Popular Posts

Rabu, 16 Mac 2011

BILA AKAL MENAFSIR HIDUP...


Tidak ada seorang pun yang aku takuti di dunia ini, sama ada ia seorang Sultan, Perdana Menteri, Menteri Besar, Panglima Tentera, Ketua Polis, Pembunuh Upahan, atau sesiapa pun mereka itu. Rasa takut seorang manusia muncul kerana rasa bersalahnya. Rasa takut manusia akan hilang dan benar-benar hilang hinggalah ke saat kematiannya. Pengsan hanya membuat rasa takut yang bernilai sementara. Jika tujuan akhir hidup ini bermula dengan kematian, buat apa susah-susah untuk merasa takut. Ada orang yang takut mati, ada pula orang yang takut untuk hidup. Bayi menangis ketika dilahirkan mungkin kerana takut tidak akan mampu bertahan dan kuat terhadap godaan dunia yang akan dijalaninya.

Aku percaya tiap hal kecil dan besar semasa hidupku, semuanya adalah kehendak Allah. Tapi ketika aku keluar dari kenyataan tersebut, aku seolah seseorang yang mengatur, membentuk, memilih setiap apa yang ingin ku lakukan. Semua pertanyaan, semua masalah yang muncul dapat ku perolehi sendiri jawapan dan jalan penyelesaiannya, itulah proses hidup. Berdasarkan pada sangkaan tersebut, aku mampu mengendalikan diriku sendiri, aku tidak tergantung pada orang lain, walaupun adakalanya kerana keyakinanku yang merasa boleh mengendalikan diri sendiri, orang lain pula mempunyai pendapat yang berbeza. Mereka berpendapat bahawa aku diluar kendalian.

Salah satu penghalang, pengganggu, pembuat kacau adalah diriku sendiri. Kesalahan mengambil keputusan yang aku sesali, kesalahan menentukan langkah yang harus diambil membuat aku semakin yakin bahawa nasibku ditentukan oleh kemahuanku sendiri, dipengaruhi oleh ilmu, pengetahuan, sejarah hidup, keinginan, nafsu yang membentuk diriku dan terbentuk oleh diriku sendiri juga. Tidak ada situasi, orang, kejadian, masalah yang boleh  membuatku takut. Semua sudah terukur dan dapat difahami.

Takut miskin kerana orang di sekitar kita kaya. Takut bodoh kerana orang di sekitar kita pandai. Takut gagal kerana orang di sekitar kita berjaya. Semua itu hanyalah hal biasa, semua itu hanyalah takdir, semua itu hanyalah sekadar kehendak Allah. Tapi satu hal yang masih aku fikirkan ialah, apakah aku takut terhadapnya atau tidak…? Salah satu hal yang sering menerbitkan rasa takut pada diriku ialah, adakah aku tersesat…? Aku takut tersesat dan melencong dari “jalan yang lurus”. Untuk itu, aku harus selalu meminta petunjuk ke jalan yang lurus, petunjuk untuk orang yang diberi nikmat dan bukan jalan orang yang dimurkai dan apalagi yang sesat.

Takut neraka kerana ada orang yang dapat ke syurga, tidak juga sebenarnya. Dengan tingkah laku dan ilmu yang ada sekarang ini, mengalami siksaan neraka di akhirat nanti merupakan hal yang lumrah bagiku. Yang mampu diupayakan olehku hanyalah berusaha berbuat baik sebanyak mungkin dan lupakan; tidak ada yang tersimpan di memori untuk diingati, tidak ada yang layak diminta balasan atau pahala terhadap semua niat baik kita. Semua itu tidaklah seberapa. Semua itu hanyalah takdir.

Si A bijak, pandai hanyalah takdir. Si B kaya hanyalah takdir. Aku bodoh hanyalah takdir. Takdir di luar kehendak dan kefahaman manusia, jadi jalani sajalah. Ada saat dimana kedudukan kita boleh jadi terbalik. Ada saat di mana sesuap nasi yang hanya bercampur garam tidak terhitung nikmatnya dibandingkan sepinggan nasi penuh lauk pauk yang lazat.

Apa yang menyulitkanku adalah diriku sendiri, keinginanku, nafsuku. Jikalah aku mampu mengendalikan diriku, bukan diriku yang mengendalikan aku, aku yakin …pada saat itulah, kerana Allah yang Maha Pengasih, Penyayang dan Pengampun terhadap umatnya, habis sudah waktu siksaan hati terkurung dalam bentuk fizikal yang sangat tidak bererti ini, diambillah nyawaku agar tidak berbuat lebih banyak dosa lagi. Wallahu`alam.

 Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan