Popular Posts

Ahad, 27 Februari 2011

DAKWAH DENGAN CINTA...


Seorang hamba Allah selalu terkenang dialognya ketika bertemu dengan seorang anak gadis yang telah 10 tahun membesar di England. Semenjak usianya 10 tahun dan kini telah mencecah 20 tahun, beliau dibesarkan di Boarding School, jauh dari alam Melayu malah Islam barangkali. Dialog tersebut bermula dengan soalan yang sangat tidak dijangka. Dia mengajukan soalan kepada si hamba Allah, “do you believe in wearing scarf for Muslim girl? I don’t believe in wearing scarf. If God doesn’t want us to show our hair, then He will create us bald. I don’t want to wear scarf.”


Soalannya amat provokatif. Dia juga bertanya soal kenapa mesti solat, kenapa tidak boleh bela anjing di rumah dan beberapa soalan lain, yang asalnya tidak terjangkau oleh fikiran ia akan ditanya oleh seorang Muslim.


Seandainya si hamba Allah mengambil pendekatan ‘seorang ustaz’, mungkin dia akan leterkan si gadis tersebut dengan ayat-ayat al-Quran dan Hadis berkaitan kewajipan bertudung dengan panjang lebar dan penuh nota kaki. Akhirnya si hamba Allah sahaja yang syok sendiri terhadap betapa banyakkan dalil yang berjaya di hafal dan bentangkan dengan fasih! Gadis tersebut mungkin menguap dan menutup telinganya sambil menanti si hamba Allah mengangkat punggung dan beredar.


Si hamba Allah tidak memiliki pengalaman untuk mengendalikan keadaan seperti itu. Bekalan yang ada hanya sebuah sikap yang diyakini penting. Tekan butang pause, bertenang, dan cuba untuk melihat apa yang tidak diperlihatkan. Persoalan sebenar berbanding persoalan yang ditanya. Apakah benar, tudung, solat dan bela anjing itu masalah sebenarnya, atau ada masalah lain yang lebih kritikal di sebalik semua itu.


“Saya tidak rasa itu patut jadi persoalan awal kita. Mungkin elok kita bincang persoalan yang lebih perlu diselesaikan. Sesuatu yang lebih pokok,” si hamba Allah memberanikan diri mencadang.


“Oh begitu. Baik, apa persoalan utama saudara?” tanya gadis tadi.


“Apa tujuan hidup saudari? Apa yang saudari nak capai dalam hidup ini?” si hamba Allah menyoal.


“Penting sangatkah nak tahu tentang tujuan hidup?”, tanyanya lagi.


“Cuba saudari bayangkan, kita adakan permainan bola sepak, tetapi di padang bola tiada tiang gol! Atau saudari main golf tetapi tidak tahu di mana lubangnya. Apa rasanya kalau saudari terlibat dalam permainan seperti itu?” si hamba Allah menguji.


“Silly game.. mengarut!” ujarnya sambil tersengih.


“Well, kita mungkin ketawakan mereka yang main bola atau golf begitu, tetapi sebenarnya kita sedang ketawakan ramai manusia yang hidupnya tiada tiang gol dan tiada lubang golf. Betul tak?” si hamba Allah menyoalnya.


Dia menggangguk.


“Kalau kita tak tahu tujuan hidup kita yang sebenar, bagaimana kita nak fokus dan membuat keutamaan? Saya yakin saudari boleh setuju bahawa kegagalan untuk fokus dan menyusun keutamaan, adalah cara mudah untuk gagal dalam hidup. Saudari setuju?” si hamba Allah meneruskan perbualan.


“Ya, saya boleh bersetuju.” jawabnya.


“Jadi, apa tujuan hidup saudari?” si hamba Allah menyoal.


“Saya nak berjaya dalam kerjaya, ada firma sendiri dan dengan pendapatan jutaan ringgit setahun!” katanya dengan yakin.


“Saudari belum dapat berjuta ringgit setahun. Ada orang dapat berjuta ringgit sehari, tak bahagia pun. Tu si Donald Trumph, kaya raya. Tetapi dia tidak bahagia, ‘diceraikan’ oleh isterinya. Saya tidak rasa berjuta ringgit itu tujuan hidup saudari atau sesiapa” si hamba Allah mengulas sedikit. Cuba melontar provokasi.


“Hmm…,” dia mengeluh. Sepi tanpa jawapan…


“Habis, apa tujuan hidup saudara?” gadis itu bertanya kepada si hamba Allah.


“Hmm, saudari rasa, saya ada ke jawapannya? Saudari ada jawapannya? Saya rasa kita sama-sama tak ada jawapan, sebab TUJUAN HIDUP kita telah ada sebelum kita lahir. Jika kita tanya lampu ni kenapa dia diciptakan, andai dia boleh menjawab, mungkin dia tidak tahu kenapa dia berada di sini. Logiknya kita kena tanya kilang yang membuat lampu itu tadi. Dan kalau kita tanya ke kilang, mereka akan memberikan koleksi soalan dan jawapan di dalam sebuah KITAB bernama Instruction Manual. Begitulah juga dengan manusia. Jika mahu kepada jawapan, kenalah tanya kepada Penciptanya yang menciptakan manusia iaitu Allah. Dan Allah telah memberikan kepada kita koleksi soalan dan jawapan di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama…” cakap si hamba Allah terputus.


“Al-Quran! What does the Quran say about our PURPOSE OF LIFE?“, gadis tersebut memintas si hamba Allah dengan soalannya.


“DAN tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka beribadah dan mengabdikan diri kepadaKu. Surah al-Dzariyat ayat 56″ si hamba Allah menjawab.


Lantas si hamba Allah mengambil peluang untuk menjelaskan secara ringkas kepada si gadis tentang konsep ibadah dalam Islam. Bahawa selain solat dan ibadah khusus yang lain, apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan jika memenuhi kriteria Islam, maka ia jadi ibadah. Dan akhirnya si hamba Allah membuat kesimpulan berikut:


“Seandainya saudari boleh menerima hakikat yang saudari perlukan Ilahi dalam hidup ini, maka barulah saya boleh menjawab soalan kenapa kita kena sembahyang. Kita perlu sembahyang kerana kita perlukan Allah dalam hidup ini. Jika saudari boleh bersetuju dengan kewajipan sembahyang, maka barulah saya boleh terangkan kenapa saudari kena pakai tudung. Analoginya jika kita mengadap Yang Di Pertuan Agung pun ada kod berpakaian, dan itu haknya kerana dia ketua pemerintah negara. Maka apatah lagi untuk menghadap Allah di dalam sembahyang dan di luar sembahyang, tentunya kita kena bertudung kerana itu kehendak Dia. Dan jika saudari setuju sampai ke situ, saya boleh jelaskan kenapa Islam tidak benarkan kita bela anjing. Islam cuma mengajar, andai dijilat anjing, samaklah dengan air dan tanah. Tetapi Islam tidak pernah mengajar kita supaya membenci anjing dan memukulnya. Itu semua soal adat. Jangan salahkan Islam atas apa yang orang Melayu buat!” si hamba Allah mengakhiri penerangan terhadap semua persoalan yang tertangguh.


Alhamdulillah dalam tempoh sejam pertemuan tersebut, itulah hasil perbincangan kami.


Walaupun kesannya tidak dapat dipastikan, tetapi sekurang-kurangnya si hamba Allah sudah mencuba untuk menghadapi mad’u dengan konsep Jiwa Pendakwah Otak Faqih dan tidak sebaliknya.


Gadis itu ada latar belakang keluarga yang berbeza. Dia bukan seperti kita dan kehidupannya juga berbeza dari kita. Kerana itulah si hamba Allah mesti terlebih dahulu cuba belajar untuk memahami keadaan si gadis sebelum memutuskan apakah pendekatan dakwah yang patut diambil. Andai si hamba Allah hamburkan kemarahan atas provokasi gadis tadi, tentulah perbualan tersebut akan terhenti di situ dan si hamba Allah sekadar menggelengkan kepala sambil tersenyum secara sinis, “inilah perangai bebudak sekarang!”


Dan saya hanyalah seorang Hamba Allah….

Jagalah Hati…

Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan