Popular Posts

Rabu, 30 Mac 2011

HINAAN : ANTARA KESENANGAN DAN DOSA...


Pernah suatu ketika Imam Ali Zainal Abidin bin Husin bin Ali bin Abi Talib yang bergelar as-Sajjad berkata kepada Asy-Syibli yang baru pulang dari haji, “Pernahkah kamu hai Syibli berkunjung ke Masjidil Haram, ke rumah Allah al-Haram?” “Tentu wahai putera Rasulullah.” jawab Asy-Syibli. “Apakah ketika engkau berkunjung ke Masjidil Haram engkau haramkan dirimu untuk menjatuhkan kehormatan sesama kaum Muslimin dengan lidahmu, tanganmu, dan perbuatanmu?”


Imam Ali Zainal Abidin mengulangi pertanyaannya kepada Asy-Syibli, “Apakah ketika kamu masuk Masjidil Haram kamu berniat untuk memelihara kehormatan kaum Muslimin dan tidak akan menjatuhkan kehormatan mereka dengan lidahmu, tanganmu, dan perbuatanmu?” Ketika Asy-Syibli menjawab, “Tidak duhai putera Rasulullah,” Imam Ali Zainal Abidin berkata, “Kalau begitu engkau belum masuk Masjidil Haram.”


Imam Ali Zainal Abidin dalam riwayat tersebut berpesan kepada kita semua, jika kita berangkat haji kemudian pulang tetapi masih suka memfitnah, mengadu domba dan mengumpat orang sesama Muslim, masih juga mencemuh, mengejek, atau menyakiti hati sesama muslim, maka pada hakikatnya kita belum lagi melaksanakan haji.


Akhir-akhir ini banyak kegiatan yang disandarkan dengan label Islam yang saya temui, yang rajin mengaji, ke mana-mana membawa al-Quran, yang wanitanya pula berjilbab besar, yang lelaki siap berjubah dan serban serta berjanggut, tetapi suka mencemuh serta menghina orang lain yang tidak seperti mereka. Mungkin sudah menjadi kebiasaan mereka untuk bersikap seperti itu.


Sebuah kisah benar yang berlaku beberapa tahun yang lalu ini moga menjadi pelajaran buat kita…seorang wanita yang baru belajar mengenal Islam walau dilahirkan oleh ibubapa muslim yang tinggal di pantai barat tanahair telah tinggal di asrama orang-orang Kristian. Di asrama itu dia diperlakukan dengan hormat dan kasih sayang.  Setiap kali pulang dari masjid, dia ditegur.  Kalau ada majlis keraian, dia diajak menyertai sama, walaupun mereka tahu bahawa dia seorang Muslimah, tapi mereka memperlakukannya dengan baik dan menghormati anutan wanita tersebut. Suatu saat, seseorang bertanya kepadanya, “Kenapa kamu tinggal di asrama Kristian, kenapa tidak memilih asrama Muslimah yang ada di sekitar situ?”

Akhirnya, dia berpindah dari asrama itu ke asrama yang hanya di diami oleh wanita muslim. Wanita muda ini belum menggunakan jilbab. Selepas beberapa hari tinggal di situ, dia menghadapi wajah-wajah garang dan ada antara mereka yang mengutuk serta menghinanya kerana tidak memakai jilbab. Jika sesama wanita yang memakai jilbab pulang dari pengajian, mereka disambut dengan peluk cium. Tapi bila dia yang pulang, mahu bersalam tangan pun tidak, malah mereka memalingkan wajah, hanya kerana dia tidak mengenakan jilbab. Hanya kerana  tidak pakai jilbab, dia dijatuhkan kehormatannya, dicemuh, dan diasingkan. Malang sungguh nasib wanita itu. Kasihan juga wanita-wanita “Muslimah” itu. Wanita-wanita tadi mungkin bagus dalam memakai jilbabnya, rajin baca al-Quran, tidak pernah tinggal solat, solat malam pun tidak pernah diringankan, tetapi tanpa sedar, mereka telah melakukan dosa besar.

Walaupun mereka sangat tekun beribadah dan menjalankan sunnah-sunnah Nabi, tetapi tanpa sedar mereka telah terjerumus dalam dosa besar ketika mereka menghina dan memandang remeh pada orang lain.

Tahukah kita, sebesar manakah dosanya menjatuhkan kehormatan sesama Muslimin…?


Sebuah riwayat dalam buku yang berjudul Tafsir bil Ma’tsur,“Ketika Rasulullah Tawaf mengelilingi Kaabah, Baginda saw berhenti di Multazam. Baginda saw bergantung di tirai Kaabah kemudian Baginda saw berkata, ‘Wahai Kaabah, betapa mulianya engkau, betapa agungnya engkau, betapa luhurnya engkau. Tetapi demi Zat yang diriku ada di tangan-Nya, kehormatan seorang Muslim lebih tinggi dari kehormatan Kaabah.”


Betapa mulianya kehormatan seorang Muslim, bahkan kehormatannya lebih tinggi dari Kaabah. Dari situ dapat kita tarik sebuah kesimpulan bahawa menjatuhkan kehormatan seorang Muslim dosanya lebih besar daripada menjatuhkan kehormatan  Kaabah.


Sebuah cerita dari rakan saya yang serupa dengan cerita di atas. Pernah suatu ketika rakan saya ini  diboikot oleh teman-teman pengajiannya yang “soleh”. Dia diboikot hanya kerana tidak turut serta dengan organisasi yang mereka ikuti. Kebetulan organisasi yang mereka ikuti adalah organisasi keislaman yang dapat dikatakan namanya sedang “besar” di tanahair kita ini. Saya tidak mahu menyebutkan nama organisasi tersebut, kerana saya takut pembaca jatuh pada kesalahan bersangka buruk dengan beranggapan bahawa orang-orang yang menyertai organisasi itu pasti semuanya bersikap seperti sikap mereka. Saya masih bersangka baik pada organisasi tersebut. Saya yakin tidak semuanya seperti itu.


Akhirnya rakan saya tadi berpindah ke rumah sewa lain di mana dia diterima dengan tangan terbuka tanpa cemuhan, boikot, umpatan dan cacian.


Menurut ilmu psikologi, kita sebagai manusia memiliki kecenderungan mudah untuk mencemuh orang lain ketika orang tersebut berbeza dengan kita. Misalnya berbeza parti politik, berbeza organisasi keislaman, mahupun berbeza mazhab yang dianuti. Manusia cenderung bersimpati kepada seseorang yang memiliki kesamaan dengan dirinya. Ketika ada seseorang yang berbeza dengan dirinya, maka muncul sikap kebencian kepada orang itu.


Tidak percaya? Silalah cuba berbeza dengan orang lain dalam segala hal, nescaya kita akan dicemuh, dijadikan bahan umpatan atau dijauhi.


Pernahkah kita merenung hikmah dari sebuah gitar. Gitar yang terdiri dari beberapa tali dengan nada yang berbeza-beza. Tetapi ketika kita memainkannya, maka gitar itu mengeluarkan irama yang harmoni, yang sedap untuk kita dengar. Apakah gitar itu lebih mulia dari kita, seorang manusia? Kenapa ketika kita berbeza, kita menjadi saling mencemuh, saling menghina, bahkan saling memerangi satu sama lain?


Bukankah kita diciptakan dengan menjadi berbagai suku, agama, bahasa, buah fikiran, sifat serta tindak-tanduk yang berbeza? Lalu kenapa kita seolah-olah ingin menghilangkan perbezaan itu? Pernahkah kita, sebagai manusia, terfikirkan bahawa perbezaan di antara kita merupakan sebuah rahmat? Lalu kenapa kita membuat semua itu menjadi tidak harmoni?


Banyak di antara kita ternyata belum mengetahui betapa besar dosanya menjatuhkan kehormatan sesama Muslim. Banyak di antara kita ternyata belum menyedari bahawa mencemuh, menghina dan mengumpat saudara sesama Muslim merupakan sebuah dosa besar.


Setelah kita mengetahui bahawa kehormatan seorang Muslim lebih tinggi dari kehormatan Kaabah. Setelah kita menyedari bahawa menjatuhkan kehormatan seorang Muslim dosanya lebih besar daripada menjatuhkan kehormatan Kaabah. Apakah kita akan meneruskan kebiasaan mencemuh, menghina dan menjatuhkan kehormatan saudara sendiri sesama Muslim? Wallahu a’lam…

Jagalah hati…

Wassalam

1 ulasan: