Popular Posts

Selasa, 1 Februari 2011

WASIAT CINTA BUAT PUTERA - PUTERIKU...


Wahai anak-anak belahan jantungku...,

cinta yang sejati itu menyembuhkan, tidak menyakitkan. Jika kamu rasa cinta yang kamu alami sekarang menyakitkan dan kamu merana kerananya, itu adalah tanda cinta bukan cinta yang sebenarnya.

Cinta amat menyakitkan apabila diduga dengan perpisahan. Hampir semua orang rasa sakit dan berputus asa apabila berpisah. Betul katamu cinta itu memang bukan segala-galanya tetapi kehilangan cinta seperti kehilangan segala-galanya.

Benar, mencintai makhluk memang berpotensi besar mengalami kehilangan kerana setiap makhluk sudah dijanjikan dengan kematian yang pasti. Dan mungkin juga berpisah disebabkan cinta ditolak kerana hati manusia mudah berbolak-balik. Bukankah itu semua sudah dijelaskan dalam Quran dan kamu sendiri sudah diberitahu oleh guru dan sahabatmu di sekolah?

Sebaik-baiknya apabila kamu bercinta, harus sematkan dalam hatimu bahawa setiap yang dicintai tidak akan kekal lama. Namun terkadang cinta itu membutakan kenyataan dan melekakan sehingga kenyataan itu tidak kelihatan walaupun jelas di hadapan matamu. Kamu hanya tersedar sesudah perpisahan itu terjadi. Dan lantas kecewa sehingga kamu sanggup menyalahkan takdir.

Puncanya, kamu sendiri sudah tahu. Kamu mendahulukan cinta makhluk daripada cinta Allah. Kerana itulah apabila kamu kehilangan cinta makhluk, kamu rasakan hilang segala-galanya. Sedangkan Allah tidak pernah berpisah denganmu.

Sebelum kamu mencintai seseorang, kamu harus bersedia menerima dua kemungkinan, sama ada diterima ataupun ditolak. Apabila ditolak, amat perit sakitnya. Apabila diterima, kamu teramat gembira sehingga merasakan seperti dunia ini kamu yang punya. kegembiraan itulah yang membuta dan melekakan kamu daripada hakikat yang setiap cinta makhluk itu sudah dijanjikan perpisahan. Kamu lupa segala-galanya kerana cinta itu membutakan.

Sebaik-baiknya setiap pertemuan dan permulaan kasih itu sudah disemat kukuh bahawa cinta makhluk tidak pernah ada yang kekal. Semua manusia akan mati termasuk kita, mereka, dia dan semua makhluk yang hidup. Sebaik-baiknya juga utamakan cinta Allah kerana ia tidak akan berpisah denganmu. Tidak akan ditolak malah cinta ini pasti diterima walaupun sejahat mana pun kamu. Apabila kamu mencintai Allah, kamu tidak akan pernah rasa kehilangan. Allah tidak akan pernah melupakan kamu, sebaliknya kamulah yang membuat pilihan untuk sering melupakan dan membiarkan cinta ini.

Tidak akan ada sesiapa pun yang mampu merebut cinta ini daripada kamu. Tidak akan ada juga yang merampas Allah daripada kamu. Jika kamu bermesra dengan Allah, kamu tidak akan pernah terpisah denganNya. Allah juga tidak pernah berpisah dengan kamu kecuali kamu sendiri yang memilih untuk berpisah denganNya. Inilah cinta yang paling menyembuhkan dan membahagiakan. Berbahagialah orang yang menyedari hakikat cinta ini.

Nah, sekarang pilihan ada di tanganmu. Pilihlah sama ada ingin hidup bahagia ataupun derita. Pandai-pandailah memilih cinta kerana Allah sudah berikan kamu akal dan hati untuk menilai. Jangan hanya dinilai dengan mata kasar. Nilailah dengan mata hati dan akal berlandaskan redha Ilahi. Pasti kamu tidak akan kecewa lagi.

Pesanan terakhir, jangan takut melepaskan cintamu yang menyakitkan bagi meraih cinta sejati yang mendamaikan. Bahagia di dunia belum menjamin kamu bahagia juga di akhirat. Cinta sejati tidak menzalimi, cinta sejati berorientasikan Ilahi. Utamakan cinta Allah, cinta manusia akan datang selepas itu. Jangan khuatir jika belum berjumpa cinta sejati daripada manusia apabila kamu sudah berjumpa cinta sejati daripada Allah.

Kerana itulah aku masih di sini mencari dan terus mencari cinta sejati redha Ilahi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan