Pernahkah kita terfikir bahawa kita sedang berada dalam anugerah yang tiada ternilai dari Zat yang memiliki kerajaan langit dan bumi, sedangkan begitu banyak orang yang dihalang untuk memperolehnya?
Kita dapat tahu ajaran yang benar dari agama Islam ini. Tahu ini haq, itu batil… Ini tauhid, itu syirik…. Ini sunnah, itu bidaah… Lalu kita dimudahkan untuk mengikuti yang haq dan meninggalkan yang batil. Sementara, banyak orang tidak mengerti mana yang benar dan mana yang sesat, atau ada yang tahu tapi tidak dimudahkan baginya untuk mengamalkan al-haq, malah ia terus menerus berbuat kebatilan.
Kita dapat berjalan dengan teguh di bawah cahaya yang terang-benderang, sementara ramai orang yang bertatih meraba dalam kegelapan.
Kita tahu apa tujuan hidup kita dan ke mana kita akan tujui. Sementara, ada orang yang tidak tahu untuk apa sebenarnya mereka hidup. Bahkan kebanyakan mereka menganggap mereka hidup hanya untuk dunia, sekadar makan, minum, dan bersenang-lenang di dalamnya.
Apa namanya semua yang kita miliki ini, wahai saudara seakidahku, kalau bukan anugerah terbesar, nikmat yang tiada ternilai? Inilah hidayah dan taufik dari Allah swt kepada jalan-Nya yang lurus.
Dalam Tanzil-Nya, Allah swt berfirman, “Allah memberikan hidayah kepada siapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” ( QS Al-Baqarah: 213)
Hidayah di sini bermaksud petunjuk dan taufik. Allah swt memberikan hidayah ini kepada orang yang layak mendapatkannya, kerana segala sesuatu yang dikaitkan dengan kehendak Allah swt, maka mesti mengikuti hikmah-Nya. Siapa yang memperolehi hidayah, maka memang ia layak untuk menerimanya
Allah swt tidak meletakkan hidayah di dalam hati kecuali kepada orang yang layak mendapatkannya. Adapun orang yang tidak memperolehinya, maka Allah swt mengharamkannya beroleh hidayah tersebut. Allah yang Maha Mengetahui, Maha Memiliki Hikmah, Maha Mulia lagi Maha Tinggi, tidak memberikan hidayah hati kepada setiap orang, namun hanya diberikannya kepada orang yang diketahui-Nya berhak mendapatkannya dan dia memang layak. Sementara orang yang Dia Mengetahui tidak sepatutnya beroleh hidayah dan tidak sesuai, maka diharamkan-Nya dari hidayah tersebut.
Di antara sebab terhalangnya seseorang dari beroleh hidayah adalah fanatik terhadap kebatilan, kemaksiatan dan semangat kesukuan, parti, pemimpin serta golongannya, dan sepertinya. Semua ini menjadi sebab seseorang tidak mendapatkan taufik dari Allah swt. Siapa yang kebenaran telah jelas baginya namun tidak menerimanya, ia akan dihukum dengan terhalang dari hidayah. Ia dihukum dengan penyimpangan dan kesesatan, dan setelah itu ia tidak dapat menerima al-haq lagi. Maka di sini ada gesaan kepada orang yang telah sampai al-haq kepadanya untuk bersegera menerimanya. Jangan sampai ia menunda atau mahu fikir-fikir dahulu, kerana kalau ia menundanya, maka ia memang sepatutnya dihalang dari hidayah tersebut.
Allah swt berfirman, “Maka tatkala mereka berpaling dari kebenaran, Allah memalingkan hati-hati mereka.” (QS Ash-Shaf: 5)
“Dan begitu pula Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al-Quran) pada awal kalinya dan Kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatannya yang sangat.” (QS Al-An’am: 110)
Perlu di ketahui bahawa hidayah itu ada terbahagi kepada dua bahagian, iaitu,
1. Hidayah yang boleh diberikan oleh makhluk, baik dari kalangan para nabi dan rasul, para ulama atau selain mereka. Ini dinamakan hidayah irsyad (bimbingan), dakwah dan bayan (keterangan). Hidayah inilah yang disebutkan dalam ayat, “Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) benar-benar memberi hidayah/petunjuk kepada jalan yang lurus.” (QS Asy-Syura: 52)
2. Hidayah yang hanya diberikan oleh Allah swt, tidak selain-Nya. Ini dinamakan hidayah taufik. Hidayah inilah yang ditiadakan pada diri Rasulullah saw, lebih-lebih lagi selain Baginda saw, dalam ayat, “Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.” (QS Al-Qashash: 56)
Yang bernama manusia, baik ia ulama, pendakwah atau seumpamanya, hanya dapat membuka jalan di hadapan sesamanya. Ia memberikan penerangan dan bimbingan kepada mereka, mengajarkan kepada mereka mana yang benar, mana yang salah. Adapun memasukkan orang lain ke dalam hidayah dan memasukkan iman ke dalam hati, maka tidak ada seorang pun yang berkuasa melakukannya, kerana ini hak mutlak Allah swt
Saudara seakidahku, bersyukurlah kepada Allah swt ketika kita dapati diri kita termasuk orang yang dipilih-Nya untuk mendapatkan dua hidayah yang tersebut di atas. Kerana berapa ramai orang yang telah sampai kepadanya hidayah irsyad, telah sampai padanya dakwah, telah sampai padanya al-haq, namun ia tidak dapat mengikutinya kerana terhalang dari hidayah taufik. Sementara diri kita, ketika tahu al-haq dari al-batil, segera kita pegang erat-erat yang haq tersebut dan kita hempaskan kebatilan sejauh mungkin. Bererti hidayah taufik dari Rabbul Izzah menyertai kita. Ap yang tinggal sekarang, hidayah itu harus kita pelihara, kerana ia sangat bernilai dan sangat penting bagi kehidupan kita. Ia harus menyertai kita bila ingin selamat di dunia, apatah lagi di akhirat. Bagaimana tidak? Sementara kita di setiap rakaat dalam solat diperintah untuk memohon kepada Allah swt hidayah kepada jalan yang lurus, “Tunjukkanlah (berilah hidayah) kami kepada jalan yang lurus.” (QS Al-Fatihah: 6)
Bila timbul pertanyaan, bagaimanakah seorang mukmin meminta hidayah di setiap waktu solatnya dan di luar solatnya, padahal kata mukmin itu sendiri bermaksud ia telah beroleh hidayah? Bukankah dengan begitu bererti ia telah meminta apa yang sudah ada pada dirinya?
Allah swt membimbing hamba-hamba-Nya untuk meminta hidayah, kerana setiap insan memerlukannya siang dan malam. Seorang hamba sangat perlu kepada Allah swt setiap saat untuk mengukuhkannya di atas hidayah, agar hidayah itu bertambah dan terus-menerus dimilikinya. Seorang hamba tidak dapat memberikan manfaat dan tidak dapat menolak kemudaratan dari dirinya, kecuali apa yang Allah swt kehendaki. Allah swt pun membimbing si hamba agar di setiap waktu memohon kepada-Nya pertolongan, keteguhan, dan taufik.
Orang yang bahagia adalah orang yang diberi taufik oleh Allah swt untuk memohon hidayah, kerana Allah swt telah memberikan jaminan untuk mengabulkan permintaan orang yang berdoa kepada-Nya di sepanjang malam dan di penghujung siang. Apatah lagi bila si hamba dalam keadaan tersepit dan terperangkap yang menyebabkannya sangat memerlukan bantuan Allah. Ini sebanding dengan firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya…” (QS An-Nisa’: 136)
Dalam ayat ini, Allah swt memerintahkan orang-orang yang telah beriman agar tetap beriman. Ini bukanlah perintah untuk melakukan sesuatu yang belum ada, kerana yang dimaksudkan dengan perintah beriman di sini adalah saranan agar tetap kukuh, terus-menerus dan tidak berhenti melakukan amalan-amalan yang dapat membantu seseorang agar terus di atas keimanan. Wallahu a’lam.
Berbahagialah dengan hidayah yang Allah swt berikan kepada kita dan jangan biarkan hidayah itu berlalu pergi dari diri kita. Mintalah selalu keteguhan dan istiqamah di atas iman kepada Zat yang Maha Mengabulkan doa. Teruslah mempelajari agama Allah swt. Hadirilah selalu majlis ilmu. Dekatlah dengan ulama, cintai mereka kerana Allah swt. Bergaullah dengan orang-orang soleh dan jauhi orang-orang jahat yang dapat menghancurkan pemahaman agama serta membuat kita terpikat dengan dunia.
Semua ini seharusnya kita lakukan dalam upaya menjaga hidayah yang Allah swt anugerahkan kepada kita. Satu lagi yang penting, jangan kita menjual agama ini kerana menginginkan dunia, ingin harta, kuasa, dan kerana cinta kepada pasangan kita. Sekali-kali janganlah kita kembali ke belakang. Kembali kepada masa lalu yang suram kerana jauh dari hidayah dan bimbingan agama. Ingatlah, “Maka tidak ada sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan.” (QS Yunus: 32)
Kata Al-Imam Al-’Allamah Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi rahimahullahu, “Kebenaran dan kesesatan itu tidak ada perantara antara keduanya. Maka, siapa yang luput dari kebenaran mesti ia jatuh dalam kesesatan.”
Lalu apa pandangan kita dengan orang yang tahu kebenaran dari kebatilan, ia berjalan di atas kebenaran tersebut dan berada di dalam hidayah, namun kemudian ia patah semangat, tidak teguh berpegang pada kebenaran lagi dan hatinya berbisik mengatakan ‘selamat tinggal kebenaran’? Wallahul Musta’an.
Sungguh syaitan telah berjaya menyuntik tipu daya dan menghempaskannya ke jurang yang sangat dalam.
Ya Allah, wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu, di atas ketaatan kepada-Mu. Amin ya Rabbul ‘alamin ….
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan