Popular Posts

Rabu, 2 Mac 2011

DAKWAH ITU CINTA...


Nur Annisa,seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu. Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.



Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas,ibu telah meminta Nur Annisa memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka. Pernah pada suatu masa, Nur Annisa berkata dengan suara yang agak keras,"cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung. Sampai kawan-kawan Annisa kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan. Ani ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!"



Ibu hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata anak gadisnya. Kadang kala terlihat ibu menangis di akhir malam. Dalam Qiamullailnya, terdengar lirik doanya " Ya Allah, kenalkan Annisa dengan hukum-Mu".



Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah Nur Annisa. Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil.Suaminya bernama Abu Khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah Nur Annisa, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli. Perkara ini telah sampai ke pengetahuan Nur Annisa. Dia bertanya kepada ibunya, "Mama, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta,bisu dan tuli?" Lalu si ibu menjawab sambil lewa, "kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri".



Rupa-rupanya Nur Annisa mengambil serius kata-kata ibunya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri. Sekembalinya dari rumah mereka, si ibu melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah Nur Annisa. Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi. Entah apa yang dah berlaku? Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung.Tudung yang labuh. Nur Annisa pakai baju labuh. Lengan panjang pula tu. Si ibu sendiri jadi bingung. Bingung campur syukur kepada Allah swt kerana melihat perubahan yang ajaib.



Ajaibnya kerana dia berubah seratus peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah. Si ibu melihat dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan ibadahnya pun melebihi si ibu sendiri. Tak ketinggalan tahajudnya, baca Qurannya, solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan abangnya datang, dia menundukkan pandangan. Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit si ibu.



Pada suatu petang, si ibu menangis. Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya. Dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Alhamdulillah! Nur Annisa boleh mengucapkan kalimat Syahadah di akhir hidupnya".



Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, si ibu masuk ke bilik Nur Annisa. Terlihat di atas mejanya terletak sebuah diari.Diari yang selalu Nur Annisa tulis. Diari tempat arwah menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya. Kemudian diari itu di buka sehelai demi sehelai. Hingga sampai pada satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini - Perubahan yang terjadi ketika arwah baru pulang dari rumah Abu Khoiri. Di situ tertera soal jawab antara Nur Annisa dan isteri jiran kami itu.



Butirannya seperti ini: Soaljawab (si ibu lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)




Annisa: (Aku hairan,wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari) Mak cik, wajah mak cik sangat muda dan cantik!



Isteri Abu Khoiri : Alhamdulillah. Sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati.



Annisa : tapi mak cik kan dah ada anak enam. Tapi masih kelihatan cantik.



Isteri Abu Khoiri : Subhanallah! Sesungguhnya keindahan itu milik Allah swt. Dan bila Allah swt berkehendak. Siapakah yang boleh menolaknya?



Annisa : Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung, tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik. Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung. Pendapat mak cik bagaimana?



Isteri Abu Khoiri : Annisa, sesungguhnya Allah swt menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt nanti, tudung adalah perlindungan untuk wanita!



Annisa : Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok.



Isteri Abu Khoiri : Tudung hanyalah kain , tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami.



Annisa : apakah hakikat tudung?



Isteri Abu Khoiri : Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia. Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah swt, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudarat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah swt, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung.



Annisa : Mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung. Mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?



Isteri Abu Khoiri : Duhai Nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah swt yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah swt. Duhai Nisa, ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup sangkakala yang kedua. Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya , ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan,ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis. Menangis kerana hari itu Allah swt murka! Belum pernah Allah swt murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah swt di Padang Mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil Hari Hisab. Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung, Allah swt.



Sampai di sini sahaja kisah itu si ibu baca kerana di sini tulisannya terhenti dan kelihatan banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya. Subhanallah! Si ibu selak halaman berikutnya dan tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu


"buta ,tuli dan bisu.. wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain mahramnya , wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah swt, wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia"



Tak tahan airmata ini pun jatuh. Semoga Allah swt menerima anak gadis ku disisi Nya. Amin.



Subhanallah! Saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua. Wassalam.



-Wallahu A'lam-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan