Popular Posts

Isnin, 8 Ogos 2011

CATATAN HIDUP SEORANG HAMBA...



Apabila Allah berfirman, “supaya kita manusia ini memperhatikan seluruh alam ciptaan-Nya”, sudah pastilah ia bermaksud yang seluruh jagat raya ini memiliki pengajarannya yang tersendiri, yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran bagi yang mahu berfikir. Maka benarlah bahawa setiap sesuatu yang tercipta dari dulu hingga kini…tidaklah Allah menjadikannya dengan suka-suka dan sia-sia. Semuanya ada agenda dan kepentingannya buat kita manusia juga buat seluruh makhluk yang bernyawa.


Bagi diriku…, Allah mengajar kita melalui banyak cara. Pertamanya, secara terang dan jelas… Allah mengajar kita, memberi peringatan kepada kita melalui Al-Quran dan juga melalui hadis Baginda Muhammad saw. Oleh itu, kita seharusnya selalu kembali kepada keduanya saat kita melalui apa-apa  keadaan sukar dan sedih. Kita perlu selalu membaca dan memahaminya serta berusaha mengamalkannya dalam setiap nafas kita, agar kita selalu berada dalam jalan yang lurus dan diredhai-Nya.


Dan ia sebenarnya tidak terhenti setakat itu sahaja. Sesungguhnya Allah selalu ada di sisi kita dan selalu memberi pengajaran dan peringatan kepada kita, kadangkala melalui perkara-perkara mahupun keadaan-keadaan yang kita tidak sangkakan, seperti melalui kisah hidup orang lain, melalui kejadian alam, melalui peristiwa yang berlaku di persekitaran kita, dan tidak mustahil melalui makhluk ciptaan  Allah yang lain seperti binatang.


Oleh kerana itu, aku telah mula belajar mencatatkan sesuatu dari dalam hidup aku, dari satu sudut diri dan pemikiran aku di sini. Aku tidak mahu blog ni sia-sia dan bakal menjadi hujah Ilahi terhadap ladang amal yang sekangkang kera. Aku mahu ia ada memberi walau sedikit kebaikan buat pembacanya, terutama buat anak-anak ku, tapi untuk memberikan nasihat atau takzirah sepertimana seorang ulama atau ustaz, jujurnya aku tidak mampu kerana aku hanyalah aku…seorang hamba-Nya yang biasa. Mudah-mudahan ada pengajaran yang dapat diambil dan aku cuma berharap dalam tiap perjalanan hidup aku, andai aku telah tersalah membuat pilihan, maka pembaca sekalian boleh memilih jalan yang betul.


Hidup ini sememangnya penuh dengan perkara yang memerlukan kita membuat pilihan. namun secara dasarnya… ia Cuma terdiri dari 2 pilihan sahaja, iaitu memilih sesuatu yang memenuhi tuntutan nafsu kita ataupun memilih sesuatu yang memenuhi tuntutan Allah.


Namun ada satu perkara yang kita tidak diberi pilihan sama skali, iaitu MATI ! Bila tiba saatnya, kita pasti mati, kita tidak ada pilihan lain…kerana kita hidup untuk mati…!

Wallahu`alam.

Jagalah Hati…


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan