Wahai para ibubapa yang diamanahkan anak-anak…
“Untuk apa kita mempunyai anak? “
“Bersusah payah kita membesarkan anak, menyekolahkan mereka dan memberi pendidikan setingginya tapi untuk apa semua itu, kalau jiwa mereka kosong, hati mereka gersang dengan sentuhan iman? Ilmu dunia sahaja tidak mencukupi jika tidak dibekalkan dengan ilmu mengenal Robb. Ilmu mengenal Allah juga tidak mencukupi jika mereka tidak sentiasa diperingatkan mengenai tanggungjawab mereka di dunia ini. Jika kita menyangka bahawa anak yang dianugerahkan kepada kita sekadar untuk menjadi pelengkap atau penyeri kepada rumahtangga kita, maka di situlah letaknya kesilapan kita. Kita sebenarnya cuma mempersiapkan mereka untuk menjadi bahan bakar di dalam neraka kelak.”
Saya mengusap dada. Tersentak dengan kalimat terakhir tersebut. Tidak tahu untuk menggambarkan perasaan saya. Adakah amanah yang Allah berikan kepada saya untuk memelihara dan mendidik anak seramai 3 orang itu telah saya laksanakan sebaik-baiknya.
Jika tidak sia-sia sahaja pekerjaan saya selama ini. Jika mereka gagal menjadi insan yang bertakwa kepada Allah, menjerumuskan diri ke dalam maksiat tiada kata lain yang dapat saya ungkapkan melainkan saya telah berjaya mempersiapkan mereka untuk menjadi bahan bakar api neraka sahaja.
Sungguh mengerikan.
“Cuba kita fikirkan… kita mempunyai seorang anak. Kita membesarkannya dengan penuh kasih sayang bagaikan menatang minyak yang penuh. Kita hantar dia ke sekolah yang terbaik di negara ini. Dia lulus cemerlang di sekolah lalu melanjutkan pelajaran ke universiti kemudiannya berjaya meraih ijazah. Dia belajar lagi sehingga memperolehi Master dan Ph.D. Dia berjaya dalam kerjayanya setelah mendapat pekerjaan yang baik dan berprestij. Setelah dia mendapat semua itu, dia mati tidak lama selepas itu.
Tanyakanlah soalan ini pada diri kita, “Di mana “nilai hidup’ anak ini?”
Seorang anak yang kita curahkan kasih sayang, yang kita belai, yang kita didik dengan pendidikan dunia tetapi kosong jiwa dan gersang iman mereka. Apa jadi dengannya setelah kematiannya?
Berapa ramai anak-anak muda yang hidup seperti ini? Berapa ramai bijak pandai, ilmuan dan teknokrat yang kelihatannya hebat tetapi hidup mereka tersasar dari mentaati Allah. Hidup mereka bertunjangkan hawa nafsu. Hidup mereka bermewah-mewahan dengan dunia. Mereka sedar tentang adanya Hari Akhirat tetapi malangnya, mereka tidak sanggup untuk meninggalkan ‘life style’ yang telah sedia sebati dengan mereka.
Kita bimbang jika fenomena ini berterusan akan menyebabkan wujudnya kepincangan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Generasi muda rosak bermakna ini adalah suatu simptom bahawa generasi tua yang ada sekarang juga rosak. Generasi muda sekarang rosak bererti generasi tua yang akan datang juga akan rosak dan begitulah seterusnya.
Kalimah menyediakan anak untuk menjadi bahan bakar api neraka tidak lain ditujukan kepada saya serta mereka yang gagal dalam mendidik anak-anak hidup berteraskan iman. Inilah kata-kata ulama terkenal dari India Ali An-Nadwi bila membicarakan mengenai pendidikan anak-anak.
Saya terfikir, cukupkah usaha saya selama ini? Berbaloikah wang ringgit yang telah ditaburkan untuk mempastikan mereka mendapat pendidikan agama yang sepatutnya.
Pesanan guruku, ” Jangan biarkan anak-anak kalian menjadi bahan bakar api neraka”
Pesanan yang akan saya ingat sampai bila-bila. Mampukah aku ?????
Moga kita sama-sama meluangkan sedikit masa untuk sama-sama melihat ke dalam diri kita masing-masing. Wallahu`alam.
JAGALAH HATI
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan