Popular Posts

Jumaat, 11 Mac 2011

HIDAYAH ALLAH BUKANNYA MUDAH...


Memindah sebuah bukit yang besar lebih mudah berbanding dengan mengubah hati seorang manusia. Tegas Allah kepada Rasul Nya, " Wahai Muhammad, seandainya engkau membelanjakan seluruh isi dunia dengan hasrat supaya manusia menerima Islam, nescaya engkau akan kecewa. Engkau tidak akan mampu menjinakkan hati manusia TETAPI Allah lah yang menjinakkan hati-hati manusia". Oleh yang demikian di dalam mengingatkan manusia kepada Islam jangan sekali-kali kita lupa untuk berdoa kepada Allah agar melembutkan hati manusia untuk mencintai dan sayang kepada agama Allah yang dibawa oleh baginda Rasul saw.


Manusia dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibnu Khaldun menyatakan " Suasana persekitaran wujud sebelum seseorang bayi dilahirkan". Maka persekitaran menjadi antara penyebab untuk seseorang insan menjadi baik atau sebaliknya. Antara penyakit lain yang membawa kebinasaan kepada manusia ialah sikap terlalu sayangkan dunia dan panjang angan-angan.


Sesungguhnya kita sebagai hamba amat mendambakan taufik, hidayah dan Inayah Allah swt. Taufik boleh diertikan sebagai sikap Allah yang telah memilih kita, suka dan kasihkan kita. Hidayah pula adalah petunjuk dari Allah hasil daripada taufik Allah kepada kita. Sementara Inayah adalah pertolongan Allah untuk kita dapat melaksanakan segala titah perintah dan menjauhi setiap perkara yang dilarang oleh Allah.


Ingatlah, " Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah (suka beramal soleh) maka sudah tentu Allah akan suka bertemunya di hari akhirat kelak. Begitulah juga sebaliknya.




Ketenangan hati membawa erti seseorang itu aman dan tenteram, tidak gelisah, tidak runsing, lapang fikiran, tidak diganggu, mantap, stabil, berasa lega, tidak risau dan gundah.


Seorang yang mempunyai jiwa yang tenang ia akan menjadi manusia yang selesa hidupnya, bahkan keadaan dirinya. Tidak runsing apabila hatinya tidak terganggu, ia akan dapat membuat kerja dengan baik dan teratur, sama ada kerja-kerja itu berbentuk tugasan harian di tempat kerja ataupun kerja-kerja di rumahnya atau amalan ibadat yang dilaksanakan setiap hari.


Sebaliknya bagi orang yang mengikut hawa nafsu mereka mencari ketenangan melalui proses yang salah yang tidak direstui oleh syarak seperti minum minuman yang memabukkan, menghidu gam, menghisap dadah, berseronok dengan wanita-wanita yang bukan isterinya, kesan dari perbuatan itu, mereka dapati kehidupan yang tidak selesa sentiasa dihantui dengan perasaan bersalah. Hal yang demikian menyulitkan lagi keadaan yang sedia ada.


Sesungguhnya untuk mencapai ke arah hati yang tenang, ia bukan suatu yang mudah dan bukan pula suatu yang mustahil. Untuk mendapatkannya ia perlu diusaha, dilatih bersungguh-sungguh secara berterusan dan aktif setiap hari melalui proses bimbingan dan panduan ke atas diri individu seperti membina sikap positif, sebagai contoh " bertafakur ".

Seseorang memerlukan suasana yang tenang dan sunyi. Fikiran dikosongkan daripada peristiwa hidup. Sentiasa mengingati kuasa Allah. Manakala tubuh badan berasa santai dan rehat secara fizikal dan emosional. Insya Allah, jika diusahakan akan berjaya. Selain dari itu, pegangan dan amalan agama boleh membantu individu mendapatkan ketenangan. Agama memberi kekuatan iman dan keteguhan jiwa dengan adanya kepercayaan kepada kuasa dan pertolongan Allah. Dalam Islam, solat fardu lima waktu dan sunat boleh melegakan fikiran serta memberi harapan kepada individu berkenaan. Berzikir serta membaca Al-Quran boleh membantu menenangkan hati. Nikmat yang dapat dirasai melalui perkara-perkara tersebut ialah ketenangan batin dan ketenteraman jiwa. Pengalaman rohaniah ini membina kekuatan iman. Zikir mengajar individu supaya bertakwa kepada Allah.



Firman Allah, " Orang-orang yang beriman menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu tenteramlah hati "


Sebenarnya hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram kerana selalu mengingati Allah di waktu ditimpa malapetaka. Mereka ingat kepada Allah dan cepat insaf dan memeriksa kekhilafannya agar dapat diubahnya di masa akan datang. Oleh sebab itu, hilanglah dukacitanya berganti dengan gembira dan mengharapkan kurniaan Allah. Begitu juga jika mereka mendapat anugerah (nikmat), mereka tidak sombong, malahan mengucapkan terima kasih kepada Allah. Sebab itu hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram baik di waktu susah ataupun gembira. Kesenangan hati itu ialah kebahagiaan yang sebenarnya. Sebab itu dalam Islam amat dipentingkan sekali menegakkan sembahyang lima kali sehari semalam kerana dalam sembahyang itulah kita mengingati Allah dan membersihkan jiwa. Rasulullah saw mengatakan bahawa sembahyang itu tempat ketenangan jiwanya dan kesenangan hatinya. Oleh yang demikian senanglah hati menghadapi segala kemungkinan dan kesulitan dalam masyarakat hidup di dunia ini. Firman Allah dalam surah Al-Fajr ayat 27-30 yang bermaksud, " Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya, kembalilah kepada Robb mu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (di sisi Nya), serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia, dan masuklah ke dalam syurga Ku ".


Naluri semula jadi yang membezakan antara manusia dengan ciptaan Allah yang lain ialah daya ingin tahu yang menuntut mereka mencari ilmu bagi kepuasan akal. Sepertimana dalam kisah Nabi Ibrahim yang tertanya-tanya akan bagaimana keadaan dunia selepas mati. Bukan Baginda as tidak yakin dengan kemampuan Ilahi, tapi kerana rasa ingin tahu yang sentiasa mahukan bukti.




Islam sebagai agama fitrah, agama yang menepati naluri manusia, adalah cara hidup yang amat mementingkan ilmu. Jelas, kerana tanpa ilmu manusia tidak dapat melakukan apa-apa secara sendirian tanpa panduan. Hatta si kecil yang mahu menyuapkan nasi ke mulut pun terpaksa belajar daripada ibunya. Islam amat menyanjungi orang yang berilmu, kerana hanya orang yang berilmu yang dapat membezakan antara yang benar dan yang salah.


Firman Allah: ``Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?'' (Az-Zumar: 9) ``Sesungguhnya orang yang paling takut pada Allah hanyalah para ulama.'' (Fatir: 28)


Rasulullah saw telah bersabda dalam sebuah hadis yang diceritakan oleh Abu Hurairah ra, ``Sesiapa yang mengambil inisiatif untuk menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju ke syurga.'' (Hadis riwayat Muslim)




Betapa ilmu yang bermanfaat, dapat menundukkan hati manusia kepada Allah, seterusnya membawa jiwa-jiwa yang tenang dalam perhambaan ini kepada syurga. Pada asalnya, semua ilmu adalah membawa kepada kebaikan kecuali ilmu yang dipelajari daripada syaitan, iaitu ilmu sihir dan ilmu meramal nasib. Ilmu akan memandu pemiliknya ke arah jalan yang betul supaya mereka ini tidak mudah tersesat dalam perjalanan mereka. Jika pun tersesat, mereka ada keupayaan untuk kembali ke pangkal jalan dan tidak teraba-raba bagai pengemudi kapal di lautan gelap tanpa bintang penunjuk arah.


Islam telah menetapkan ilmu asas bagi seorang mukmin sebagai ilmu fardu ain. Ilmu ini mesti dituntut oleh seorang hamba bagi merealisasikan kehidupan seorang hamba dengan Ilahi, dengan dirinya dan dengan hamba-hamba yang lain. Ilmu yang paling penting ialah ilmu tauhid. Ilmu yang dapat mengenalkan seorang hamba dengan Penciptanya. Seterusnya ilmu asas untuk mereka melakukan pengabdian (ibadah) kepada Allah, iaitu ilmu fekah yang membicarakan sama ada sah atau tidak sembahyangnya. Akhirnya ialah ilmu akhlak yang mendidik manusia menjadi insan yang ikhlas beramal, melakukan yang terbaik untuk Allah dan manusia sejagat.


Namun untuk merealisasikan tuntutan syariah, tidak cukup tanpa ilmu-ilmu bantu yang dinamakan ilmu fardu kifayah. Untuk sembahyang contohnya, kita perlukan masjid yang memerlukan jurutera dan pekerja binaan. Ibadah haji pula memerlukan kapal terbang, yang perlu dicipta oleh saintis. Bahkan tanpa doktor yang tahu tentang ilmu kesihatan, kita sudah tentu susah untuk beribadah apabila badan sudah sakit. Oleh itu, ilmu fardu kifayah seperti ilmu kejuruteraan, kedoktoran, perkomputeran dan lain-lain juga diperlukan. Bahkan sekarang ini, para saintis amat diperlukan untuk membuktikan keajaiban fakta-fakta di dalam kitab al-Quran secara saintifik yang boleh menyerlahkan tentang kehebatan Allah yang mencipta!


Jelas, setiap perkara perlukan ilmu. Ilmu yang bermanfaat bukan sahaja pada diri sendiri, tapi pada orang lain juga.


Apa yang berlaku sekarang ialah ilmu yang sedang dipelajari itu sudah dilupai hala tuju asalnya. Ibarat seorang yang mendaki bukit yang menemui taman-taman indah di perjalanan, lantas terlupa tujuan asalnya untuk menawan puncak bukit tadi!


Ilmu yang pada asasnya membawa manusia kepada kebaikan tidak memberi sebarang kesan terhadap diri. Seolah-olah hati manusia tidak boleh berkomunikasi dengan minda mereka sendiri. Ya, akal tahu yang mana benar dan yang mana salah, tapi hatilah yang menggerakkan untuk melakukan kesalahan ataupun memilih kebaikan.


Daripada Nu'man bin Basyir ra melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda, ``Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia ada seketul darah yang apabila ia rosak, rosaklah keseluruhan jasad dan apabila ia baik, baiklah keseluruhannya, ketahuilah itulah hati!'' (Muttafaq `alaih).




Lihatlah betapa ramainya orang yang berilmu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah walau ilmu memenuhi akal. Ada juga yang hanyut dengan ilmunya yang banyak sehingga menafikan hak orang lain untuk dihormati, disayangi dan dikagumi. Ilmu membuatkan dia ego, bongkak, sombong, besar diri dan keras kepala. Allah telah menjelaskan hal ini di dalam al-Quran: ``Adakah kamu sentiasa menyuruh manusia melakukan kebaikan, sedangkan kamu lupa pada dirimu sendiri, padahal kamu sendiri telah membaca kitab Allah, tidakkah kamu boleh berfikir?'' (Al-Baqarah: 44).


Rupanya ilmu hanyalah jalan mendapat hidayah atau petunjuk Allah. Ilmu itu rupanya cuma lorong menuju kebenaran dan ilmu itu bukanlah destinasi. Ilmu yang diperolehi oleh akal tidak mampu mengubah diri kita untuk mendapat rasa perhambaan kepada Allah, tapi hanya alat yang tidak semestinya dipergunakan ke arah kebaikan. Ibarat pisau yang menjadi bermanfaat kalau digunakan untuk memotong daging lalu dibuat sup, tetapi menjadi mudarat jika digunakan sebagai alat mencederakan manusia!


Firman Allah: ``Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah. Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.'' ( QS Az-Zumar:3).


Hidayah Allah tidak datang kepada manusia hanya kerana mereka berilmu, kecuali manusia itu benar-benar mengharapkan petunjuk Allah. Kepincangan akhlak yang berlaku sekarang ialah kerana hati manusia sudah tidak melihat ilmu sebagai wadah mengenal Allah dan alat untuk berbakti kepada masyarakat kerana Allah. Tanpa niat yang baik, natijah buruklah yang menunggu walau ilmu yang dituntut itu cukup baik.


Benar sekali bicara suci Rasulullah saw yang diceritakan oleh Umar al-Khattab: ``Sesungguhnya sebenar-benar pekerjaan adalah berasaskan niat. Dan sesungguhnya bagi setiap insan itu apa yang telah diniatkannya.'' (Muttafaq alaih).


Apa yang berlaku sekarang ini ialah tiadanya unsur-unsur ketuhanan, mahupun kesedaran moral dalam menuntut ilmu. Remaja belajar adalah kerana arus, bukan kerana kesedaran atau niat untuk berbakti kepada Allah dan masyarakat setelah cukup ilmunya.


Kadang-kadang kita tahu perkara itu tidak baik tapi kita tetap melakukannya. Tandanya, tahu itu tidak memberi apa-apa kesan tanpa disusuli dengan amalan. Fahamlah juga kita, hidayah atau petunjuk kepada kebenaran itu bukanlah boleh dicari sebagaimana kita boleh mencari ilmu.




Hidayah itu milik Allah yang dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, iaitu orang-orang yang mencari ilmu kerana mendambakan hidayah-Nya.


Kita diberi pilihan untuk menjadikan diri kita termasuk dalam orang-orang yang mendapat petunjuk Allah. Menjadi orang-orang yang soleh,yang terpilih dan yang termasuk daripada kalangan hamba yang diredhai-Nya. Dengan syarat, kita serius dalam memohon petunjuk Allah. Sentiasa bermujahadah, melawan segala nafsu buruk, menambah keikhlasan dan kualiti amalan kita.


Dengan niat perhambaan kepada Allah, tidak kiralah dalam amal ibadah khusus atau profesion seharian, pasti kita diselamatkan daripada melakukan maksiat kepada Allah swt. Hal ini kerana Allah pernah berjanji: ``Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.'' (QS Al-Ankabut :69)


Pohonlah hidayah Allah sebagaimana Allah mengarahkan kita melakukan permohonan setiap kali menunaikan sembahyang dalam setiap rakaat. ``Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.'' (QS Fatihah :6).


Doa ini akan sentiasa mengawal diri kita daripada tersasar arah tuju. Hanya dengan niat kerana Allah, ilmu yang dipelajari walau sedikit, akan memberi manfaat. Saintis yang beretika, pegawai yang amanah, jurutera yang ikhlas, ulama yang jujur, doktor yang mulia, ahli korporat yang tawaduk dan masyarakat berilmu, maju dan berakhlak, hanya akan lahir apabila ilmu diaplikasikan dengan betul bersama-sama hidayah daripada Allah. 


Wallahu`alam.



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan