Semoga Allah yang Maha Menguasai syaitan terkutuk, tidak menggolongkan kita menjadi orang yang diperdaya oleh tipu dayanya. Sebab yakinlah bahawa syaitan sepenuhnya ada dalam kekuasaan Allah, hanya kerana izin Nya jualah, syaitan menjadi penggoda dan penipu kita agar tidak merasakan amannya dalam perlindungan Allah Ta`ala.
Orang yang terpedaya adalah orang yang sangat malang. Tanda-tandanya akan nampak di peringkat awal dengan perasaan yang sangat beruntung, padahal dia dalam kerugian. Kita sering tertipu oleh diri kita sendiri, merasa terhormat padahal sesungguhnya hina, merasa hebat padahal sesungguhnya kecil dalam pandangan Allah, merasa soleh padahal sangat jauh dari standard kesolehan.
Alangkah ruginya andaikata kita tertipu oleh syaitan dengan kenderaan hawa nafsu kita. Kita telah diperdaya oleh fikiran dan angan-angan sendiri. Semoga Allah swt menolong kita agar dapat mengenal pasti beberapa sudut yang membuat kita harus mengkaji berulang kali tentang amal-amal kita.
Orang dapat terpedaya ketika mencari ilmu dan dapat juga diperdaya pada waktu beramal. Malahan saat sedang wuduk sekalipun, ada orang yang tertipu seakan-akan wuduk itu harus sangat sempurna, sehingga membasuh muka, membasuh tangan, atau membasuh kaki sehingga habis waktu dan membazirkan air dengan sia-sia. Rasa ingin suci dengan mengulang-ulang wuduknya sehingga ia tidak sedar bahawa dia telah lalai dalam menunaikan hak air agar tidak dibazirkan. Sekaligus, ia telah menjadi penghalang untuk orang lain turut sama berwuduk. Malahan, ia terus menerus leka hingga kehilangan keutamaan solat tepat pada waktunya, hanya kerana wuduk yang ingin terlalu sempurna. Memang ia seperti ingin menyempurnakan, tetapi sebenarnya dia sedang diperdaya.
Saat niat untuk memulakan solat, timbul rasa ingin untuk menjadi sempurna. Akibatnya, takbir diulang-ulang, seakan-akan dia ingin bagus bertakbir sahaja. Dia tidak sedar bahawa dirinya sudah menjadi alat bagi syaitan untuk mengganggu orang yang solat di kanan-kirinya. Orang lain sudah membaca Al Fatihah, sudah mula membaca surah, dia masih sibuk dengan takbir yang dikeraskan demi kepentingan kekhusyukkan dirinya. Berulang-ulang ia lakukan hinggakan menganggu solat orang yang di kanan-kirinya. Sungguh dia sudah jadi alat tipu daya syaitan. Kelihatan seperti ingin khusyuk, tetapi di saat itu, dia sebenarnya sudah membuka jalan untuk merosak solat orang lain.
Pada waktu bacaan surah, ada juga yang “ditegur” syaitan dengan membuatnya ingin bacaan Fatihahnya bagus, sehingga sangat mementingkan makhraj dan tajwidnya. Malahan, selalu juga suaranya lebih dikeraskan supaya khusyuk. Dia tidak menyedari bahawa bacaan Fatihahnya yang begitu diusahakan untuk betul makhraj dan tajwidnya itu sudah merosak solat orang di belakangnya. Dan dia sendiri sudah tidak ingat kepada Allah, kerana begitu sibuk dengan bacaan yang tidak difahaminya.
Adakala, waktu solat kita merasa perlu untuk menangis, mungkin juga ia menjadi bisikan tipu daya dari syaitan. Kita solat berjamaah, kemudian hati tersentuh, oleh Allah digetarkan, tapi sesudah itu, ada yang menjadi riak. Kita ingin tangisan kita diketahui orang lain atau kalau kita diam-diam menangisnya dengan air mata berlinang, terkadang ada keinginan agar orang lain tahu bahawa dirinya sedang menangis. Lalu lihat orang lain yang tidak menangis seakan-akan dianggap tidak dalam keadaan khusyuk. Ada pula yang ketika sujud di lamakan, imam sudah duduk, makmum lain sudah duduk, dia sengaja sujud sendiri lebih lama. Dia memang terasa nikmat, tapi jangan-jangan ini tipu daya syaitan kerana dalam sebuah jamaah, keutamaan adalah yang dilakukan secara bersama-sama.
Wahai saudara seakidahku, kita perlu sangat berhati-hati! Semua orang yang berilmu pasti binasa, kecuali orang yang mengamalkan ilmunya. Semua orang yang beramal juga pasti binasa, kecuali orang-orang yang ikhlas dalam mengamalkannya. Dan untuk ikhlas itu perlukan perjuangan yang sangat luar biasa. Kita harus cari ilmunya, atau sekurang-kurangnya perlu banyak bertanya dengan guru-guru yang mursyid.
Begitu juga bagi orang-orang yang berilmu, banyak orang yang berilmu dan diperdaya dengan ilmu yang dimilikinya. Dia belajar ilmu agama, rajin ke masjid,l belajar ilmu syariat hingga kepada tasawuf. Dia mulai merasa dirinya menjadi orang yang bijak dalam ilmu agama. Dia menguasai segala dalil, malah ketika berbicara selalu menggunakan pelbagai dalil. Sayangnya dia tidak meneliti bagaimana akhlaknya sendiri. Sudah mengamalkan atau tidak ilmu yang diketahui itu? Dia sibuk berhujah dengan pelbagai dalil, keterangan agama keluar dari mulutnya, tapi sayang seribu kali sayang, dia tidak berjaya meneliti ilmu yang diketahuinya itu sudah dilakukan atau belum atas dirinya sendiri?
Yang anehnya, dia sudah merasa soleh, merasa sudah menjadi orang baik dengan ilmu yang dikuasainya. Padahal apalah ertinya ilmu jika tidak jadi amalan. Apalah ertinya kita mengetahui ilmu solat, kalau kita tidak mendirikan solat. Inilah perilaku orang yang terpedaya lagi tertipu. Banyak bercakap tentang agama, banyak berdialog tentang kebenaran, tetapi diri sendiri tidak melakukan kebenaran itu. Malahan merasa sudah menjadi orang terhormat dengan ilmunya, tidak pula merasa bersalah sama sekali. Seakan-akan orang yang beramal tanpa ilmu itu ditertawakan, masya Allah. Padahal Allah swt berfirman, "Sungguh amat besar kemurkaan di sisi Allah bagi orang-orang yang berkata apa-apa yang tidak diperbuatnya" (QS 21:3).
Ada pula orang yang berilmu, beramal, solatnya bagus, tepat waktu, pokoknya dia usahakan agar apa yang diketahuinya segera diamalkan. Tapi ada satu yang tertinggal, dia tidak berjuang untuk menanyakan niat di hatinya. Tidak hairanlah, jika masih ada ujub, takabur, iri dan dengki. Dia memang solat, tapi pada saat yang sama ketika melihat orang yang solat di samping berbeza dalam meletakkan tangannya, hatinya mulai menjadi busuk dengan berkata, "Dalil mana orang sebelah nie pakai?". Dia tidak ingat kepada solatnya sendiri. Ketika tahhiyat akhir, telunjuk orang di sebelah bergerak dan berbeza dengan gerakan telunjuknya, maka fikirannya jauh lebih memikirkan dalil tentang telunjuk daripada tentang kekhusyukan solat.
Ketika imam salah bacaannya dalam solat dan dia sebenarnya tahu bacaan tersebut, dia bukannya memberitahu, tetapi dia komen di hatinya, "Orang begini pun boleh jadi imam ke? Aku rasa dia tidak layak. Tidak adakah yang lebih baik (bermaksud dirinya sendiri)". Tidak ada di hatinya niat ingin membetulkan,tetapi sengaja ia keraskan pembetulan bacaan imam untuk menunjukkan bahawa dirinya lebih fasih dan ingin memberi tahu kiri dan kanannya bahawa dia seorang yang fasih. Situasi sebegitu sebenarnya sangat mempengaruhi solat yang dilakukannya. Dia mengakhiri solatnya dengan kenangan yang indah sudah memperbaiki imam tadi. Ketika selesai solat, dia lihat kiri kanan agar diketahui orangramai bahawa dirinyalah yang tadi membetulkan bacaan imam. Benar dia memperbaiki bacaan tersebut, tapi dia telah tertipu.
Berhati-hatilah pada yang banyak ilmu, yang banyak amal kerana belum tentu selamat dalam pandangan Allah kalau hati kita busuk dan hanya mempamerkan amal kita. Tahajud itu bagus, tapi belum tentu diterima kalau ada niat-niat lain, berupa pujian dan penghargaan.
Golongan kedua yang terperdaya adalah orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya tapi belum bersungguh-sungguh menjaga hatinya. Akibatnya, ilmu dan amalnya hanya jadi usaha untuk menunjuk, malah boleh jadi jalan kemaksiatan. Baca Quran benar makhraj dan tajwidnya, merdu suaranya itu, seperti ketika dia menyanyikan lagu bukan bacaan Qurannya. Dia memang mengaji, memang benar tindakannya, tetapi belum tentu diterima. Atau ketika mengumandangkan azan, tapi ke mana hatinya? Tertipu, maka kepada para bilal haruslah ikhlas, seorang bilal akan mengetahui dirinya ikhlas ketika ada orang lain azan di tempat azan kita. Jika kita merasa azan orang tersebut tidak sebagus kita dan kita mempunyai kecenderungan untuk menghalang orang tersebut dari terus melaungkan azan lagi, maka hati-hatilah.
Kelompok ketiga adalah orang yang berilmu, dia amalkan ilmunya, dan dia berjuang untuk menjaga hatinya supaya ikhlas, dan berjuang supaya tidak riak. Tapi dia tidak dapat melepaskan diri dari satu penyakit, iaitu ujub; merasa diri lebih suci. Jika dia sudah merasai solatnya betul secara syariat dan tahajjudnya bagus, kemudian dia berusaha sekhusyuk-khusyuknya, tapi ada satu yang tersisa, iaitu dia merasa dirinya lebih baik dari orang lain. Akhirnya dia merasa suci, merasa mulia, dan ketika melihat orang lain yang kurang kualiti ibadah mereka, dia mengatakan, "Kasihan sungguh mereka ini, betapa sukarnya untuk memiliki ilmu, masya Allah. Orang itu lebih banyak berada dalam kebodohan. Mereka beramal, tapi sayang sekali belum dapat ditingkatkan kualiti ibadahnya, mungkin mereka belum khusyuk"
Dalam masa yang sama, dia sudah merasa paling khusyuk, paling bersih, dan paling merasa mulia berbanding dengan orang lain. Bila melihat orang bertahajjud,dia berkata "Ah! Rasanya saya perlu memperbaiki cara dia bertahajjud”. Seolah-olah dia sudah betul dengan tahajjudnya. Lihat orang yang tidur, dia menggeleng kepala, "Masyaallah memang tidak mudah mendapat kurniaan Allah melalui tahajud. Ampunilah mereka Ya Allah". Lagaknya seperti dia tidak meremehkan orang lain, padahal dia sudah merasa bersih dan merasa suci. Bahkan ketika ada yang menyakiti, "Lihat saja nanti, siapapun yang menyakiti, Allah pasti akan membalasnya". Dia merasa menjadi orang yang bakal dilindungi Allah selamanya. Kalau berjalan dia lihat awan mengikutinya seakan melindungi dari sengatan panasnya sinar matahari, "Ya Allah Engkau selalu melindungiku dengan naungan awan". Padahal awan sedang digerakkan Allah untuk menurunkan hujan. Ertinya Dia SS (Syok Sendiri) dengan peristiwa yang terjadi disekitarnya kerana dirinya sudah merasa mulia. Apalagi bila ada yang menyakiti dan yang menyakiti itu terkena musibah, "Tu dia! Bukankah sudah saya peringatkan dari dulu lagi. Hati-hati terhadap orang yang disakiti dan tidak mahu membalas, kerana Allah akan membalasnya".
Oleh itu, janganlah merasa suci ataupun merasa soleh, harusnya kita usahakan untuk beribadah sebanyak mungkin dan bersihkan hati kita sebersih-bersihnya dari amal yang diwarnai oleh syaitan, insya Allah….
JAGALAH HATI....
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan