Wahai anakku ! Jika engkau ingin hidup dalam keadaan sihat tubuhmu dan bersih dari penyakit, maka janganlah memasukkan dalam perutmu makanan demi makanan. Janganlah makan, kecuali bila engkau sudah lapar. Dan ketika engkau makan, janganlah engkau penuhi perutmu dengan makanan.
Rasulullah saw bersabda,”Tidaklah anak Adam (manusia) memenuhi wadah yang lebih buruk daripada perutnya.”
Wahai anakku ! Apabila engkau ingin makan, maka cucilah kedua tanganmu lebih dulu. Dan sebutlah nama Allah untuk makananmu dan jangan menelan makanan itu sekaligus, tetapi kunyahlah makanan itu dengan baik. Kerana pengunyahan yang baik membantu pencernaan.
Makanlah makanan yang ada di depanmu dan janganlah hulurkan tanganmu ke sana dan ke sini, kerana hal itu termasuk perbuatan yang tercela.
Wahai anakku ! Janganlah engkau lakukan seperti apa yang dilakukan orang-orang yang rendah dan tidak bermoral. Maka, janganlah engkau makan sambil berjalan, walaupun hanya memakan buah atau kekacang. Kerana hal itu menjatuhkan harga diri dan mengurangkan wibawa orang yang berbudi.
Wahai anakku ! Hindarilah sifat kikir dan serakah. Apabila engkau duduk dan di sampingmu ada seorang yang engkau kenali atau tidak engkau kenali, maka ajaklah dia makan bersamamu.
Apabila masih ada baki makanan, maka sedekahkanlah kepada orang yang memerlukan dan jangan menganggap kecil sesuatu yang engkau sedekahkan. Kerana sedekah yang sedikit mempunyai nilai pada orang-orang miskin. Apabila engkau memberi sedekah kepada seorang miskin, janganlah engkau mengejeknya.
Janganlah sedekahmu disusuli dengan mengganggu orang yang engkau beri sedekah.
’’ Perkataan yang baik dan pemberian maaf, lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima).”
Berusahalah sekuat tenaga untuk menyembunyikan sedekahmu dari orang ramai. Kerana sedekah secara sembunyi memadamkan amarah Allah Ta’ala.
Wahai anakku ! Hindarilah makan dan minum dalam bekas-bekas yang belum dibasuh lagi kotor. Boleh jadi kekotoran pada bekas-bekas tersebut akan menimbulkan penyakit yang tidak dapat disembuhkan oleh perubatan moden mahupun tradisional.
Janganlah engkau minum, kecuali air yang bersih dari kotoran. Apabila engkau minum, maka sebutlah nama Allah sebelum minum dan jangan minum air dengan sekali teguk, tetapi minumlah dengan tiga kali teguk, sedikit demi sedikit.
Berehatlah seketika di waktu minum dan hendaklah engkau lakukan itu tiga kali. Engkau selang-selikan antara kali yang satu dan kali yang lain dengan menyebut nama Allah Ta’ala.
Apabila selesai makan dan minum, maka panjatkan puji bagi Allah yang memberimu makan dan minum, dan panjatkan syukur kepada-Nya atas segala nikmat-Nya yang tidak terhitung banyaknya. Semoga Allah memberimu petunjuk dan bimbingan....
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan