Memasuki bulan Suci Ramadhan, bererti kita memasuki Lembah Ilahi, dari hari ke hari, hingga genap sebulan atau 29 hari. Moga Allah swt berkenan membantu kita untuk menghayati puasa, baik puasa lahir mahupun puasa batin, puasa fizikal, apatah lagi puasa hati kita…
Hari pertama:
“Puasa itu untuk Ku, dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” Demikian hadis Qudsi. Bererti hari pertama ini, seluruh hasrat, kehendak, citarasa, tekad, tujuan dan niat, yang menggumpal di hati kita hanya untuk Allah swt semata. " Ya Allah, hatiku untukmu…dahaga kerongkong, dan perut keroncong ini adalah pesta hatiku dengan Mu… Hatiku tidak ingin selain dari Engkau ya Allah…”
Hari Kedua:
Dalam kata RAMADHAN, ada huruf Ra', Mim, Dhal, Alif, Nun.
1. Ra', Ridlwanuhu = Redhanya Allah.
2. Mim, Mahabatuhu = Cintanya Allah,
3. Dhal, Dhomanuhu = Jaminan Allah,
4. Alif, Ulfatuhu = Kemahalembutan-Nya,
5. Nun, Nuruhu = Cahaya-Nya.
Semua diperuntukkan untuk orang-orang yang berpuasa. Bersyukurlah, kerana kita telah dicatat dalam Catatan-Nya sebagai orang yang berpuasa. Jika tidak, hanya lapar dan dahaga belaka.
Semua diperuntukkan untuk orang-orang yang berpuasa. Bersyukurlah, kerana kita telah dicatat dalam Catatan-Nya sebagai orang yang berpuasa. Jika tidak, hanya lapar dan dahaga belaka.
Hari Ketiga:
Jika ada gelisah, sakit hati atau jika ada yang menjengkelkan di pagi hari, di terik matahari, atau menjelang senjakala tiba, kembalikan hati kita kepada-Nya. Mana tahu, ujian dan cubaan itu sedang mengangkat naiknya darjat kita. Ingatlah kegembiraan orang-orang yang sedang berbuka, segala masalah jadi lupa.
Hari Keempat:
Mata, perut, hidung, telinga, kemaluan, mulut dan selurh anggota badan sedang menahan diri dari tarikan syahwatnya. Hati harus menahan diri dari segala mainan nafsu dan duniawinya. Roh, adalah arus kuat yang menggerakkan menuju Allah. Sirr (rahsia hati) tidak ingin ada selain Allah.
Hari Kelima:
Jika ada penyesalan kerana tindakan dosa yang kita lakukan selama empat hari lalu ketika berpuasa, janganlah penyesalan itu membuat kita semakin jauh dari harapan kepada-Nya. Kerana hari-hari esok adalah Cahaya-Nya.
Hari ini bukalah jendela pintu hati kita untuk menerima biasan cahaya pagi yang indah.
Hari Keenam:
Jangan lupa, seluruh amalan rutin yang biasa kita baca, wiridkan serta amalalan sunnah di bulan ini jangan kita abaikan sedikit pun. Apa pun kesibukan kita, masalah yang membuat diri kita tertekan sekali pun, jangan sampai memutuskan kabel yang menyambungkan diri kita dengan Allah.
Hari Ketujuh:
Mari melakukan konsert rohani di bulan suci. Seluruh bunyi dan nada kita pendengarkan secara harmoni dalam hati kita. Serasa seluruh ragam zikir berbunyi bersama, dalam naik turunnya nafas hati, begitu bergema nadanya dalam seluruh semesta, tasbih, tahmid, takbir, hauqolah, istighfar, selawat Nabi, tahlil, yang tersembunyi dalam sunyi alam… Allah Allah Allah…..
Hari Kelapan:
Penjara dan kuburkan, seluruh sifat-sifat buruk kita, iri, dengki, takabur, riya, takjub pada diri sendiri, menuruti nafsu syahwat, menuruti kesenangan dunia, kemunafikan, kezaliman, dan kemusyrikan hati.
Jika sesekali hendak muncul sifat-sifat itu, cepat-cepatlah beristighfar dan kita lawan ia dengan segala cara dan daya kita.
Hari Kesembilan:
Islam, bererti hati kita harus di Islamkan, iaitu makna pasrah sepenuhnya kepada Allah, agar selaras dengan kehendak-kehendak aturan-Nya.
Iman, bererti yakin, membenarkan, dan menenangkan hati kita dari segala hal selain Allah, agar iman tumbuh menjadi Syajarah Thoyyibah.
Ihsan, adalah buah dari Islam dan Iman kita, yang maujud dalam Muraqabah, Musyahadah dan Makrifah.
Hari Kesepuluh:
Hari Kesepuluh:
Sepertiga bulan sudah kita lalui. Masihkah kita terus melawan diri sendiri? Hasrat-hasrat sampah yang membuai diri kita? Apakah masih kita biarkan diri kita bertampal dengan risalah-risalah mazmumah di hati kita?
Wahai diri, bangunlah dan melompatlah segera ke air jernih hati kita, harungi samudera sucinya, di sana banyak mutiara-mutiara kurniaan Allah.
Hari Kesebelas:
Jangan biarkan malam-malam suci ini tanpa bersama-Nya. Jangan biarkan kegelapan tanpa Lampu Cahaya-Nya. Jangan biarkan lolongan anjing di malam pekat yang menghalang malaikat, mengganggu suara munajat kita. Jangan biarkan malam-malam kita bersyahwat berlebihan.
Jangan biarkan…. malam-malam seperti ini bersama TV dan hiburan
Hari Keduabelas:
Hati kita melangkah ke depan, bukan melangkah ke belakang, apalagi statik di satu tempat. Semangat hati dan rasa syukur harus terus terjaga untuk bangkit kepada-Nya.
Semakin baik, semakin lembut, semakin sabar, semakin ikhlas, semakin redha, semakin tawakkal, semakin dekat, semakin cinta. Itulah langkah hati ke depan, dengan meninggalkan hal-hal yang buruk.
Hari Ketigabelas:
Dunia ini bukannya tempat kebahagiaan dan kesenangan. Senang dan gembira sehari dalam 24 jam, paling lama hanyalah satu jam kita gembira dan bahagia. Selebihnya hati kita berjuang dengan pelbagai masalah bukan…?
Bahagia dan gembira hanya wujud di Akhirat. Oleh kerana itu, jika muncul kebahagiaan di dunia, itu hanyalah bonus-bonus dari Allah. Tetapi jika kita ingin bahagia, letakkan hati kita di Akhirat. Tubuh, akal dan fikiran kita saja ada di dunia.
Hari Keempatbelas:
Bilakah kita menjadi orang baik? Kata mereka, orang baik itu adalah orang yang di dalam dirinya sendiri tetap baik.
Bilakah kita menjadi hamba Allah? Kata mereka, hamba Allah itu pasrah menjadi “mainan” Allah.
Bilakah pula kita menjadi musafir di Jalan Ilahi? Kata mereka, para musafir itu mulai bersiap diri meninggalkan haru biru duniawi dari dalam hati.
Atau, bilakah kita menjadi para 'Ariffin? Kata mereka, para 'Ariffin itu terus menerus bersama-Nya dan disertai oleh-Nya.
Hari Kelimabelas:
Bersihkan terus menerus kaca cermin di hati kita, agar cahaya-Nya yang memantul tidak kusam atau berbalam-balam.
Jika kita biarkan, maka akan tumbuh kotoran yang berkarat, terasa sangat sakit lagi pedih ketika dibersihkan.
Sungguh jangan pula kita biarkan sampai retak-retak cermin hati kita, kerana retak cermin adalah membiarkan kemunafikan di hati kita. Dan Na'uzubillah jangan sampai kita terbalikkan cermin itu, kerana bercermin dari belakang cermin bererti telah terhijab dalam kegelapan.
Ini, sungguh, bulan Cahaya-Nya.
Ini, sungguh, bulan Cahaya-Nya.
Hari Keenambelas:
Memang, ada sahaja masalah sehari-hari. Masalah muncul hanya kerana Allah ingin menunjukkan betapa sampahnya duniawi itu, agar segera diri kita lari menuju kepada-Nya, dalam pelukan Kasih Sayang-Nya.
Hari Ketujuhbelas:
Nafas kita telah ditentukan dan dihitung dalam takdir. Langkah kaki kita, kerlipan mata kita, suara yang keluar masuk dalam telinga kita, gerak geri bibir kita, ciuman hidung kita, rabaan tangan kita, bahkan gerak geri hati kita, semua dalam catatan-Nya.
Alangkah sia-sianya jika semua itu digerakkan Allah, sementara diri kita tidak menyertai-Nya dengan zikrullah.
Hari Kelapanbelas:
Jangan gelisahkan, jangan takutkan hati di atas apa yang berlalu dan yang akan datang. Kerana bila kita lihat diri kita sendiri, amal perbuatan kita sendiri, ibadah dan taqarrub kita selama ini, hati penuh luka, rasanya tidak bernilai apa-apa di hadapan-Nya. Tapi jika kita lihat Rahmat dan Anugerah-Nya, sesakit apa pun semuanya bermakna indah, agung, mulia dan betapa besarnya.
Hari Kesembilanbelas:
Pintu-pintu syurga telah dibuka sejak awal bulan ini. Pintu-pintu neraka ditutup sejak memasuki bulan ini, syaitan dibelenggu. Masukilah pintu-pintu-Nya dengan seluruh kebajikan kita, ubudiyah kita, taqarrub kita.
Jangan ada nafsu yang menghambat jalan kita.
Hari Keduapuluh:
Kedekatan Rasulullah saw dengan diri kita seperti air dalam pohon yang meliputi seluruh batang, akar, cabang, daun, bunga dan buah. Tidak ada yang tidak dialirkan oleh air itu.
Jika pohon hati kita terasa kering, itu kerana jejak-jejak Baginda saw tidak kita turuti, ucapan-ucapan Baginda saw tidak kita hiraukan, peringatan-peringatan Baginda saw kita abaikan.
Oleh itu, jangan di abaikan lagi selawat Nabi saw.
Hari Keduapuluh satu:
Sungguh menghairankan, di hari-hari yang sudah seperti ini, situasi dan keadaan umat sudah terpesong jauh dari akidah yang benar, masih ada lagi orang-orang yang terus menerus memanipulasi Ilahi untuk kepentingan diri, golongan dan keluarganya serta kekuasaannya. Di hari-hari seperti ini pula, sungguh menghairankan masih ramai orang yang mengeluh, tidak bersyukur dan redha kepada-Nya.
Hari Keduapuluhdua:
Nyalakan lampu-lampu di seluruh rumah, ruang hati dan bilik-bilik hati kita, melalui arus rohani yang digerakkan oleh zikirullah. Jangan biarkan cahaya kita terputus bekalannya...
Hari Keduapuluih tiga
Bacalah semua kehidupan nyata ini sebagai ayat-ayat Allah. Bulan ini Al-Quran turun pada Lailatul Qadar bukan? Bacalah keseharian yang kita lihat, yang kita dengar, yang kita raba dan yang kita rasakan sebagai huruf-huruf yang menyusun kata, kalimat, ayat dan surat. Agar di mana pun, ke mana pun, situasi apa pun melanda diri kita, pandangan hati kita tidak tertoleh kepada selain Allah.
Hari Keduapuluh empat:
Lihat pula seluruh alam semesta, jangan sampai kita hanya melihat yang nampak nyata sahaja. Lihatlah yang ada di sebalik yang zahir itu. Disana ada Afa'al Allah, Asma Allah dan Sifat Allah. Jika yang nampak zahir masih jelas kelihatan, maka sesungguhnya yang di lihat itu telah menghijab diri kita dengan-Nya.
Hari Keduapuluhlima:
Hidupkan malam-malam tersisa ini dalam terang benderang Cahaya-Nya. Hidupkan siangnya dalam menahan terus apa pun selain Diri-Nya. Hidupkan pagi serta petang dan petang hingga ke pagi dalam getaran zikir dan tasbih. Hidupkan semuanya, agar hati kita tidak mati…!
Hari Keduapuluh enam:
Jawablah surat-surat Cinta-Nya kepada kita dengan jawapan hati kita, dari tinta rahsia hati kita yang paling dalam. Mungkin tidak ada lagi kata atau ayat yang tersirat kerana jawapan kita adalah kefanaan diri, dan Surat-surat-Nya adalah Kebaqaan-Nya yang menarik kita menuju pada-Nya.
Hari Keduapuluh tujuh:
Oh…! Pintu Makrifatullah terbuka. Allah juga yang memakrifatkan kita, bukan diri kita. Jangankan kita rasa mengenal diri-Nya kerana untuk mengenal diri kita sendiri pun sentiasa kebuntuan. Bolehlah kita mengenal diri sendiri, jika akhir pengenalan akan diri kita itu tidak lebih dari debu yang berterbangan, hingga kita mengenal Allah tanpa batas dan tiada tara. Allahu Akbar…!!!
Hari Keduapuluh lapan:
Allah Allah Allah… Semuanya tanpa kecuali. Allah Allah Allah….Semuanya tanpa henti. Allah Allah Allah…. Semuanya cahaya-Nya. Allah...Allah...Allah….Semuanya tiada kecuali Wajah-Nya…
Hari Keduapuluh sembilan:
Esok hari raya, bukan? Hari kemerdekaan yang hakiki. Hari segalanya penuh Takbir, Tasbih dan Tahmid. Hari lahir kembali. Lalu jangan lagi ada noda, luka dan aniaya diri sendiri.
Jika masih ada dendam pada diri sendiri, jika masih ada emosi pada sesama, jika masih ada keraguan atas Rahmat dan Anugerah-Nya, segeralah bersihkan dengan permohonan yang mutlak pada-Nya.
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan