Popular Posts

Jumaat, 25 Februari 2011

JEJAKILAH LANGKAH MEREKA...

Sejarah peninggalan mereka yang bertambah takut dengan ilmu, bertambah celik dengan amalan dan bertambah kenal dengan akal menjadi contoh pada kita di zaman ini untuk menurut jejak langkah para salafusoleh.
Imam Ibnu Hajar di dalam Hadyus Sari Muqaddimatu Fathul Bari ada menyebut baawa Muhammad bin Mansur pernah menceritakan :

"Pernah satu ketika kami menghadiri majlis Imam Bukhari, lalu ada orang mencampakkan kotoran yang ada di janggutnya ke lantai. Aku dapati, Imam Bukhari memerhati kotoran itu dan memerhatikan orang ramai, lalu apabila ia merasakan orang ramai sedang leka, ia mengambil kotoran tersebut dan memasukkan ke dalam bajunya. Dan apabila ia keluar dari masjid ia pun mencampakkan kotoran itu di atas tanah"

Andaikata kita tidak dapat mengikuti cara mereka akibat kekurangan adab maka hendaklah kita mencela diri sendiri. Sesungguhnya sifat orang yang ikhlas tidak akan tersembunyi dari orang-orang yang berilmu.
Ketahuilah bahawa setiap fikrah terdapat adab dan setiap isyarat terdapat ilmu. Yang akan dapat membezakan demikian itu hanyalah mereka yang dapat memahami kehendak Allah ‘azza wa jalla dan dapat memetik buah-buah keyakinan dari firman-firman-Nya.

Tanda-tanda demikian itu, yang terdapat pada orang yang siddiq (benar) ialah :

1. Apabila ia melihat ia akan mengambil iktibar

2. Apabila ia berdiam ia akan berfikir

3. Apabila ia bercakap ia akan berzikir

4. Apabila ia terhalang ia akan sabar

5. Apabila diberi ia akan bersyukur

6. Apabila diuji ia mengucap tarji’ إن لله و إنا إليه راجعون

7. Apabila dilakukan tindakan zalim ke atasnya ia berlemah lembut

8. Apabila ada ilmu ia merendah diri

9. Penyayang apabila mengajarkan ilmu

10. Dan apabila ditanya ia berusaha untuk menjawab

Beliau adalah penawar kepada orang yang mengharapkan, pembantu kepada yang meminta panduan, sebagai rakan kebenaran, gua kebaikan, suka merelakan bagi hak dirinya dan sangat tinggi kemahuannya pada hak Allah subahanahu wa ta’ala.

Niatnya lebih baik dari amalannya, amalannya pula lebih baik dari cakapnya, dalamannya adalah kebenaran, pengikatnya adalah malu, dikenali sebagai warak, penonjolannya diyakini, ia mempunyai cahaya-cahaya kewarasan yang digunakan untuk berpandangan, mempunyai ilmu-ilmu yang benar untuk diungkapkan dari dalil-dalil keyakinan untuk diperkatakan.

Hamba yang akan mencapai peringkat ini hanyalah orang yang memujahadahkan dirinya (latihan dan usaha untuk melawan hawa nafsu agar tidak haloba terhadap dunia) kerana Allah, mengistiqamahkan tekadnya untuk mentaati Allah, rasa takut Allah dalam keadaan terbuka mahupun tersembunyi, memendekkan angan-angan, memperkemaskan ikatan ketelitian dan ia menyelamatkan (diri dari kemurkaan Allah) dengan tiupan angin keselamatan di lautan ibtihal (munajat dan memohon kepada Allah).

Oleh itu, waktunya dalam keuntungan, keadaannya sentiasa selamat, tidak akan disilau dengan hiasan dunia yang menipu dan kilauan fatamorgana serta kelembutan bayu dunia tidak dapat melalaikannya tentang kedahsyatan Hari Kebangkitan.


Sedarilah bahawa orang yang berakal setelah jelas keilmuannya dan nyata keyakinannya akan mengetahui bahawa tidak ada sesuatu yang akan menyelamatkannya dari Allah, melainkan kejujuran. Maka ia akan tekun mendapatkannya dan akan mencari orang-orang yang jujur dengan harapan ia akan hidup sebelum matinya (memanfaatkan hidupnya dengan amalan dan kerja yang berfaedah), agar ia bersedia untuk hari yang kekal setelah matinya, maka ia menjual harta dan jiwanya kepada Ilahi, kerana membenarkan firman Nya di dalam hati, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga” (Surah At Taubah : 111)

Lantas ia berilmu setelah kejahilan, kaya setelah fakir, terhibur setelah kesepian, dekat setelah kejauhan, lega setelah keletihan. Teraturlah sudah urusannya dan terkumpul sudah harapannya.
Slogannya adalah kepercayaan dan keyakinan dan keadaannya adalah muraqabah. Tidakkah kita memerhatikan sabda Rasulullah saw, “Sembahlah Allah bagaikan kamu melihatnya, walau pun kamu tidak dapat melihatnya, sedarlah sebenarnya Dia sedang melihat kamu” (Riwayat Muslim)

Orang jahil menyangkanya seorang yang pekak dan lesu, kebijaksanaannyalah yang memekakkannya. Orang menyangkanya seorang yang bodoh bercakap merapu, padahal menasihat kerana Allah lah yang membuat ia berbicara. Orang menyangkanya seorang yang kaya dengan sikap tidak memintalah yang mengkayakannya dan orang menyangkanya fakir, padahal sikap tawaduklah yang merendahkannya.

Dia tidak menyampuk sesuatu yang tidak berkenaan dengannya, tidak menggagahi lebih dari keperluannya, tidak mengambil apa yang tidak dihajati, tidak mengabaikan apa yang diamanahkan kepadanya. Orang ramai rasa senang dan tidak terganggu dengannya, sementara ia merasa letih berhadapan dengan nafsunya. Ia telah memautkan halobanya dengan warak. menyekat tamaknya dengan takwa dan menghilangkan hawa nafsunya dengan cahaya ilmu.

Bentuklah diri seperti ini, berkawanlah dengan orang-orang sedemikian...

Daripada Abu Hurairah ra, daripada Nabi saw sabdanya, "Allah mempunyai beberapa malaikat peronda yang sentiasa bergerak di atas bumi, apabila mereka naik ke langit Allah akan bertanya kepada mereka, sedangkan Dia lebih mengetahui : Dari mana kamu datang ? Jawab mereka : Kami datang dari beberapa orang hamba Mu di atas muka bumi yang sedang bertasbih, bertakbir dan bertahlil, bertahmid dan memohon doa dan keampunan dari Mu. Lalu Allah berfirman : Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka, aku memberikan apa yang mereka minta dan aku melindungi mereka dari apa yang mereka mohon perlindungan. Para malaikat pun berkata : Tetapi, bersama mereka ada seorang yang banyak melakukan kesalahan, dia hanya duduk bersama mereka secara kebetulan ia melintas di situ sahaja. Jawab Allah : Kepadanya pun Aku ampuni, mereka adalah kaum yang tidak akan mencelakakan orang yang duduk bersama mereka” (Riwayat Muslim)

Jejakilah tauladan mereka dan beradablah dengan tingkahlaku mereka. Mereka adalah simpanan yang terjamin, membeli mereka dengan dunia adalah untung. Mereka adalah senjata dalam kesusahan dan pendamping yang boleh dipercayai. Andai kita kefakiran, mereka akan memberikan kekayaan kepada kita, dan andai mereka berdoa kepada Allah, kita tidak akan dilupakan.

 “Mereka adalah penyokong-penyokong (agama) Allah, ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong agama Allah itu adalah orang-orang yang berjaya” (Surah al Mujadalah: 22)
Jagalah Hati...

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan