Popular Posts

Ahad, 14 Ogos 2011

LAILATUL QADAR : SEBUAH PERMULAAN...




Malam kemuliaan atau malam Lailatul Qadar adalah bahagian penting dari bulan suci Ramadhan. Malam yang penuh dengan hikmah kebesaran yang lebih baik dari seribu bulan yang cahayanya menyinari bumi. Hal ini menegaskan peranan Al-Quran sebagai petunjuk (Al-Huda), jalan menuju Ilahi, bagaikan sepercik cahaya menyinari kegelapan kewujudan manusia di dunia ini. Malam Lailatul Qadar akan mengingatkan manusia akan kepapaannya di hadapan Allah yang Maha Esa. Bersama kepapaan itu, timbul sama aspek dalam hati yang penuh ketundukan, kedamaian, ketenangan dan kerinduan alam kubur. Kehebatan malam Lailatul Qadar di samping sebagai peringatan permulaan turunnya kitab suci Al-Quran, ia juga tanda tiadanya batasan kekayaan khazanah Allah yang tercipta setiap saat tanpa pernah kehabisan pada alam semesta. Lailatul Qadar sentiasa berhubungan erat dengan keselarasan dan realiti nikmat sebenar seorang muslim berjiwa hamba…


Lailatul Qadar dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan daripada Allah swt kepada hamba-Nya. Pengalaman mendapatkan Lailatul Qadar merupakan pengalaman bersifat spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkan malam yang lebih baik daripada seribu malam ini. Ia tidak boleh dicapai begitu sahaja dengan hanya kehadiran kita pada malam-malam ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan kerana ‘perjumpaan’ dengan Lailatul Qadar merupakan puncak prestasi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan rohani pada bulan Ramadhan.


Namun, kita harus jelas bahawa kelebihan Lailatul Qadar tentu tidak akan di anugerahkan kepada sembarangan orang dan tidak pula diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam tertentu saja dalam Ramadhan. Akan tetapi fadilat malam mulia itu akan menyinari orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam mempertahankan nilai keIslaman dalam setiap tutur kata, peri laku, akhlak, ibadat dan kegiatan sehariannya.


Lailatul Qadar adalah salah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan kepada Rasulullah saw dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Selain itu, setiap Muslim dianjurkan agar bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa. Tambahan pula, setiap manusia pada dasarnya tidak akan terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.


Oleh kerana Lailatul Qadar ini abstrak sifatnya, bersifat spiritual dan rohaniah serta tidak dapat dipastikan melalui kajian, maka timbullah pendapat yang berbagai-bagai mengenainya. Pelbagai cerita mitos terbit ketika Lailatul Qadar turun, seperti: air sungai berhenti mengalir, pohon-pohon serta tumbuhan tunduk tenang, alam raya kelihatan cerah dan sebagainya.


Justeru, mengenai Lailatul Qadar ini, maka eloklah kita dapatkan asas keyakinan dan pengesahannya di dalam al-Quran kerana sesungguhnya kitab suci ini adalah wadah paling layak di akui kebenarannya yang memberi tanda-tanda itu agar tidak terjadi penyelewengan dan menimbulkan cerita-cerita yang karut serta tidak masuk akal. Bagaimana sebenarnya al-Quran berbicara soal tanda-tanda Lailatul Qadar ini?


Menerusi ayat terakhir surah al-Qadr, Allah swt menyebut tanda-tandanya “kedamaian atau kenikmatan hakiki (terjadi) pada malam itu hingga terbit fajar.” Jadi, jelas tandanya tidak bersifat lahiriah, kerana kedamaian itu adalah sesuatu yang dapat dirasakan. Hakikatnya, sesiapa yang mendapatkan atau memperoleh Lailatul Qadar, dia akan merasakan kedamaian atau ketenangan yang luar biasa dalam dirinya pada malam itu hingga terbit fajar. Justeru itu, di dalam surah al-Dukhan ayat 3, Lailatul Qadar disebut sebagai “Laylatun mubaarakah” kerana kedamaian hati yang bersumber terus daripada Allah adalah berkat yang paling tinggi. Ia bagaikan air dingin  bagi seorang musafir yang kehausan.


Al-Quran adalah sumber pengetahuan tertinggi dan kerananya kebenarannya tidak diragukan. Ia hanya dapat dicapai melalui darjat intelektual paling tinggi, iaitu intelek kenabian. Sekurang-kurangnya jika kita dapat sekadar percikannya sahaja pada malam Lailatul Qadar itu, bermakna mujahadah kita waktu itu sekurang-kurangnya berhasil menyentuh intelek kenabian. Dan itulah kenikmatan dan sekali gus berkat yang paling tinggi. Nilainya pasti lebih mulia daripada seribu bulan.


Oleh yang demikian itu, Lailatul Qadar adalah persoalan rohani, maka tidak ada kata-kata yang padu dan tepat untuk menjelaskannya. Ia hanya dapat  diungkapkan melalui simbol-simbol atau metafora-metafora.




Suatu ketika Rasulullah saw bersabda kepada umatnya yang sedang berkumpul di masjid menunggu Lailatul Qadar kerana Rasulullah saw sendiri tidak pernah menjelaskan apa yang dimaksudkan Lailatul Qadar dan bila pula ia berlaku. Baginda saw bersabda yang bermaksud:  “Apa yang kamu tunggu-tunggu malam ini akan datang kerana aku telah melihat dalam rukyah bahawa akan berlaku hujan lebat, kemudian aku berlumuran lumpur dan basah kuyup oleh air.” Kemudian mereka yang berkumpul itu pun bersurai. Ternyata malam itu memang terjadi hujan lebat.


‘Bangunan’ masjid pada zaman Nabi saw diperbuat daripada daun atau pelepah kurma, maka air hujan mudah menitis masuk ke dalam masjid yang berlantaikan tanah. Umat Islam yang ada pada saat kejadian tersebut melihat apa yang dikatakan Nabi saw, iaitu Nabi saw dengan muka yang basah kuyup dan badan yang berlumuran tanah liat. Lalu apa yang dimaksud dengan Lailatul Qadar itu oleh Nabi? Kerana Rasulullah saw mengatakan “itulah  yang kau tunggu-tunggu.”


Di sinilah timbul masalah tafsir dan takwil di mana Nabi saw dengan lumpur dan basah dengan air, sebenarnya adalah suatu peringatan kepada kita bahawa tingkat paling tinggi daripada pengalaman rohani itu ialah jika kita sudah kembali ke asal kita.


Dari mana kita berasal jika tidak dari tanah dan air. Allah swt berfirman yang bermaksud: ”Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan yang memulai penciptaan manusia daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripada  titis air yang hina (air mani).” ( QS as-Sajdah: 7-8)


Firman Allah swt lagi yang bermaksud: ”Dan apakah manusia tidak memperhatikan bahawa Kami menciptakannya daripada setitik air (mani), maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata”. (QS Yaasin: 77)


Maka, dengan berlumuran lumpur dan basah kuyupnya oleh air itu, sebenarnya merupakan simbolisme: kita harus kembali menyedari siapa diri kita.


Kita harus menyedari siapakah kita di sisi Allah dan harus menjadi manusia yang merendah hati dan janganlah menjadi manusia yang takbur yang membuat pintu syurga tertutup rapat dan tidak dapat masuk ke dalamnya. Ini semuanya mensyaratkan adanya kesedaran untuk kembali kepada Allah swt. Pulang kepada Allah itu kemudian dimulai dengan pulang ke tanah. Jadi, yang dialami Nabi saw ialah satu simbolisasi bahawa kita pun akan kembali ke tanah, juga kembali menjadi air.


Tidak ada kebahagiaan yang ingin dicapai melainkan kebahagiaan hakiki di sisi Allah swt. Inilah yang kita cari dalam tahap rohani ibadah puasa ini yang kita alami melalui satu simbolisasi daripada Lailatul Qadar. Namun, semuanya memang harus dimulai dengan tanah dan air. Dengan kata lain, kesedaran tentang diri kita yang sesungguhnya.


Jika orang yang ikhlas ada tandanya, maka demikian juga orang yang mendapat Lailatul Qadar pasti ada tandanya juga. Pertama, apakah kita sudah semakin memahami maksud-maksud ayat suci Allah ketika membaca al-Quran? Kedua, apakah ibadat kita sudah lebih banyak, lebih baik, dan lebih nikmatnya? Ketiga, apakah kita melihat manusia sebagai satu kesatuan tanpa dipilih oleh mana-mana mahzab? Keempat, apakah kita sudah merasa jijik melakukan dosa dan maksiat? Kelima, apakah kita bersedia berlapang dada memaafkan seteru kita? Keenam, jika kita berada dalam kesibukan tetapi banyak melakukan amal ibadah dan zikir dengan tidak mempunyai apa-apa yang harus dibanggakan di hadapan Allah? Ini semua bererti kemungkinan besar kita berhasil mendapat curahan berkat-Nya melalui Lailatul Qadar.


Ulama mengatakan pada malam itu, kita akan berasa ada malaikat di sekeliling kita. Malaikat masuk ke semua rumah orang beriman, kecuali rumah yang ada berhala, rumah yang menjadi batu api, orang berkekalan dengan dosa besar dan derhaka pada ibu bapa. Maka, tandanya yang paling mudah bagi kita orang awam untuk merasainya ialah pada malam itu kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.


Lailatul Qadar adalah tawaran atau bonus yang paling tinggi daripada Allah untuk manusia, tetapi tidak semua yang memperolehinya disebabkan halangan dari kita sendiri. Orang yang mendapat Lailatul Qadar ialah mereka yang meningkatkan ketakwaan, hubungan dengan Allah semakin meningkat, malah perangai berubah kepada lebih baik. Oleh itu, dalam kita mengharapkan Lailatul Qadar, seelok-eloknya kita membuat persediaan, bermula dari pencarian ilmu, seterusnya dengan ilmu dapat beramal ibadat dan ibadat itu pula dengan hati ikhlas…

Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan