1. Pernahkah anda melihat ada orang yang mengatakan tidak perlu ikut mazhab tetapi ambil sahaja al Quran dan Hadis Sahih? (sedangkan yang berkata ini jahil di dalam ilmu hadis yang berkaitan dengan hadis hasan, hadis hasan sahih, hadis dhaif - bahkan menyamakan hadis dhaif dengan hadis maudhu`)
2. Pernahkah anda melihat hujjah yang mengatakan ulama pun ada buat silap, bukan maksum (sedangkan dirinya lagi banyak salahnya kerana tidak mempunyai ilmu seperti ulama yang dikatanya silap dan bukan maksum tersebut) ?.
3. Pernahkah anda melihat di dalam blog tertentu yang ada novel-novel yang diisikan dengan pengisian cerita yang menukilkan tentang kalam ulama agar jangan bertaqlid, mazhabku adalah hadis sahih (sedangkan kalam ulama mujtahid ini ada disyarahkan dan ditujukan kepada golongan tertentu iaitu mereka yang bertaraf mujtahid - mereka yang mampu untuk mengistinbath (mengeluarkan) hukum sahaja).
4. Pernahkah anda melihat atau membaca mereka yang kuat mengatakan amalan-amalan tertentu (yang telah dipersetujui ulama ia adalah khilaf (perselisihan pendapat antara ulamak mujtahid)) sebagai bid'ah sesat?
Ketahuilah bahawa mereka yang terlibat di atas adalah mereka yang tidak mahu belajar adab di dalam disiplin ilmu. Gelojoh dan terburu-buru untuk menjadi seorang pakar hukum tanpa menyelidik dan mengkaji pendapat dan hujjah ulama muktabar yang lain.
Saya teringat kisah Imam Syafie (mujtahid mutlaq pengasas mazhab Syafie) bagaimana beliau sejak kecil belajar mengenai al Quran sehingga dapat menghafaznya pada umur 9 tahun. Kemudian belajar hadis dengan cara mendengar dan bertemu sendiri dengan guru-guru hadis, dan beliau mencatatnya di atas tulang, tembikar dan kulit binatang. Bahkan beliau juga mempelajari bahasa Arab yang asli dengan Kabilah Hudzail sehinggalah beliau mahir dalam bidang hadis, hafalan al Quran, bahkan dalam kesusasteraan bahasa Arab yang asli.
Menurut Dr Said Ramadhan al Buthi dalam bukunya - Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syarii'ata Al Islamiyyah mengenai pendidikan Imam Syafie :
'Tentang ilmu hadis, beliau belajar kepada Imam Sufyan bin Uyainah, seorang alim besar ahli hadis kota Mekah di masa itu. Adapun tentang ilmu al Quran, beliau belajar kepada Imam Ismail bin Qasthanthin, seorang alim besar ahli Quran di Kota Mekah pada masa itu. Selanjutnya, kepada para ulama lain di masjidil Haram. Beliau belajar berbagai ilmu pengetahuan agama. Ketika berumur 15 tahun, beliau telah menduduki kerusi mufti di Kota Mekah.'
Ketika umurnya 10 tahun, beliau sudah memahami kitab al Muwattha' karangan Imam Malik bin Anas (pengasas mazhab Maliki). Bahkan beliau juga mempertahankan mazhab Maliki.
Dan semasa beliau sudah mempunyai ilmu alat (ilmu asas yang menjadi keperluan untuk mengistinbath hukum) barulah beliau mengemukakan pendapatnya sendiri, serta memberi komen atas pendapat gurunya (Imam Malik) jika ada yang lemah. Tetapi tidak pula Imam Syafie mengatakan ia sebagai bidaah sesat!. Ini kerana akhlak yang terbina di dalam diri seorang ulama yang benar-benar takutkan Allah untuk menjaga lisan, perilaku dari perbuatan yang tiada hak.
Begitulah - sehingga ramai murid Imam Syafie yang terdiri dari ulama-ulama besar, bahkan ada di kalanganya adalah muhaddithin (ulamak hadis), mujtahid tarjih (ulamak yang mampu mengetahui dan menilai mana pendapat yang kuat dan lemah), mujtahid mazhab, mujtahid fatwa seperti Imam Bukhari, Imam Abu Bakar al Humaidi, Imam Ahmad bin Hanbal (pengasas mazhab Hanbali), Imam al Buwaithi, Imam Muhammad bin Abdullah. Dan ramai lagi - anda boleh menyelusuri sendiri dari kitab Tabaqat Syafi'eyyah karangan al Subki.
Subhanallah !!- mereka ini semuanya belajar dengan disiplin ilmu yang ketat. Mempelajari semuanya dari asas bersama-sama dengan adab sebagai pelajar dan sehinggalah menjadi ulama yang hebat. Barulah ada antara mereka yang mendirikan mazhab sendiri (setelah menjadi mujtahid mutlaq) dan ada yang terus untuk mengikuti mazhab Syafie.
Hakikatnya kini, banyak kecelaruan yang timbul dengan adanya pelajar, golongan profesional yang belajar tanpa ada ilmu asas. Gelojoh hendak mempelajari ilmu yang lebih mendalam. Sehinggalah berani mengeluarkan fatwa dan pendapat sendiri berdasarkan kejahilan dan hawa nafsu sendiri kerana tidak belajar mengikut kaedah yang betul dan disiplin ilmu yang benar. Mereka tidak memikirkan kesan buruk yang timbul kepada orang awam (yang tidak mampu untuk menjadi ulama mujtahid). Hingga timbullah pecah belah antara umat Islam.
Allah memerintahkan bukan sahaja dalam urusan kepimpinan, bahkan juga dalam urusan agama untuk memberikan amanah kepada yang berhak dan berkelayakan.
Firman Allah dalam surah An-Nisa'ayat 58 yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".
Daripada Abu Hurairah dia berkata, “Ketika Nabi saw di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badwi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah saw meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi Baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan Baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, Baginda bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badwi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah Kiamat". Tanya badwi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda Baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". (Riwayat al Bukhari)
Berhati-hatilah wahai diri, perhatikan dari mana kita mengambil urusan agama. Semoga dijauhkan dari pendustaan terhadap Allah dan RasulNya serta melakukan kezaliman terhadap ulama dan umat Islam.
Wallahu`alam
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan