Popular Posts

Isnin, 28 Februari 2011

DAKWAH DEMI CINTA...

Prolog…

Dalam satu persidangan di Baitulmaqdis suatu ketika dahulu, seorang ketua gerakan Kristian berpesan kepada pendakwah-pendakwah Kristian dengan katanya, “Peranan kamu bukanlah mengkristiankan orang-orang Islam tetapi mengeluarkan mereka daripada Islam supaya menjadi makhluk yang tidak ada hubungan dengan Allah dan tidak berakhlak.”

Kenyataan yang serupa pernah dibuat oleh seorang pemimpin Kristian di Timur yang kemudian diterbitkan oleh sebuah akhbar komunis di Russia. Katanya, “Mustahil komunis boleh berkuasa sebelum Islam dapat diganyang habis-habisan.” Sebagai buktinya lihatlah apa yang telah dilakukan oleh komunis ke atas negara Balkan sekarang ini.

Orang-orang mukmin perlu mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang bagi melayakkan mereka memimpin ( bukan dipimpin! ) dan sekaligus menyelamatkan manusia sejagat daripada terus berada di dalam kesesatan di bawah pimpinan jahiliah yang penuh dengan angkara kezaliman di serata pelosok dunia…


Dakwah demi cinta….

Pendakwah bukan penceramah, bukan pakar motivasi atau ahli pengkaji bidang ilmu, tetapi pendakwah adalah orang yang hidup dengan mengamalkan segala ilmu yang dikutipnya sehari-harian. Dia difahamkan bahawa keldai yang memikul ribuan kitab tidak pernah menambah nilai pada diri si keldai.

Memang seperti itulah sebuah ikhtiar bernama dakwah. Dan cinta akan meminta semuanya dari diri pendakwah, bukan hanya fikiran dan perhatian, tetapi berjalan, duduk, dan tidur juga dipengaruhinya. Bahkan di tengah lena, termasuk mimpi pun tentang dakwah. Tentang umat yang dicintai...

Jalan dakwah menyedut saripati tenaga hingga ke tulang belulang pendakwah. Sampai daging terakhir yang menempel di tubuh renta… Tubuh yang luluh seperti diseret-seret. .. Tubuh yang hancur lebur dipaksa berlari…

Seperti itulah yang terjadi pada rambut Baginda Rasulullah saw. Baginda saw memang akan tua, tetapi rambut Baginda saw beruban kerana beban berat dari ayat yang diturunkan Allah.

Sebagaimana tubuh mulia Umar bin Abdul Aziz. Dia memimpin hanya sebentar. Tapi kaum muslimin sangat bahagia. Dunia dipenuhi kemakmuran yang sangat dahsyat. Malahan tidak ada lagi orang miskin yang boleh diberikan sedekah. Tubuh mulia itu terkoyak-koyak demi sebuah amanah memimpin yang dipertanggungjawabkan.

Sukar untuk membayangkan sekuat apakah Sang Khalifah bekerja hinggakan tubuh yang segar bugar itu menjadi lemah dan kurus. Hanya dalam 2 tahun Allah swt memberi peluang dan ruang padanya, ia sakit parah kemudian meninggal. Namun memang itu yang diharapkannya, mati sebagai jiwa yang tenang…

Dakwah bukannya tidak melelahkan. Bukannya tidak membosankan. Dakwah bukannya tidak menyakitkan. Bahkan juga para pejuang risalah bukannya sepi dari godaan kekufuran.

Tidak… Namun kelelahan serta rasa sakit itu selalu bersama mereka sepanjang hidupnya…setiap hari. Satu kisah perjuangan akan segera mereka sambung lagi dengan amalan yang jauh lebih “tragik”.

Oleh kerana rasa sakit itu selalu mereka rasakan, selalu menemani…rasa sakit itu selalu mengintai ke mana pun mereka pergi… akhirnya menjadi kebiasaan hidup.

Kalau iman dan nafsu rasa lelah selalu bertempur, pada akhirnya salah satunya harus mengalah. Dan rasa lelah itu sendiri yang akhirnya lelah untuk mencekik iman. Lalu terus berkobar dalam dada.

Begitu pula rasa sakit. Hingga luka tidak dirasakan lagi sebagai luka. Hingga “hasrat untuk mengeluh” tidak lagi terlalu menggoda dibandingkan jihad yang begitu cantik. Ia menjadi seperti tonik bagi iman..

Oleh itu ketahuilah bahawa, pendakwah yang suka heboh riang mempamerkan amalnya adalah anak dunia. Mereka cepat takjub pada rasa sakit dan pengorbanan yang dilakukan kerana mereka jarang disakiti di jalan Allah. Maka jarang sekali mereka ini melahirkan karya-karya besar, melainkan yang dicedok dari buah fikiran pendakwah silam lalu ditampal menjadi karya mereka.

Maka, bila pendakwah dunia diberikan sekali rasa sakit, pedih dan siksaan, mereka merasa menjadi orang besar, konon orang yang telah mengorbankan segalanya di jalan dakwah. Padahal mereka sebenarnya telah menjadi bahan jenaka dan sasaran doa para mujahid sejati, “Ya Allah, berilah dia petunjuk… sungguh Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang… “

Seorang pejuang tubuhnya meluluh, tidak sempat membesar. Jasadnya dikoyak oleh beban dakwah. Tapi iman di hatinya memancarkan cinta… Mengajak kita untuk terus berlari…

“Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.

Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.

Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.

Teruslah bertahan, hingga kekufuran itu longlai menyertaimu.

Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.”


Kalau iman dan syaitan terus bertempur. Pada akhirnya salah satu harus mengalah….


Jagalah Hati


Wassalam. 

Ahad, 27 Februari 2011

BERKATALAH BAIK ATAU DIAM...


Pada suatu saat ketika Rasulullah saw sedang bertawaf di Kabah, seorang lelaki bernama Fudholah bin Umair bermaksud hendak membunuh Baginda saw. Ia menyelinap dalam rombongan orang-orang yang bertawaf dan mendekati Baginda saw. Saat ia sudah berada dekat di samping Rasulullah saw dan mempunyai peluang untuk membunuh Baginda saw, tiba-tiba ia terkejut saat Rasulullah saw memandangnya.

Kemudian Rasulullah saw menoleh kepadanya saat ia sedang bertawaf, dan beliau berkata, “Wahai Fudholah, apa yang engkau bicarakan dengan hatimu?”

Fudholah menjawab, “Wahai Rasulullah, saya bertawaf. Saya mengingat Allah.”

Lalu Rasulullah diam dan melanjutkan tawafnya. Fudholah mengikutinya untuk kedua kalinya dan berjalan dengan tawaf di belakang Rasulullah.

Tidak berapa lama, Rasulullah menoleh lagi kepadanya dan berkata, “Apa yang engkau bicarakan dengan hatimu?”

Sesungguhnya Rasulullah saw tidak pernah menyembunyikan senyumannya kepada siapapun, termasuk orang yang berniat untuk membunuh Baginda saw. Seorang lelaki yang penuh dengan kebencian dan ingin membunuh, Rasulullah menoleh kepadanya dan memandangnya dengan tersenyum. Saat pertama kali, memandangnya dengan tersenyum. Saat kedua, memandangnya juga dengan senyuman.

Fudholah menjawab, “Wahai Rasulullah, saya mengingat Allah dan bertawaf.”

Rasulullah tersenyum dan melanjutkan tawafnya. Lalu lelaki itu mengikutinya.

Ketiga kali, Rasulullah menoleh kepadanya dan berkata, “Wahai Fudholah, apa yang engkau bicarakan dengan hatimu?”

Fudholah menjawab, “Wahai Rasulullah, aku mengingat Allah.”

Kemudian Rasulullah menoleh kepadanya.

Apakah kita tahu erti “menoleh kepadanya”?. Disebutkan di dalam sirah Nabi, antara budi pekerti Rasulullah bahawa kalau Baginda saw menoleh, ertinya Baginda saw menoleh dengan seluruh badannya.

Rasulullah menoleh kepadanya dan lalu meletakkan tangan beliau di dada lelaki itu. Dada yang penuh dengan kebencian dan kemarahan. Ia menyembunyikan pisau di badannya.

Ketika Rasulullah saw meletak tangan suci Baginda saw di dadanya, Fudholah berkata, “Demi Allah. Saat ia meletakkan tangannya di dadaku, tidak ada seorang pun di muka bumi ini yang paling aku benci melebihi dirinya. Namun setelah ia mengangkat tangannya dari dadaku, tidak ada seorang pun di muka bumi ini yang paling aku cintai melebihi dirinya.”

Selama hidup ini, kita banyak menemui orang-orang yang mewarisi perwatakan seperti Fudholah. Mereka ada di tengah-tengah masyarakat yang kita hidup ini. Akan tetapi, dada-dada mereka selalu sangat memerlukan orang-orang yang mewarisi perwatakan Rasulullah saw untuk menghilangkan sifat-sifat tercela dari dada-dada mereka yang penuh kemarahan dan kebencian.

Mereka yang mewarisi watak Fudholah menunggu muslim yang mampu mewarisi watak Rasulullah saw.
Berapa ramai yang menyakitiku ketika aku mendengar sebahagian dari kaum muslimin berbicara dan berkata, “Saat ini banyak ditemui para pendakwah yang berkata dengan kelembutan dan kedamaian, berkata dengan budi pekerti dan kasih sayang. Ini fenomena baru telah muncul yang ingin menggantikan jihad.”

Inilah bentuk jihad yang kita perlukan saat ini. Di sini, dalam masyarakat kita. Kerana sesungguhnya kita perlu untuk berjihad kepada hati yang di dalam dada, hingga kita mampu menundukkannya. Sampai kita mampu mendidiknya. Sampai kita boleh meninggikannya ke langit. Supaya kita mampu untuk memberikan pertolongan kepada siapa saja yang hidup di muka bumi ini.

Inilah yang dimaksud kalam Baginda, Rasulullah saw. Rasulullah saw bersabda, “Berkata kalimat yang baik adalah sedekah”

Saat ini dengarkan orang-orang yang berkata, “Berkata kalimat yang baik adalah sia-sia.” Baiklah, kami hormati. Akan tetapi rujukan dan contoh tauladan kita tetap pada Rasulullah saw yang berkata bahawa berkata kalimat yang baik adalah sedekah. Saya tidak mampu meninggalkan perkataan Rasulullah dan mengambil perkataan orang lain.

“Berkata kalimat yang baik adalah sedekah”


Jagalah Hati...

Wassalam.

DAKWAH DENGAN CINTA...


Seorang hamba Allah selalu terkenang dialognya ketika bertemu dengan seorang anak gadis yang telah 10 tahun membesar di England. Semenjak usianya 10 tahun dan kini telah mencecah 20 tahun, beliau dibesarkan di Boarding School, jauh dari alam Melayu malah Islam barangkali. Dialog tersebut bermula dengan soalan yang sangat tidak dijangka. Dia mengajukan soalan kepada si hamba Allah, “do you believe in wearing scarf for Muslim girl? I don’t believe in wearing scarf. If God doesn’t want us to show our hair, then He will create us bald. I don’t want to wear scarf.”


Soalannya amat provokatif. Dia juga bertanya soal kenapa mesti solat, kenapa tidak boleh bela anjing di rumah dan beberapa soalan lain, yang asalnya tidak terjangkau oleh fikiran ia akan ditanya oleh seorang Muslim.


Seandainya si hamba Allah mengambil pendekatan ‘seorang ustaz’, mungkin dia akan leterkan si gadis tersebut dengan ayat-ayat al-Quran dan Hadis berkaitan kewajipan bertudung dengan panjang lebar dan penuh nota kaki. Akhirnya si hamba Allah sahaja yang syok sendiri terhadap betapa banyakkan dalil yang berjaya di hafal dan bentangkan dengan fasih! Gadis tersebut mungkin menguap dan menutup telinganya sambil menanti si hamba Allah mengangkat punggung dan beredar.


Si hamba Allah tidak memiliki pengalaman untuk mengendalikan keadaan seperti itu. Bekalan yang ada hanya sebuah sikap yang diyakini penting. Tekan butang pause, bertenang, dan cuba untuk melihat apa yang tidak diperlihatkan. Persoalan sebenar berbanding persoalan yang ditanya. Apakah benar, tudung, solat dan bela anjing itu masalah sebenarnya, atau ada masalah lain yang lebih kritikal di sebalik semua itu.


“Saya tidak rasa itu patut jadi persoalan awal kita. Mungkin elok kita bincang persoalan yang lebih perlu diselesaikan. Sesuatu yang lebih pokok,” si hamba Allah memberanikan diri mencadang.


“Oh begitu. Baik, apa persoalan utama saudara?” tanya gadis tadi.


“Apa tujuan hidup saudari? Apa yang saudari nak capai dalam hidup ini?” si hamba Allah menyoal.


“Penting sangatkah nak tahu tentang tujuan hidup?”, tanyanya lagi.


“Cuba saudari bayangkan, kita adakan permainan bola sepak, tetapi di padang bola tiada tiang gol! Atau saudari main golf tetapi tidak tahu di mana lubangnya. Apa rasanya kalau saudari terlibat dalam permainan seperti itu?” si hamba Allah menguji.


“Silly game.. mengarut!” ujarnya sambil tersengih.


“Well, kita mungkin ketawakan mereka yang main bola atau golf begitu, tetapi sebenarnya kita sedang ketawakan ramai manusia yang hidupnya tiada tiang gol dan tiada lubang golf. Betul tak?” si hamba Allah menyoalnya.


Dia menggangguk.


“Kalau kita tak tahu tujuan hidup kita yang sebenar, bagaimana kita nak fokus dan membuat keutamaan? Saya yakin saudari boleh setuju bahawa kegagalan untuk fokus dan menyusun keutamaan, adalah cara mudah untuk gagal dalam hidup. Saudari setuju?” si hamba Allah meneruskan perbualan.


“Ya, saya boleh bersetuju.” jawabnya.


“Jadi, apa tujuan hidup saudari?” si hamba Allah menyoal.


“Saya nak berjaya dalam kerjaya, ada firma sendiri dan dengan pendapatan jutaan ringgit setahun!” katanya dengan yakin.


“Saudari belum dapat berjuta ringgit setahun. Ada orang dapat berjuta ringgit sehari, tak bahagia pun. Tu si Donald Trumph, kaya raya. Tetapi dia tidak bahagia, ‘diceraikan’ oleh isterinya. Saya tidak rasa berjuta ringgit itu tujuan hidup saudari atau sesiapa” si hamba Allah mengulas sedikit. Cuba melontar provokasi.


“Hmm…,” dia mengeluh. Sepi tanpa jawapan…


“Habis, apa tujuan hidup saudara?” gadis itu bertanya kepada si hamba Allah.


“Hmm, saudari rasa, saya ada ke jawapannya? Saudari ada jawapannya? Saya rasa kita sama-sama tak ada jawapan, sebab TUJUAN HIDUP kita telah ada sebelum kita lahir. Jika kita tanya lampu ni kenapa dia diciptakan, andai dia boleh menjawab, mungkin dia tidak tahu kenapa dia berada di sini. Logiknya kita kena tanya kilang yang membuat lampu itu tadi. Dan kalau kita tanya ke kilang, mereka akan memberikan koleksi soalan dan jawapan di dalam sebuah KITAB bernama Instruction Manual. Begitulah juga dengan manusia. Jika mahu kepada jawapan, kenalah tanya kepada Penciptanya yang menciptakan manusia iaitu Allah. Dan Allah telah memberikan kepada kita koleksi soalan dan jawapan di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama…” cakap si hamba Allah terputus.


“Al-Quran! What does the Quran say about our PURPOSE OF LIFE?“, gadis tersebut memintas si hamba Allah dengan soalannya.


“DAN tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka beribadah dan mengabdikan diri kepadaKu. Surah al-Dzariyat ayat 56″ si hamba Allah menjawab.


Lantas si hamba Allah mengambil peluang untuk menjelaskan secara ringkas kepada si gadis tentang konsep ibadah dalam Islam. Bahawa selain solat dan ibadah khusus yang lain, apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan jika memenuhi kriteria Islam, maka ia jadi ibadah. Dan akhirnya si hamba Allah membuat kesimpulan berikut:


“Seandainya saudari boleh menerima hakikat yang saudari perlukan Ilahi dalam hidup ini, maka barulah saya boleh menjawab soalan kenapa kita kena sembahyang. Kita perlu sembahyang kerana kita perlukan Allah dalam hidup ini. Jika saudari boleh bersetuju dengan kewajipan sembahyang, maka barulah saya boleh terangkan kenapa saudari kena pakai tudung. Analoginya jika kita mengadap Yang Di Pertuan Agung pun ada kod berpakaian, dan itu haknya kerana dia ketua pemerintah negara. Maka apatah lagi untuk menghadap Allah di dalam sembahyang dan di luar sembahyang, tentunya kita kena bertudung kerana itu kehendak Dia. Dan jika saudari setuju sampai ke situ, saya boleh jelaskan kenapa Islam tidak benarkan kita bela anjing. Islam cuma mengajar, andai dijilat anjing, samaklah dengan air dan tanah. Tetapi Islam tidak pernah mengajar kita supaya membenci anjing dan memukulnya. Itu semua soal adat. Jangan salahkan Islam atas apa yang orang Melayu buat!” si hamba Allah mengakhiri penerangan terhadap semua persoalan yang tertangguh.


Alhamdulillah dalam tempoh sejam pertemuan tersebut, itulah hasil perbincangan kami.


Walaupun kesannya tidak dapat dipastikan, tetapi sekurang-kurangnya si hamba Allah sudah mencuba untuk menghadapi mad’u dengan konsep Jiwa Pendakwah Otak Faqih dan tidak sebaliknya.


Gadis itu ada latar belakang keluarga yang berbeza. Dia bukan seperti kita dan kehidupannya juga berbeza dari kita. Kerana itulah si hamba Allah mesti terlebih dahulu cuba belajar untuk memahami keadaan si gadis sebelum memutuskan apakah pendekatan dakwah yang patut diambil. Andai si hamba Allah hamburkan kemarahan atas provokasi gadis tadi, tentulah perbualan tersebut akan terhenti di situ dan si hamba Allah sekadar menggelengkan kepala sambil tersenyum secara sinis, “inilah perangai bebudak sekarang!”


Dan saya hanyalah seorang Hamba Allah….

Jagalah Hati…

Wassalam

Sabtu, 26 Februari 2011

DAKWAH ADALAH CINTA...


Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?


Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”


Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.


Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.


Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Pendakwah Akal Faqih.


Bagi kita yang berperanan sebagai Pendakwah, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi saw untuk para Pendakwah.


Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda saw menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi,  “Seek First  to Understand, Then to be Understood“.


Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.


Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Pendakwah tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.


Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar, iaitu masalah sikap dan akhlak.


Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadis kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadis.


Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…”


Seorang Pendakwah yang berjiwa Pendakwah akan belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dia bawa.


Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?



Jagalah Hati....

Wassalam.

Jumaat, 25 Februari 2011

JEJAKILAH LANGKAH MEREKA...

Sejarah peninggalan mereka yang bertambah takut dengan ilmu, bertambah celik dengan amalan dan bertambah kenal dengan akal menjadi contoh pada kita di zaman ini untuk menurut jejak langkah para salafusoleh.
Imam Ibnu Hajar di dalam Hadyus Sari Muqaddimatu Fathul Bari ada menyebut baawa Muhammad bin Mansur pernah menceritakan :

"Pernah satu ketika kami menghadiri majlis Imam Bukhari, lalu ada orang mencampakkan kotoran yang ada di janggutnya ke lantai. Aku dapati, Imam Bukhari memerhati kotoran itu dan memerhatikan orang ramai, lalu apabila ia merasakan orang ramai sedang leka, ia mengambil kotoran tersebut dan memasukkan ke dalam bajunya. Dan apabila ia keluar dari masjid ia pun mencampakkan kotoran itu di atas tanah"

Andaikata kita tidak dapat mengikuti cara mereka akibat kekurangan adab maka hendaklah kita mencela diri sendiri. Sesungguhnya sifat orang yang ikhlas tidak akan tersembunyi dari orang-orang yang berilmu.
Ketahuilah bahawa setiap fikrah terdapat adab dan setiap isyarat terdapat ilmu. Yang akan dapat membezakan demikian itu hanyalah mereka yang dapat memahami kehendak Allah ‘azza wa jalla dan dapat memetik buah-buah keyakinan dari firman-firman-Nya.

Tanda-tanda demikian itu, yang terdapat pada orang yang siddiq (benar) ialah :

1. Apabila ia melihat ia akan mengambil iktibar

2. Apabila ia berdiam ia akan berfikir

3. Apabila ia bercakap ia akan berzikir

4. Apabila ia terhalang ia akan sabar

5. Apabila diberi ia akan bersyukur

6. Apabila diuji ia mengucap tarji’ إن لله Ùˆ إنا إليه راجعون

7. Apabila dilakukan tindakan zalim ke atasnya ia berlemah lembut

8. Apabila ada ilmu ia merendah diri

9. Penyayang apabila mengajarkan ilmu

10. Dan apabila ditanya ia berusaha untuk menjawab

Beliau adalah penawar kepada orang yang mengharapkan, pembantu kepada yang meminta panduan, sebagai rakan kebenaran, gua kebaikan, suka merelakan bagi hak dirinya dan sangat tinggi kemahuannya pada hak Allah subahanahu wa ta’ala.

Niatnya lebih baik dari amalannya, amalannya pula lebih baik dari cakapnya, dalamannya adalah kebenaran, pengikatnya adalah malu, dikenali sebagai warak, penonjolannya diyakini, ia mempunyai cahaya-cahaya kewarasan yang digunakan untuk berpandangan, mempunyai ilmu-ilmu yang benar untuk diungkapkan dari dalil-dalil keyakinan untuk diperkatakan.

Hamba yang akan mencapai peringkat ini hanyalah orang yang memujahadahkan dirinya (latihan dan usaha untuk melawan hawa nafsu agar tidak haloba terhadap dunia) kerana Allah, mengistiqamahkan tekadnya untuk mentaati Allah, rasa takut Allah dalam keadaan terbuka mahupun tersembunyi, memendekkan angan-angan, memperkemaskan ikatan ketelitian dan ia menyelamatkan (diri dari kemurkaan Allah) dengan tiupan angin keselamatan di lautan ibtihal (munajat dan memohon kepada Allah).

Oleh itu, waktunya dalam keuntungan, keadaannya sentiasa selamat, tidak akan disilau dengan hiasan dunia yang menipu dan kilauan fatamorgana serta kelembutan bayu dunia tidak dapat melalaikannya tentang kedahsyatan Hari Kebangkitan.


Sedarilah bahawa orang yang berakal setelah jelas keilmuannya dan nyata keyakinannya akan mengetahui bahawa tidak ada sesuatu yang akan menyelamatkannya dari Allah, melainkan kejujuran. Maka ia akan tekun mendapatkannya dan akan mencari orang-orang yang jujur dengan harapan ia akan hidup sebelum matinya (memanfaatkan hidupnya dengan amalan dan kerja yang berfaedah), agar ia bersedia untuk hari yang kekal setelah matinya, maka ia menjual harta dan jiwanya kepada Ilahi, kerana membenarkan firman Nya di dalam hati, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga” (Surah At Taubah : 111)

Lantas ia berilmu setelah kejahilan, kaya setelah fakir, terhibur setelah kesepian, dekat setelah kejauhan, lega setelah keletihan. Teraturlah sudah urusannya dan terkumpul sudah harapannya.
Slogannya adalah kepercayaan dan keyakinan dan keadaannya adalah muraqabah. Tidakkah kita memerhatikan sabda Rasulullah saw, “Sembahlah Allah bagaikan kamu melihatnya, walau pun kamu tidak dapat melihatnya, sedarlah sebenarnya Dia sedang melihat kamu” (Riwayat Muslim)

Orang jahil menyangkanya seorang yang pekak dan lesu, kebijaksanaannyalah yang memekakkannya. Orang menyangkanya seorang yang bodoh bercakap merapu, padahal menasihat kerana Allah lah yang membuat ia berbicara. Orang menyangkanya seorang yang kaya dengan sikap tidak memintalah yang mengkayakannya dan orang menyangkanya fakir, padahal sikap tawaduklah yang merendahkannya.

Dia tidak menyampuk sesuatu yang tidak berkenaan dengannya, tidak menggagahi lebih dari keperluannya, tidak mengambil apa yang tidak dihajati, tidak mengabaikan apa yang diamanahkan kepadanya. Orang ramai rasa senang dan tidak terganggu dengannya, sementara ia merasa letih berhadapan dengan nafsunya. Ia telah memautkan halobanya dengan warak. menyekat tamaknya dengan takwa dan menghilangkan hawa nafsunya dengan cahaya ilmu.

Bentuklah diri seperti ini, berkawanlah dengan orang-orang sedemikian...

Daripada Abu Hurairah ra, daripada Nabi saw sabdanya, "Allah mempunyai beberapa malaikat peronda yang sentiasa bergerak di atas bumi, apabila mereka naik ke langit Allah akan bertanya kepada mereka, sedangkan Dia lebih mengetahui : Dari mana kamu datang ? Jawab mereka : Kami datang dari beberapa orang hamba Mu di atas muka bumi yang sedang bertasbih, bertakbir dan bertahlil, bertahmid dan memohon doa dan keampunan dari Mu. Lalu Allah berfirman : Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka, aku memberikan apa yang mereka minta dan aku melindungi mereka dari apa yang mereka mohon perlindungan. Para malaikat pun berkata : Tetapi, bersama mereka ada seorang yang banyak melakukan kesalahan, dia hanya duduk bersama mereka secara kebetulan ia melintas di situ sahaja. Jawab Allah : Kepadanya pun Aku ampuni, mereka adalah kaum yang tidak akan mencelakakan orang yang duduk bersama mereka” (Riwayat Muslim)

Jejakilah tauladan mereka dan beradablah dengan tingkahlaku mereka. Mereka adalah simpanan yang terjamin, membeli mereka dengan dunia adalah untung. Mereka adalah senjata dalam kesusahan dan pendamping yang boleh dipercayai. Andai kita kefakiran, mereka akan memberikan kekayaan kepada kita, dan andai mereka berdoa kepada Allah, kita tidak akan dilupakan.

 “Mereka adalah penyokong-penyokong (agama) Allah, ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong agama Allah itu adalah orang-orang yang berjaya” (Surah al Mujadalah: 22)
Jagalah Hati...

Wassalam.

Khamis, 24 Februari 2011

PASANGAN ILMU...




Dalam usaha untuk menjadi hamba Allah yang dikatakan berilmu, dan dalam masa yang sama, mengelakkan diri dari menjadi hamba ilmu, ada 15 pasangan ilmu yang terpenting sekali untuk ditanamkan ke dalam diri, iaitu,  


1. Pengajian mengenai ilmu tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai amalan.


2.Pengajian mengenai amalan tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai ikhlas


3. Pengajian mengenai ikhlas tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai hak.


4. Pengajian mengenai hak tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai ihsan.


5. Pengajian mengenai ihsan tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai kemanusiaan.


6. Pengajian mengenai kemanusiaan tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai Amal Ma`aruf Nahi Mungkar.


7. Pengajian mengenai amal ma`aruf nahi mungkar tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai hikmah di dalam menegur.


8. Pengajian mengenai hikmah dalam menegur tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai sangka baik.


9. Pengajian mengenai sangka baik tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai memahami tipu daya manusia.


10. Pengajian mengenai memahami tipu daya manusia tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai doa dan tawakkal


11. Pengajian mengenai doa dan tawakkal tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai usaha.


12. Pengajian mengenai usaha tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai sunnatullah.


13. Pengajian mengenai sunnatullah tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai memahami dunia.


14. Pengajian mengenai memahami dunia tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai memahami akhirat.


15. Pengajian mengenai akhirat tidak boleh di pisahkan dengan pengajian mengenai keimanan.


Inilah pengajian yang tidak boleh dipisahkan. Apakah kesimpulannya?. Walau apapun yang kita lalui, akhirnya, hidup ini membawa kita kepada beriman. Dengan kekuatan keimananlah, kita akan sentiasa dibantu di dalam mengharungi hidup di dunia ini, lebih-lebih lagi, di akhirat nanti.....wallahu`alam.



Jagalah Hati....


Wassalam

Selasa, 22 Februari 2011

MUHASABAH DIRI...


siapakah yang mengaku umat Muhammad saw?

siapakah yang berharap berada di bawah panji Muhammad saw kelak di Padang Mahsyar?

siapakah yang mengaku cinta kepada Muhammad saw?

sudahkah kita lahirkan Muhammad saw dalam diri kita...?

sudahkah kita lahirkan sabarnya Muhammad saw, sopan santunnya Muhammad saw, ketakwaan Muhammad saw, kasih sayangnya Muhammad saw...?

kalau belum, janganlah kita mengakui sebagai umat Muhammad saw.

Muhammad saw bukanlah untuk sekadar diagung-agungkan.

Muhammad bukan sekadar untuk disebut-sebut nama Baginda, tapi meneladani sifat-sifat Muhammad saw yang lebih diperlukan

kemudian kita cuba lahirkan dalam keseharian kita, kepada anak, isteri, ibubapa, mertua, jiran tetangga, orang sakit, dan yang tertimpa musibah

apa yang Muhammad saw sampaikan kita patuhi dan kita berusaha sedaya mungkin untuk dikerjakan

cinta itu bukanlah sekadar di bibir, tapi perlu pada perilaku kita sehari-harian

keimanan bukan sekadar kata-kata, tapi berbuah dalam perbuatan

ketakwaan bukan sekadar dirasa, tapi mewarnai akhlak diri

sudahkan kita kenal Muhammad saw yang akan kita lahirkan sifatnya melalui diri kita...?

kalau belum,, bersegeralah…bersamanya nanti, kenalilah siapa Robb Muhammad saw

setelah itu bersiaplah untuk menuju kedamaian...

JAGALAH HATI...