Popular Posts

Sabtu, 19 Februari 2011

INIKAH KEADILAN VERSI ALLAH...?


Ada sebuah pertanyaan yang baik ditanyakan oleh seorang rakan semalam.  Soalannya cukup ringkas dan sederhana, tetapi cukup sukar untuk dijawab, melainkan dengan izin Allah. Kurang lebih begini permasalahannya…


"Anggaplah ada seorang manusia yang hidup sebagai orang kafir selama enam puluh tahun di dunia. Lalu ia pulang ke akhirat dan dihukum ribuan tahun di neraka atau barangkali selamanya. Setiap harinya di neraka diwarnai dengan siksaan pedih yang tidak dapat dibayangkan. Inikah keadilan versi Allah? Maksiat enam puluh tahun dibalas dengan siksaan sedemikian rupa untuk jangka waktu yang sangat panjang. Lalu di mana bukti ke-Maha Adil-an Allah?"


Ada beberapa jawapan yang Allah swt ilhamkan untuk saya kongsikan bersama. Ia mungkin bukanlah jawapan yang terbaik, tetapi hanya itulah upaya saya…



YANG MEMBERI SEGALANYA LAYAK MENERIMA SEGALANYA

Perlu disedari sebuah hakikat bahawa betapa besarnya kesalahan seorang manusia yang kufur kepada Allah. Tidak menghargai pemberian orang lain itu kurang adab, tetapi mereka yang tidak menghargai pemberian Allah bolehlah dianggap kurang ajar. Sebagai contoh, saya memberikan saudara sebatang pen, maka pemberian saya hanyalah sekadar sebatang pen sahaja. Tetapi Allah memberi bukan saja pen, tetapi disertakan bersama dengan memberi akal yang mampu memahami cara menggunakan pen, memberi wang untuk membeli pen, memberi tangan untuk menggunakan pen, memberi mata untuk melihat hasil penggunaan pen (iaitu tulisan), memberikan kepuasan hati pada mereka yang membaca tulisannya, dan sebagainya. Segala yang ada dalam diri kita adalah pemberian Allah yang hakikatnya adalah anugerah, bukan perniagaan timbal balas.


Saya memberikan pen barangkali kerana saudara sudah memberi sejumlah wang kepada saya, atau memberikan barang lain sebagai pertukaran untuk pen tersebut. Mungkin juga, saudara pernah menolong saya di masa lampau sehingga saya merasa perlu membayar hutang budi dengan memberikan pen ketika saudara memerlukannya. Tetapi kenapa kita berniaga dengan Allah Yang Maha Tidak Memerlukan? Kitalah yang perlu sepenuhnya kepada Allah, bukan sebaliknya.


Oleh kerana segala yang kita miliki ini adalah pemberian mutlak dari Allah, saya rasa amat layak jika Dia memperolehi segalanya dari kita. Bukan bererti Dia memerlukan ketaatan dari kita, tetapi hanya  inilah sikap yang layak untuk diberikan kepada Dia Yang Maha Memberi. Maka, dosa kufur adalah dosa yang amat berat dan memang layak dihukum dengan teramat berat.



PERSETUJUAN AWAL

Mencuri pakaian di pasaraya hanya kes yang sangat kecil, tetapi mengapa dibalas dengan hukuman penjara yang lama? Alasannya adalah kerana ada sebuah persetujuan awal di antara para penggubal undang-undang dan masyarakat untuk memberikan hukuman seperti itu untuk tindakan tidak bermoral, walau hanya kes kecurian kecil. Sedikit berbeza dengan hukum Allah, kerana Allah tidak bersekutu, bersepakat atau berkompromi dengan siapa pun ketika menyusun hukum-hukum-Nya. Dan memang Allah tidak perlu bertolak ansur, apatah lagi telah di lantik para Rasul-Nya sebagai pemberi peringatan yang jelas.


Kita seharusnya bersyukur Allah masih sudi memberikan serangkaian peringatan sebelumnya. Kalau tiba-tiba Allah menjatuhkan hukuman tanpa diberi peringatan terlebih dahulu, siapa yang layak menyoal-Nya? Siapa yang merasa berhak untuk memprotes? Kerana Allah Maha Penyayang, maka Dia memberikan peringatan melalui Al Quran tentang siksaan-siksaan yang akan diterima jika kita kufur. Apa salahnya?



SEMUA PERINGATAN AWAL TELAH DIBERIKAN DENGAN JELAS

Yang benar itu sudah jelas benar dan yang salah sudah jelas salah, kecuali di mata mereka yang dikuasai oleh hawa nafsunya sendiri. Perincian sudah jelas di dalam Al-Quran dan Hadis. Akal juga sudah diberikan dengan potensi yang sangat luar biasa untuk membuat penilaian segala tindakan. Pancaindera juga sudah diberikan dengan sempurna. Lalu mahu apa lagi? Kalau sudah melihat lampu lalu lintas menyalakan warna merah, namun tetap melanggarnya, apakah wajar membela diri dengan segala alasan? Jika semua tanda dan peringatan sudah ditunjukkan dengan jelas, tentu tidak ada alasan lagi bagi para pelanggar peraturan.



KEBAIKAN JAUH LEBIH MUDAH

Sebenarnya berbuat baik itu lebih mudah. Jika sudah dipasang niat tulus, lalu berusaha dengan penuh komited, namun akhirnya gagal, tetap juga diberikan pahala. Sebaliknya, kalau terlanjur membuat dosa, menghapusnya juga tidaklah sukar. Kalau bersalah kepada sesama insan, kita cuma berusaha untuk memohon kemaafannya saja. Malahan dosa kepada Allah lebih ringan usaha untuk memohon pengampunan kerana Allah Maha Penyayang. Yang penting, bertaubat dengan sebenar-benarnya,insya Allah semua masalah dapat diselesaikan. Tambahan pula, kebaikan itu sesuai dengan fitrah manusia. Manusia yang membuat dosa sebenarnya sedang melawan fitrah dirinya terlebih dahulu.


Bukankah kebaikan itu mudah? Malahan, kasih sayang Allah membuat timbangan amal kita lebih berat daripada dosa-dosa kita. Jika memang masih lebih berat dosanya, apa lagi jika kufur terhadap Allah, maka wajar bagi Allah menimpakan siksaan yang amat berat padanya.



LOGIK MATEMATIK

Akhirnya, kalau mahu dihitung secara matematik, maka buatlah kiraan dengan jujur. Kesalahan paling dasar yang dilakukan oleh rakan tadi adalah ia hanya menghitung kejahatannya secara peribadi saja, tanpa memperhitungkan kerugian dari orang-orang yang menerima akibat dari perbuatannya. Seorang pencuri tidak dihukum kerana perbuatan mencuri saja, melainkan juga kerana ada yang telah dizalimi olehnya, dan tahap hukuman dia atas pencabulan undang-undang juga berbeza-beza, bergantung kepada jenis barang yang dicuri. Jika tidak demikian, maka pencuri pasti kereta BMW sama saja hukumannya dengan pencuri pakaian di pasaraya.


Sekarang kita kembali pada isu asalnya… Hidup enam puluh tahun dalam kekafiran, mungkinkah ia tidak membawa pengaruh pada kehidupan orang lain? Bahkan kekufuran yang paling pasif sekalipun akan menumbuhsuburkan kekufuran di sekitarnya. Orang yang mendiamkan kejahatan hampir sama saja buruknya dengan para pelaku kejahatan itu sendiri. Lebih parah lagi jika ia turut aktif dalam menyebarkan pegangan, mahupun fahaman kekufurannya. 


Sekarang anggaplah seumur hidupnya ia telah mempengaruhi hidup 50 orang untuk hidup dalam kekufuran. Jangka hayat 50 orang itu pula secara purata hingga berusia 50 tahun. Lalu 50 orang itu masing-masing mempengaruhi 50 orang lainnya untuk hidup dalam kekufuran pula. Jika perhitungan ini diteruskan, berapa besarkah dosa si kufur yang pertama? Sekali lagi dinyatakan, jika hendak mengambil kira secara logik matematik, bukankah balasan Allah itu adil dan teliti! Keengganan kita untuk bersikap adil menjauhkan kita dari pemahaman terhadap hukum Allah Yang Maha Adil.


Allah memang Maha Teliti, sedangkan manusia adalah tempatnya lupa...wallahu`alam.


Moga bermanfaat untuk perkongsian bersama saudara seakidah.



Wassalam.



Jagalah Hati…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan