Solat merupakan sarana paling utama bagi manusia untuk dapat selalu berinteraksi dengan Penciptanya. Dahulu Nabi Zakaria as menjadikan solat sebagai penolong ketika Baginda as meminta kepada Allah untuk diberikan keturunan. Doa Baginda as dikabulkan untuk mendapatkan seorang putera iaitu Nabi Yahya yang merupakan anugerah terbesar dalam hidupnya. Rasulullah saw bersabda, ‘Hal yang paling membuatkan aku senang adalah solat’. Dengan solat Baginda saw merasakan suatu kenikmatan yang tiada bandingan, berdialog dengan Allah swt.
Solat di ibaratkan kepala pada manusia. Manusia mustahil dapat hidup tanpa kepala. Demikian juga halnya, semua perbuatan baik manusia akan sia-sia jika tanpa disertai solat. Solat merupakan penanda aras diterima atau tidaknya amal perbuatan manusia. Rasulullah saw bersabda, ‘Pertama sekali yang diperhitungkan pada hari kiamat adalah solat. Jika solatnya diterima, maka seluruh amal solehnya diterima, namun jika solatnya ditolak, maka seluruh amal solehnya ditolak pula.’
Arwah bonda selalu berpesan, “ jika kamu mempunyai hajat baik urusan dunia ataupun akhirat, maka mintalah pertolongan kepada Allah swt dengan melaksanakan solat. Bacalah akhir surat Taha selepas solat, insya Allah dengan segala kebesaran-Nya akan dikabulkan hajat dan keinginanmu.’
Namun solat kita pada masa sekarang ini tidaklah seperti solat para salaf terdahulu yang penuh khusyuk dan perhambaan. Solat kita merupakan solat yang selalu dipenuhi kelalaian dan kealpaan, sehingga sangatlah kecil nilainya. Orang-orang sufi terdahulu yang tidak diragukan lagi kedalaman ilmu pengetahuannya, menambahkan tiga rukun pada rukun-rukun solat yang dikemukakan para ulama fiqh iaitu, khusyuk atau tadabbur (hadirnya hati), khudu’(merendahkan diri kepada Allah) dan ikhlas. Firman Allah swt, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan.”
Penafsiran mereka dalam ayat ini adalah, ‘Janganlah kalian mendekati (mengerjakan) solat sedangkan kalian dalam keadaan mabuk oleh kesenangan dunia hingga fikiran kalian kosong dari dari segala urusan dunia.’
Sekarang kita saksikan orang-orang melaksanakan solat namun hati mereka masih selalu tertuju pada urusan dunia, baik urusan jual beli mahupun pekerjaan mereka. Akibatnya mereka lupa berapa rakaat yang telah mereka kerjakan, tidak mengetahui surah apa yang telah dibacakan imam. Mereka sama sekali tidak menghayati bacaan Al-Fatihah dan ayat-ayat yang lain dalam solat, mereka tidak menyedari bahawa mereka berdiri di depan Maha Penguasa dan sedang berdialog dengan Maha Pencipta. Urusan-urusan duniawi benar-benar telah menguasai hati manusia.
Arwah bonda juga pernah berkata, “Orang yang memikirkan urusan dunia dalam solat sama halnya dengan orang yang melumurkan Al-Quran yang suci dengan arak”. Solat yang seharusnya menjadi wadah yang suci telah mereka penuhi dengan kotoran-kotoran yang menjijikkan.
Tanpa ada niat ikhlas yang merupakan roh dari solat, orang yang demikian diibaratkan oleh Imam Ghazali seperti seseorang yang menghadiahkan selonggok bangkai dengan kemasan rapi kepada seorang raja. Tentunya perbuatan tersebut bukannya menyenangkan hati raja melainkan membuat dia marah dan murka kerana dianggap telah menghina kehormatan dan kebesarannya.
Para salaf terdahulu memandang solat sebagai hal yang sangat penting dan agung. Mereka selalu berusaha melaksanakan dengan sesempurna mungkin. Hingga ada diantara mereka acapkali dihinggapi burung saat solat kerana sangat khusyuk dan tenangnya. Ada pula yang sampai tidak merasakan dahsyatnya gempa bumi yang meluluh hancurkan bangunan-bangunan di sekitarnya. Bahkan Imam Ali bin Husin sama sekali tidak merasakan panasnya julangan api yang membumi hanguskan rumah beliau saat beliau tenggelam dalam solatnya. Saat ditanya beliau hanya berkata, ‘Panasnya api yang lain (api neraka) telah membuatku tidak merasakan panasnya api dunia.’
Rasulullah saw bersabda, ‘Ada seorang lelaki di antara kamu, rambut di kedua pipinya telah memutih namun tidak diterima satu pun solatnya.’ Ini menunjukkan bahawa tidak ada satu solat pun yang dia kerjakan dengan khusyuk. Padahal, mulai usia 15 tahun hingga enam puluh tahun sudah berapa kali dia mengerjakan solat. Jika tidak ada satu solat pun yang dia kerjakan dengan khusyuk, itu bererti hatinya benar-benar dikuasai urusan keduniaan.
Ini adalah masalah kompleks di tengah masyarakat Islam yang harus dilihat dengan serius, terutama bagi para penuntut ilmu. Adapun orang awam pada zaman sekarang yang sudah merasa cukup dengan solat yang biasa mereka kerjakan juga perlu mengambil langkah segera untuk memperbaiki kualiti solat. Jika masih ada di kalangan kita yang mengeluh jika mendapati seorang imam solat terlalu lama. Dan dalam masa yang sama, lebih memilih imam yang lebih cepat dan ringkas sambil mengesampingkan unsur kekhusyukan yang sebenarnya keperluan dalam solat, maka tanyakan pada diri, “Bagaimana dengan solat kita…?” wallahu`alam.
Jagalah Hati….
Wassalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan