Popular Posts

Khamis, 9 Jun 2011

POLIGAMI DENGAN HATI...


Sebenarnya persoalan-persoalan yang saya utarakan di dalam entri yang lalu adalah bertujuan membuka minda dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul. Saya sengaja mengolah persoalan seperti itu dan agak menusuk ke lubuk hati yang paling dalam bagi mereka yang terasa, kerana sesuatu kekeliruan yang berpunca daripada silap faham secara akli (fikiran semata-mata) lebih mudah untuk diuraikan dengan hanya membawa beberapa hujah logik sudah cukup.Tetapi sesuatu kekeliruan yang berpunca daripada perasaan (yang asasnya adalah nafsu ; nafsu di sini adalah inginkan keselesaan sepenuhnya tanpa saingan) ia tidak mudah untuk diselesaikan melainkan mesti di asingkan antara akal dan perasaan dengan soalan-soalan yang menggugat…supaya akal bebas berfikir tanpa gangguan emosi yang menyerabut.


Itulah yang saya faham daripada uslub al Quran apabila menangani satu-satu isu membabitkan perasaan ( Bab Poligami). Itulah uslub Surah al Tahrim yang menghentak perasaan sampai ke lubuk hati yang paling dalam kepada dua wanita yang paling mulia di muka bumi ketika itu yang digelar “Ummahat al Mukminin” Ibu para Mukmin (Syadatina Aisyah ra dan Syadatina Hafsah ra  dan menjadi pengajaran kepada yang lain…) dengan hentakan berbentuk cabaran dan ugutan daripada yang Maha Berkuasa apabila berlaku kesilapan dalam menguruskan perasaan dengan cara yang tidak betul sehingga melahirkan tindakan yang tidak betul dan memberi kesan dengan tindakan Nabi saw.


“ Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat – juga menjadi penolongnya.


Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Robb nya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, – (meliputi) yang janda dan yang anak dara.”  (al Tahrim : 4-5)


Apa lagi perkataan yang lebih keras dan menusuk kalbu kepada seorang wanita yang bersuami dalam rumahtangga bahagia dan suaminya itu orang yang paling mulia di muka bumi ini daripada perkataan dalam uslub ugutan“Menceraikan dan menggantikan dengan orang yang lebih baik…” 


Kita bandingkanlah siapa kita dan siapa suami kita untuk tidak terasa dengan teguran seperti ini… Rasulullah hanya cenderung untuk tidak lagi makan madu yang dimakannya  di rumah salah satu daripada isterinya kerana ingin meraikan perasaan isteri-isterinya yang lain lalu ditempelak oleh Allah: (al Tahrim ayat 1)


"Wahai Nabi! Kenapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredhaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Ayat ini amat jelas menunjukkan satu penegasan daripada Allah supaya mengembalikan kepada asas pemikiran yang betul dalam membuat apa-apa pertimbangan (sebagai Neraca) dalam apa-apa hal dan tidak melayan perasaan yang berbagai daripada pihak yang pelbagai kerana perasaan ini seperti yang saya pernah ungkapkan dulu bahawa,


” Emosi hanya penting untuk memahami serta menggambarkan sesuatu yang bersifat emosi…tetapi dalam menyelesaikan perkara emosi asas pemikiran rasional adalah dituntut kerana emosi sifatnya tidak tetap, adapun pemikiran ia bersifat tetap berdasarkan maklumat yang tepat…”


Sesiapa yang menjiwai uslub al Quraan ” Zauq Quraani“ akan dapat merasakan betapa tinggi dan beratnya  Tarbiyyah jiwa (Tazkiyyah al Nafs) yang diterima dan dilalui oleh para isteri Nabi, sudahlah mereka ditegur dengan teguran yang begitu keras dan menusuk hati , malah isu rumahtangga mereka  dipamerkan kepada khalayak umum oleh yang Maha Mengetahui…(bagi menjadi teladan kepada generasi seterusnya  hingga Kiamat…) dan itulahTarbiyyah dan itulah Maqam Qudwah sebenarnya bagi seorang wanita Muslimah…


Oleh itu seseorang itu boleh dianggap berjaya dalam tarbiyyahnya apabila dia berjaya melepasi keadaan paling sukar serta rumit dalam hidupnya dan dalam keadaan itu dia masih boleh bertindak  mengikut asas pemikiran yang betul dan tidak terpengaruh dengan tekanan perasaannya…


Oleh itu bagi seorang wanita mukminah, apabila Allah mentakdirkan dia berhadapan dengan isu poligami atau ujian hidup dalam rumahtangga berpoligami, sebenarnya Allah ingin mengangkat martabatnya dari sudut “Tazkiyatu al Nafs” (pembersihan jiwa) ke martabat yang paling tinggi apabila dia dapat melaluinya dengan berpandukan segala tindakannya berasaskan asas pemikiran yang betul (yang diajar oleh Al Quran dan Sunnah) tanpa melayan pujuk rayu perasaanya…kerana itulah keadaan yang paling berat dan rumit bagi seorang wanita…dan apabila dia berjaya melepasinya dengan taufik dan hidayah Allah, dia akan berada di “Maqam Qudwah ” walupun mungkin tidak menyerupai maqam para Ummahat al Mukminin dan juga Sarah dan Hajar…


Bagi saya isu Poligami ini adalah satu perkara yang lumrah, sama ada kita suka atau tidak, ia tetap akan berlaku kerana ia diharuskan… Dalam keadaan ia tidak diharuskan oleh undang-undang atau agama lain pun, ia tetap berlaku melalui pintu belakang…Persoalannya adakah kita hendak membiarkan ia  berlaku begitu sahaja  dan berdiam seribu bahasa tanpa terurus? Atau kita sebagai orang yang dikurniakan kebijaksanaan tampil untuk menguruskannya. Sekurang-kurang menguruskan daripada segi “Persiapan Minda Yang Betul” terhadapnya dan selok beloknya. Supaya apabila ia berlaku, ia tidak akan membawa kepada keadaan kelam kabut yang banyak menjejaskan dan menggadaikan perkara-perkara asas yang lain… ATAU kita sanggup membiarkan saja pengarah filem dan para artis untuk melakonkan aksi contoh Poligami terbaik sebagai penyelesaian kepada masyarakat…? Dan kita sebagai kumpulan dakwah atau orang yang ingin kembali kepada Islam hendaklah menjauhkan diri daripada berbicara tentangnya apalagi untuk mempraktikkannya kerana ia melambangkan seks yang selalunya jijik untuk dibicarakan…? 


Atas asas ini saya mengambil inisiatif ini untuk kali ini, dengan cara saya tersendiri bagi merawat beberapa aspek Tarbiyyah yang saya nampak dan dapat fahami daripada al Quran dan Sunnah semoga ia dapat memberi sumbangan manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan wanita.


wallahu`alam....

Jagalah Hati...

Wassalam

2 ulasan:

  1. Salam Sdr. Syed Roslan,

    Tahniah untuk entri tentang poligami yang baik lagi informatif. Alhamdulillah! Saya tertarik dengan kupasan saudara menyentuh bab pembersihan jiwa. Mengesankan! Semoga saudara dapat menulis banyak lagi tentang hal ini.
    Teruskan usaha murni saudara.

    BalasPadam
  2. Sdr. Syed Roslan,

    Saya mohon izin untuk "copy-paste" tulisan saudara dan letakkan di blog peribadi saya, untuk bacaan sendiri.

    BalasPadam