PUASA ORANG AWAM
Baginya puasa adalah tidak makan minum, dan tidak berhubungan suami isteri ketika siang hari dengan niat kerana Allah. Tetapi mulutnya tidak berpuasa, kerana masih suka menyindir orang, mengadu domba dan berkata yang tidak baik. Telinganya tidak berpuasa kerana masih mendengarkan hal-hal yang tidak baik serta yang sia-sia. Fikirannya tidak dijaga, kerana masih memikirkan hal-hal yang melanggar syariat. Hatinya tidak berpuasa, kerana tidak dijaga dari perkara yang dapat melalaikannya dari Allah.
Begitulah, ia cuma menahan lapar dan haus saja. Tidak ada hal bermanfaat yang ia kerjakan di Bulan Ramadhan. Sambil menunggu waktu berbuka, ia di isi dengan menonton TV serta tidur. Kita tidak gunakan waktu yang terluang itu untuk membaca Al-Quran, menghadiri majlis ilmu, padahal ia sebuah majlis taman syurga yang dinaungi malaikat, menolong orang tua menyiapkan makanan untuk berbuka, membuat kegiatan sosial dan lain-lain.
Kalau kita sia-siakan puasa seperti ini, Allah tidak akan menilai ibadah kita, kita hanya akan dapat lapar dan dahaga sahaja. Sudah tentu puasa yang seperti ini tidak akan membawa perubahan kebaikan pada diri kita. Rugilah kita sudah tidak memperlakukan tamu agung yang Allah datangkan itu dengan cara yang terbaik dan istimewa. Di Akhirat kelak, baru kita menyesal, sebuah sesalan yang tidak lagi berguna.
PUASA ORANG SOLEH
Golongan ini sudah tentu lebih baik dari golongan pertama tadi. Golongan ini bukan saja menahan diri dari makan minum, berhubungan suami isteri, tapi juga ia sudah mengusahakan untuk mengajak seluruh anggota tubuhnya untuk berpuasa, yakni menjauhkan diri dari segala hala yang yang tidak baik. Mereka menjauhkan diri dari mengumpat atau mengadu domba orang lain, melakukan sesuatu yang haram, menjauhi tempat yang penuh maksiat dan mengelakkan diri dari mendengar hal yang tidak bermanfaat. Pokoknya, ia usahakan agar anggota lahirnya tidak melakukan apa yang dilarang oleh Allah. Tapi ia belum dapat mengawal hati dan fikirannya dari memikirkan dan merasakan hal-hal yang melalaikan dirinya dari Allah. Contohnya, ia masih berfikir ingin beli ini atau beli itu, padahal wangnya masih boleh digunakan untuk hal yang lebih bermanfaat, tapi ia memilih untuk berfikir nanti buka puasa dia mahu makan makanan yang enak-enak.
Ya inilah batasan puasa orang soleh. Namun puasa yang seperti ini, sudah mendapat pujian dari Allah swt, insya Allah ia sudah terselamat dari api neraka. Tidak sepertimana puasa orang awam yang belum dapat menyelamatkan seseorang dari api neraka. Tapi bukanlah mudah untuk meningkatkan puasa kita dari peringkat awam ke peringkat soleh. Tidak mudah untuk menahan mata dari melihat hal-hal yang tidak disukai Allah swt, tidak mudah untuk tidak mengutarakan pendapat ketika kita melihat sesuatu yang berlawanan dengan perasaan kita, tidak mudah juga untuk menghindarkan telinga dari mendengar hal-hal yang tidak bermanfaat. Ini kerana, kita sudah lama terpisah dari jalan Allah dan kemungkaran serta kemaksiatan telah bermaharajalela di seluruh pelosok dunia ini, masyarakat sudah rosak.
Manusia telah lama meninggalkan Allah, Allah dianggap hanya diperlukan dan hanya ada kaitan dengan ibadah-ibadah ritual sahaja, padahal sebenarnya tidak ada satu aspek pun di dalam hidup kita yang tidak terkait dengan Allah…betul tidak ?
PUASA ORANG BERTAKWA, MUQARRABIN DAN SIDDIQIN
Puasa mereka yang sudah sangat terhubung hati dengan Allah swt. Bukan hanya di waktu solat atau di waktu berpuasa, malahan setiap saat kehidupan mereka tidak pernah lepas dari bersama Allah. Jadi setiap apa yang mereka lakukan selalu tepat sesuai dengan kehendak Allah, kerana mereka sudah kenal, cinta dan takut dengan Allah.
Apalagi ibadah puasa di bulan Ramadhan. Mereka merasakan bahawa Ramadhan adalah bulan paling mulia yang Allah swt anugerahkan kepada insan, kerana itu sudah pasti mereka akan memanfaatkan dan beramal di bulan Ramadhan dengan sebaik-baiknya, kerana di bulan lain pun mereka sudah begitu..Inilah dia puasa para Rasul, Nabi dan wali-wali Allah… Inilah puasa para Muqarabbin.
Sambutlah kedatangan Ramadhan dengan beramal ibadah dan bersungguh-sungguh mengusahakan cinta dan takutkan Allah kerana Ramadhan datang setahun sekali, muliakanlah ia,
Syurga rindu orang yang memuliakannya…
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan