Popular Posts

Sabtu, 26 Februari 2011

DAKWAH ADALAH CINTA...


Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?


Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”


Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.


Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.


Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Pendakwah Akal Faqih.


Bagi kita yang berperanan sebagai Pendakwah, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi saw untuk para Pendakwah.


Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda saw menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi,  “Seek First  to Understand, Then to be Understood“.


Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.


Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Pendakwah tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.


Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar, iaitu masalah sikap dan akhlak.


Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadis kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadis.


Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…”


Seorang Pendakwah yang berjiwa Pendakwah akan belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dia bawa.


Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?



Jagalah Hati....

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan