Popular Posts

Isnin, 14 Februari 2011

BENARKAH TAUBATKU...?


Saudara seakidahku sekalian, jika jauh di dalam hati kita sudah ada keinginan untuk mencari Allah, ingin tenang, ingin mengetahui agama dengan lebih baik, atau gelisah mencari hakikat kebahagiaan, maka ketahuilah bahawa Allah masih berkenan memanggil kita untuk bertaubat.
Taubat sesungguhnya merupakan panggilan Allah. Manusia sama sekali tidak berupaya membuat dirinya sendiri ingin bertaubat. Allah jualah yang menumbuhkan keinginan bertaubat di dalam hati kita.
Sebagaimana firman-Nya, “Kemudian Robb memilihnya, maka Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk.” (QS 20:122)
“Barangsiapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya) nescaya dia mengambil jalan kepada Robb nya. Dan kamu tidak akan mampu menempuhi jalan itu kecuali bila dikehendaki Allah.” (QS. 76:29-30)
“…Bagi siapa di antara kamu yang mahu menempuhi jalan yang lurus. Dan kamu tidak dapat berkeinginan (menenempuhi jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Robb semesta alam.” (QS. 81: 28-29)

KEINGINAN TAUBAT
Keinginan bertaubat itu timbul kerana dipilih-Nya. Maka, jika sekarang dalam hati kita mulai tumbuh kegelisahan makna hidup atau keinginan kembali kepada-Nya, mulai timbul keinginan akan ketenteraman bersama-Nya, mulai ingin mencari jalan-jalan yang mendekatkan diri kita kepada-Nya, Itu adalah panggilan-Nya. Maka sambutlah panggilan-Nya itu.

Jika disaat yang lain, mulai tumbuh perilaku kita yang ‘mencari jejak-Nya’, seperti mencari-cari majlis ilmu yang baik, mencari-cari bahan di internet, mulai mencari-cari buku tentang Allah dan agama, maka bersyukurlah. Ini bererti bahawa Dia masih mengingati kita. Dia masih memanggil kita untuk mendekat, untuk pulang kepada-Nya. Dia masih menghendaki kita kembali kepada-Nya. Allah sendirilah yang menumbuhkan keinginan ini dalam hati kita.
Oleh itu, janganlah kita sia-siakan kesempatan ini. Jangan abaikan panggilan-Nya. Jangan sampai Dia merasa panggilan-Nya kita abaikan. Kerana sepertimana kita pun, jika orang yang kita harapkan terus mengabaikan kita, lama-kelamaan kita juga akan melupakan orang itu. Ingatlah bahawa tidak setiap orang akan dipanggil-Nya. Tidak setiap orang terpilih untuk ditaubatkan-Nya. Sangat sedikit orang yang ditumbuhkan keinginan untuk mulai mencari Allah di dalam hatinya.
Perhatikanlah sekeliling kita dan ambillah pelajaran daripada segala yang berlaku di persekitaran kita. Lihatlah betapa ramai orang yang mencari majlis ilmu dengan niat mencari kawan, membina pengaruh, mencari pengakuan agar orang lain melihatnya sebagai ‘orang berilmu’, mencari ketenteraman sesaat, meniti kerjaya dalam parti politik, mencari hafalan dan pengetahuan ayat, mencari bahan untuk berdialog, dan sebagainya. Sangat sedikit, sekali lagi sangat sedikit, orang yang benar-benar mencari pemahaman akan hakikat hidup mahupun tentang kesejatian (Al-Haqq).
Jika kita tidak mahu bertaubat, tidak mengendahkan panggilan-Nya itu, maka kita termasuk orang yang zalim. Definisi ‘zalim’, menurut Al-Quran, adalah tidak mahu bertaubat sebagaimana firman-Nya, “Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS. 49:11)
Jika panggilan-Nya kita abaikan, maka kita akan hanya semakin disibukkan tentang dunia ini sahaja, dan hati kita akan menjadi semakin buta. Oleh itu, akan semakin susahlah kita untuk memperolehi petunjuk-Nya, ketika hati kita menjadi buta.
“Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.” (QS 20:124)
“Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati (quluubun) yang ada di dalam dada.” (QS 22:46)

APAKAH ‘TAUBAT’?
Apakah ‘taubat’ itu? Taubat bukanlah sekadar istighfar yang hanya semata-mata mengucapkan ‘astaghfirullah’, walaupun seribu kali, bukanlah taubat. Sebagaimana Quran menyatakannya dengan jelas, “Kerana itu beristighfarlah kepada-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya” (QS. 11:61).
Maka, dari ayat di atas, jelaslah bahawa Istighfar dan taubat adalah dua hal yang berbeza.
Kata ‘taubat’ berasal dari kata ‘taaba’, ertinya ‘kembali’. Taubat adalah sebuah ‘keinginan’ serta rasa perlu yang bersangatan pada Allah, mahupun segala yang dapat membuat kita lebih mengenal-Nya.
Oleh itu, landasan taubat adalah mencari Allah, mencari diri serta mencari hakikat kehidupan ini. Ramai orang boleh saja mengucap istighfar beribu-ribu kali sehari, tetapi sama sekali ia bukanlah bertaubat.
Orang juga boleh berzikir ribuan kali, dengan niat supaya cerdik serta cerdas, supaya dapat menjadi insan keramat, supaya dapat menjadi pengamal perubatan alternatif, supaya perniagaan semakin menguntungkan, supaya lulus peperiksaan dan bermacam-macam lagi. Ada yang rajin solat malam, supaya berwajah cerah dan bercahaya. Rajin berpuasa supaya sihat dan tidak gemuk.  
Adakah kita begitu…? Lalu, di manakah tempat Allah? Mungkin Allah kita tempatkan nombor dua atau tiga…
Oleh itu, pertama sekali, kita murnikan niat kita dahulu. Kita niatkan semuanya hanya untuk kembali kepada-Nya (taubat), supaya semakin diberi-Nya petunjuk bagaimana taubat yang benar itu. Supaya diajarkan-Nya hakikat kehidupan ini.
Junjungan kita Rasulullah Muhammad saw mengucapkan doa berikut ini, yang dibaca setiap kali Baginda saw selesai berwudhuk “Allahummaj’alni minat-tawwabiin, waj ‘alni minal muthahhiriin.” ( Ya Allah, jadikanlah hamba termasuk ke dalam ‘At-Tawwabiin’ (mereka yang bertaubat), dan jadikan hamba termasuk ke dalam ‘Al-Muthahhiriin’ (mereka yang disucikan))
Bahkan Rasulullah saw pun masih memohon kepada Allah untuk dimasukkan ke dalam golongan orang yang bertaubat. Bukankah Rasulullah saw telah suci, bebas dosa, dan telah dijamin syurga oleh Allah Ta’ala?

MAKNA ‘ZALIM’
Jika kita tidak kembali kepada Allah (taubat), maka termasuklah kita ke dalam golongan orang-orang yang zalim. Definisi ‘zalim’, menurut Al-Quran, adalah tidak mahu bertaubat.
“Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS. 49:11)
Padahal, Allah tidak akan pernah memberikan petunjuk-Nya kepada orang-orang yang zalim. Ketegasan-Nya ini diulang berkali-kali dalam Al-Quran sebagai peringatan supaya kita benar-benar memperhatikan hal ini.
“Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”(QS 2:258)”
“Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (QS 5:151)
Demikian pula kalimat yang sama dapat kita temui pada Q.S. 6:144, 9:19, 9:109, dan 28:50.
Maka jika kita tidak bertaubat, tidak berusaha kembali kepada-Nya, maka kita akan semakin sesat. Bahkan hal ini ditegaskan-Nya bahawa Dia akan menyesatkan mereka yang zalim.
“Dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim” (QS14:27).
Jika kita tidak bertaubat, kembali pada Allah, maka sudah tentu akan semakin jauh kita dari petunjuk-Nya. Hidup kita pun dengan sendirinya akan dilempar-lempar dari satu masalah ke masalah yang lain, jauh dari petunjuk-Nya.

MENGENAL KE ‘MAHA PENGAMPUN’ AN ALLAH
Kita mengetahui bahawa Allah Maha Pengampun. Tapi, Maha Pengampun terhadap siapa?
“Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar.” (QS. 20:82).
Allah Maha Pengampun pada yang bertaubat (saja). Jika kita bertaubat, kembali kepada-Nya, maka barulah asma ‘Maha Pengampun’ ada kesannya terhadap kita. Contohnya, jika kita dikenali sebagai orang yang pemaaf, tentu sifat pemaaf kita itu tidak akan memberi sebarang kesan terhadap orang yang tidak kita kenali. Sifat pemaaf kita hanya bernilai kepada orang tertentu saja, tidak dengan sendirinya pada semua orang.
Demikian jugalah Allah. Dia Maha Pengampun (hanya) kepada mereka yang bertaubat. Kepada yang tidak bertaubat, walaupun Dia dikenali dengan Maha Pengampun, tentunya tidak ada hubungan. Ke-Maha Pengampunan-Nya tidak ada implikasinya sama sekali kepada mereka yang tidak bertaubat, kepada mereka yang tidak berusaha kembali kepada-Nya.
Jika kita hanya istighfar saja, maka belum tentu Allah Maha Pengampun kepada kita. Tapi jika kita bertaubat, kemudian memperbaiki diri, maka Allah Maha Pengampun kepada kita. Taubat harus diikuti dengan memperbaiki diri, supaya taubat kita diterima oleh-Nya.
Demikianlah yang kita lihat pada ayat-ayat berikut ini:
“Maka barangsiapa bertaubat sesudah melakukan kejahatan dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. 5:39)
“Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS 24:5)
“Barangsiapa yang berbuat kejahatan diantara kamu kerana kejahilan, kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya dan mengadakan perbaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS 6:54)
 Wallahu`alam.
Jagalah hati…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan