Popular Posts

Selasa, 1 Februari 2011

WASIAT ADAB BELAJAR BUAT PUTERA-PUTERIKU...


Wahai anakku! Jika engkau mahukan kebaikan bagi dirimu, maka janganlah mempelajari pelajaranmu sendirian, tetapi ajaklah seorang temanmu belajar bersama dan membantumu untuk memahaminya.

Apabila engkau temui sesuatu masalah dan engkau merasakan bahawa engkau telah memahaminya, maka janganlah engkau merasa cukup dengan sangkaanmu itu, hingga engkau tinggalkan buku dari tanganmu dan menganggap dirimu lebih pandai dari kawanmu, dan berlagak seakan-akan engkau memberikan pelajaran kepada para pelajar.

Wahai anakku! Bersikaplah sopan dengan temanmu yang engkau pilih untuk belajar. Apabila engkau telah mengerti sebelum dia, maka janganlah membanggakan diri terhadapnya kerana dapat mendahuluinya. Apabila dia berbeza pendapat denganmu dalam memahami sesuatu masalah, maka dengarkanlah apa yang dikatakannya. Barangkali dia telah memahaminya dengan benar dan engkaulah yang salah dalam pemahaman.

Hindarilah perdebatan dengan cara yang batil dan jangan membela pendapatmu bilamana engkau keliru. Kerana ilmu itu amanah, dan sesiapa yang membela kebatilan, maka dia telah menyia-nyiakan amanah Allah swt.

Wahai anakku ! Perbanyaklah menghafal ilmu, kerana mudarat pada ilmu adalah sifat lupa.

Ketahuilah bahawa di penghujung tahun, engkau akan diuji tentang semua pengetahuanmu. Dan ketika ujian, manusia akan dimuliakan bila dia mampu menjawab dengan baik.

Sebaliknya, dia akan diremehkan pendapatnya oleh keluarga dan saudara-saudara, bila tidak berupaya menjawab dengan baik dan kelihatan hasil yang diperolehinya kurang memuaskan.

Wahai anakku! Jangan sampai hafalanmu itu hanya sekadar menghafal kata-kata tanpa memahami maknanya. Akan tetapi, pusatkan perhatianmu pada pemahaman makna-makna dan penetapannya dalam fikiranmu. Kerana ilmu adalah apa yang engkau fahami bukan apa yang engkau hafalkan.

Wahai anakku ! Jarang sekali seorang pelajar berkumpul dengan sekelompok temannya, melainkan dialog di antara mereka berlangsung sekitar perdebatan dan perbincangan mengenai masalah-masalah yang mereka ketahui.

Maka, janganlah engkau memotong perkataan orang yang sedang berbicara, dan jangan tergesa-gesa menjawab sebelum meyakininya serta jangan membantah tentang suatu masalah yang belum pernah engkau ketahui.

Jangan berdebat tanpa alasan yang benar dan jangan menunjukkan kesombongan terhadap orang yang menjadi regu debatmu itu.

Jangan keluar dari topik perdebatan hingga menyalahkan pendapat lawanmu dan jangan menyakitinya dengan perkataan yang menyakitkan serta jangan mengejeknya bila dia salah dalam pengertian.

Wahai anakku ! Dialog antara para pelajar tentang masalah-masalah ilmiah adalah besar faedahnya. Dialog itu menguatkan pemahaman, melancarkan lisan dan membantu pengungkapan sasaran-sasaran yang dimaksud serta menghasilkan keberanian para pelajar.

Akan tetapi, wahai anakku, hal ini tidak berguna di sisi Allah mahupun manusia, kecuali bila akhlakmu lurus, jauh dari perkataan keji. Engkau katakan kebenaran walaupun terhadap dirimu dan tidak terpengaruh oleh celaan orang dalam menyatakan kebenaran.

 Jagalah hati wahai anakku...

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan