Sebuah coretan membentuk susunan kata dari sebuah ingatan terhadap salah satu doa Rasulullah saw yang sentiasa menerbitkan airmata, lalu membentuk tasik hatiku…
Baginda saw menadah tangan sucinya dan melafazkan, “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu, anugerahkanlah aku dengan Cinta-Mu dan cinta dari orang-orang yang Engkau cintai. Ya Allah, anugerahkanlah aku dengan perbuatan yang menghantarkan aku kepada Cinta-Mu”
Memohon kepada Allah untuk membukakan hati kita terhadap Cinta Ilahi-Nya adalah permohonan yang paling penting yang sebolehnya kita lakukan dalam berdoa kerana tidak ada yang dapat menggantikan tempat bagi cinta.
Rasulullah saw yang disebut sebagai Kekasih Allah, yang diciptakan dari saripati cinta, dan sangat dicintai Allah sehingga seluruh ciptaan-Nya didedikasikan untuk Baginda saw tetap juga memohon agar dianugerahkan Cinta Ilahi. Mengapa?
Kerana siapa pun yang merasakan cinta itu, pasti akan memintanya lebih banyak lagi. Siapa yang berhati batu tidak akan meminta Allah memberikan cinta ini, tetapi orang-orang yang dapat merasakan cinta itu, tahu bahawa ia adalah kunci bagi semua kenikmatan hidup, kunci terhadap rahmat, keindahan, hikmah, dan kunci bagi semua anugerah yang dapat dihadiahkan Allah kepada hamba-Nya. Oleh sebab itulah, Rasulullah saw membimbing setiap manusia apa yang berharga dalam kehidupan ini.
Selanjutnya Baginda saw berdoa, “dan anugerahkanlah aku dengan cinta dari orang-orang yang mencintai-Mu…” Tahap pertama, iaitu Cinta Ilahi, adalah maqam para Rasul. Kita tidak mampu untuk melompat dari tangga terbawah menuju tingkat tertinggi dalam satu langkah. Allah bersifat transendental, kita tidak akan pernah dapat mengukur sesuatu mengenai Allah, tetapi lebih mudah untuk mencintai orang yang mewakili Cinta-Nya di antara semua umat manusia, kerana bagi kita sebagai orang awam, lebih mudah untuk mula mengerti dan mencintai manusia seperti diri kita. Kita tidak akan menemui apa-apa dalam hati mereka, kecuali Cinta Ilahi; oleh sebab itu mencintai mereka merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri ke arah Cinta Ilahi.
Rangkap terakhir dari doa Rasulullah saw ialah memohon kecintaan untuk melakukan perbuatan yang dapat menghantarkan Baginda saw kepada Cinta Ilahi. Permintaan yang dapat membawa berkat, yang melembutkan hati kita dan melemahkan sifat serakah dan ego. Ini adalah perbuatan yang dianjurkan oleh Allah melalui teladan dari para Rasul-Nya. Perbuatan yang disarankan dalam seluruh Kitab Suci-Nya. Dan, walaupun pada awalnya keadaan diri kita sukar untuk mengadaptasi dengan perbuatan mulia ini, insya Allah, dengan menyingsingkan lengan kita terhadap apa yang diredhai oleh Allah, Dia akan memperkuat hati kita.
Ini adalah tingkat ketiga cinta yang diminta oleh Rasulullah dalam doa Baginda saw, dan hikmah yang terpancar dari doa ini sudah cukup untuk menjadi bukti ketulusan Muhammad saw pada Ilahi. Sementara diri kita, seharusnya berusaha untuk selalu memohon cinta itu, Syaitan telah menyatakan perang terhadap niat seperti itu, kerana dia tahu bahawa bila cinta itu telah memasuki hati salah satu budaknya, dia akan kehilangan budak itu, dan dia tidak akan dapat menariknya kembali dengan segala kesenangan dunia ini. Orang yang telah merasakan cinta itu bahkan tidak akan memperhatikan kesenangan duniawi, atau hanya menganggapnya sebagai setitis dari dalamnya samudera.
Bersama doa ini mungkin kisah berikut dapat memberikan gambaran dan motivasi pada kita dalam melihat betapa hebatnya Cinta Ilahi… Suatu ketika Nabi Musa as pergi ke Gunung Sinai, Baginda as melalui sebuah gua yang didiami seorang petapa.
Petapa itu bangun dan memanggil Nabi Musa, “Wahai Musa, katakanlah kepada Allah agar aku dianugerahkan Cinta Ilahi-Nya, cukuplah walau sebesar zarah saja” Nabi Musa mengiakannya. Lalu Baginda as meneruskan perjalanannya. Kemudian, ketika Nabi Musa berbicara kepada Robb nya, Baginda as, menyampaikan permintaan petapa tadi. Allah menjawabnya, “Aku akan memberikannya Cinta Ilahi-Ku, tetapi tidak sebesar yang dia minta. Aku hanya akan memberikan satu bahagian terkecil dari sebutir zarah cinta itu”.
Ketika Nabi Musa kembali dari gunung, Baginda as dengan segera pergi untuk melihat apa yang terjadi dengan petapa tadi, untuk mengetahui bagaimana kesan satu bahagian terkecil dari zarah dari Cinta Ilahi yang terjadi pada dirinya. Ketika Nabi Musa as tiba, Baginda as melihat bahagian gunung yang menjadi gua itu telah hancur-lebur dan di sana terdapat sebuah jurang yang sangat dalam. Baginda as berteriak, “Wahai hamba Allah, apa yang terjadi, di mana kamu?”Lalu Nabi Musa melihat ke dalam jurang dan melihat petapa itu duduk di sana seolah-oleh dia berada di dunia lain, sepenuhnya tenggelam dalam cinta-Nya.
Mengapa petapa itu meminta secubit Cinta Ilahi? Kerana dia telah melakukan ibadah, namun tidak merasakan apa-apa. Dia merasakan kekosongan dalam hatinya dan kekosongan itu hanya dapat dipenuhi dengan Cinta Ilahi. Tanpa cinta, ibadah terasa hambar dan tidak berguna. Oleh sebab itulah, kita harus yakin bahawa ibadah yang kita dirikan di atas landasan cinta yang kuat akan mengolah cinta itu menjadi dinding dari bangunan yang menjadi amalan ibadah kita.
Ini lebih dari sekadar analogi, kerana bangunan pun terasa hidup dengan perasaan cinta orang-orang yang membinanya atau sebaliknya, mati kerana kekerasan hati para pembinanya
Oleh itu, bila kita melihat bangunan lama, walau dalam keadaan uzur seringkali menimbulkan perasaan tenteram kerana cinta dan kebaikan dari orang-orang yang membinanya. Hal ini khususnya dapat dirasai pada masjid tua, kerana para pembinanya membangunkan tempat itu dengan alasan yang sama, iaitu mendapat kecintaan Allah dan dengan kesolehan yang tulus. Di masjid-masjid tua sering timbul perasaan Kehadirat Ilahi, tetapi pernahkah kita merasakan suasana seperti itu di masjid baru, walau dengan senibina moden berkos tinggi? Rasanya tidak, kerana mereka telah mengeluarkan bahan paling penting dalam pembinaannya, iaitu cinta.
Rasulullah saw membawa Cinta Ilahi, seluruh Rasul membawa aliran Cinta, tetapi sebahagian besar orang menjauhi mereka. Jadi yang menjadi amanah serta tugas kepada para pendakwah ialah memberikan aliran cinta itu kepada orang yang memintanya…wallahu`alam
Jagalah Hati…
Wassalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan