah dirilah kepada-Nya, sebelum datang azab kepada mu, kemudian kamu tidak dapat ditolong lagi. Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepada mu dari Robb mu sebelum datang azab kepada mu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya’ ”. (QS Az-Zumar: 53-55)
“Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat. Dan Allah sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang” (QS at-Taubah 104)
“Supaya jangan ada yang mengatakan, ‘kalau sekiranya Allah memberi petunjuk kepada ku, tentulah aku termasuk orang yang bertakwa’. Atau supaya jangan ada yang berkata ketika melihat azab, ‘kalaulah sekiranya aku dapat kembali (ke dunia), nescaya aku akan termasuk orang-orang yang berbuat baik’ ”. (QS Az-Zumar:57-58)
Ya Ilahi… bila mengingatkan kembali semua perilaku ku sepanjang usia yang telah Engkau pinjamkan ini…terlalu banyak dosa yang terkumpul di bahu ini Ya Allah… terlalu banyak kehinaan yang aku salutkan pada tubuh ini… hati ini terlalu berkarat dan hitam. Buat aku ketakutan. Buat aku keresahan.
Sudikah Engkau menoleh padaku…? Sudikah Engkau mengakui aku sebagai hamba Mu…? Sudikah Engkau merelakan cinta Mu padaku…? Sudikah Engkau menerima aku sebagai antara kekasih Mu…?
“Bertaubatlah wahai diri…ingatlah Kalam Robb mu…”
“ Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Robb mu….” (QS Ali ‘Imran: 133)
Ilahi… bimbinglah aku dalam bertaubat pada Mu. Jadikanlah aku seorang yang kuat dan istiqamah dalam taubatku…
Ya Allah… jadikanlah aku dari golongan hamba-hamba Mu yang bertaubat… dan jadikanlah aku dari golongan hamba-hamba Mu yang suci bersih… dan jadikanlah aku dari golongan hamba-hamba Mu yang ahli “ibadah dan soleh…”
Amin…
Wallahu`alam
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan