Popular Posts

Jumaat, 5 Ogos 2011

BELAJAR PUASA DARI RAMA-RAMA...



Rama-rama adalah serangga yang sangat indah dan menarik. Sayapnya yang berwarna-warni dengan motif yang sangat elok serta kelincahannya terbang dari satu bunga ke bunga yang lain, menjadi daya tarikan bagi setiap orang untuk mengagumi makhluk ciptaan Allah ini.


Rama-rama tidak hadir begitu saja ke muka bumi ini, tetapi melalui proses metaformosis dari serangga yang bernama ulat. Menyebut namanya, mungkin ada sebahagian orang yang jijik, geli dan takut kerana ia menjadi penyebab kulit gatal, perosak tanaman dan sebagainya. Ia begitu sinonim dengan sifat yang tidak baik. Hampir tidak ada orang yang mahu menyentuhnya.


Namun, ketika seekor ulat berubah menjadi rama-rama yang cantik dan indah, semua orang pun berusaha memilikinya, malahan mengaguminya. Mereka tidak merasa takut dengan seekor rama-rama yang sesungguhnya berasal dari ulat. Itulah rama-rama, serangga yang indah dan menarik. Makanannya pula dari bahan-bahan pilihan dan selalu membantu proses pendebungaan tanaman.




Untuk menjadi rama-rama, seekor ulat terlebih dahulu menjadi kepompong. Itulah sebuah metamorfosis, yang dalam bahasa manusianya sedang menjalani puasa, menjauhkan diri dari makan dan minum, menutup dirinya dari hiruk pikuk kehidupan dunia. Ia begitu mirip dengan cara kita beriktikaf, iaitu merenung diri dan melakukan muhasabah diri, sehingga keluar menjadi rama-rama yang indah, disayangi semua orang dan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.


Itulah barangkali gambaran puasa Ramadhan yang diharapkan oleh Allah swt terhadap orang-orang yang beriman. Kita, umat manusia yang banyak melakukan salah dan dosa, hendaknya boleh belajar dari ulat dan mengubah diri menjadi manusia yang bertakwa dan disayangi Allah swt.


Petua untuk menjadi manusia yang disayangi Allah swt itu adalah, pertama, orang-orang yang berjalan di muka bumi ini dengan rendah hati (tidak sombong) dan apabila orang jahil menyapa, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. (QS 25: 63).


Demikianlah gambaran orang mukmin yang berpuasa, sentiasa menyebarkan kelembutan dan keindahan, serta tidak suka berbuat onar dan kerosakan, di manapun dia berada. Sebagaimana sifat rama-rama yang hinggap di sebuah dahan yang tidak akan pernah ada yang patah sekecil apa pun dahan yang dihinggapinya.


Kedua, mereka yang sentiasa mendirikan solat lima waktu dan solat tahajud di malam hari sebagai wujud syukur kepada Allah (QS 25: 64, 73). Sepertimana rama-rama, di manapun seorang mukmin berada, dia akan selalu melaksanakan perintah Allah, menebarkan kasih sayang, dan menolong orang lain. Sebab, ia menyedari bahawa sesungguhnya dirinya hanyalah seorang hamba yang juga tidak memiliki kemampuan apa-apa tanpa anugerah dari Allah swt.


Ketiga, orang yang berjaya dalam puasanya, ia akan memilih makanan dari yang halal dan baik-baik sahaja, layaknya seperti rama-rama yang hanya memilih sari madu bunga sebagai makanannya. Orang yang berpuasa dan mukmin sejati, akan sentiasa menjauhkan diri dari yang haram, seperti rasuah, mencuri, menipu, dan lainnya. (QS 2: 168)


Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan